Pengikut antu :P

Klik hantu nuffnang ok!:P

Thursday, May 5, 2016

262: TUMBUK BUMI KAKI LEMBIK

SBDJ SIRI 262 TUMBUK BUMI KAKI LEMBIK

Tanpa memperdulikan saya dan dua pengikut setia Shafie, datuk segera duduk di sisi Shafie dengan kaki kiri mengampu daging punggung kiri. Lutut kanan ditegakkan manakal telapak tangan kanan menekup (menutup) tempurung lutut kanan. Kelima-lima jarinya berkembang. Kepala ditundukkan ke bumi.
Saya yang arif dengan apa yang datuk lakukan segera mengetahui. Bila sudah begitu, ertinya datuk sedang berusaha membuang apa saja yang berada dalam fikirannya ketika itu. Dia mahu memusatkan semua pancaindera ke arah menyelesaikan masalah Shafie.
Lebih dari lima minit datuk berkeadaan demikian. Peluh-peluh halus muncul di dahi dan cuping telinga. Wajah datuk kelihatan merah. Anak rambut di kiri kanan pipi kelihatan menegak, begitu juga di bahagian batang lehernya. Biasanya, apa yang datuk alami itu, mengambarkan dia sedang bertarung dengan makhluk lain secara kebatinan.
“Uuhhhh.....”
Datuk terlentang di sisi Shafie dan Shafie seperti digerakkan kuasa lain cuba bangun. Pak Habib tergamam, tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Datuk yang rebah cuba bangun. Tiga kali ushanya gagal. Begitu juga dengan Shafie.
Mereka sering berlawan antara satu dengan lain. Tetapi, bangun kali ketujuh datuk berhasil dan terus berdiri. Shafie rebah dan tidak bangun-bangun lagi. Ada imbasan cahaya yang keluar dari ibu kaki Shafie lalu mengenai mata Pak Habib yang menyebabkan dia terhoyong-hayang.
IMBASAN
Imbasan cahaya terkena juga pada saya dan Tajuddin. Pandangan kami jadi silau danmata terasa pedih. Cuma kami tidak terhoyong-hayang macam Pak Habib. Dalam masa yang sama juga terdengan suara jeritan pasangan suami isteri. Saya kira mereka berhadapan dengan bahaya besar. Apakah daya kami tidak dapat melihat, kelopak mata tidak boleh dibuka, sakitnya bukan kepalang.
Bila keadaan sudah tenang, mata tidak terasa sakit lagi. Pasangan suami isteri segera saya renung, ternyata pasangan suami isteri tidak mengalami sesuatu yang tidak diingini. Mereka nampak normal seperti keadaan sebelum kejadian. Jadi suara siapa yang menjerit persis suara pasangan suami isteri tersebut?. Perkara itu segera saya lupakan.
Bila datuk dapat berdiri dengan baik, dia terus mendekati dan menatap wajah Pak Habib. Dua kali dia mengoyang-goyangkan tangannya di depan muka Pak Habib. Datuk berdehem dengan sekuat hati.
“Di depan saya?”
“Iya.”
“Saya tak nampak apa-apa Cuma gelap saja.”
“Subhanallah,” keluh datuk sambil mengesel-gesel kedua belah telapak tangannya dan membaca al-Fatihah yang diakhiri surrah al-Ikhlas.
“Tahan sakit, saya nak ubat mata sahabat.”
“Silakan.”
Tanpa berlengah-lengah lagi, datuk menekapkan sepasang telapak tangannya ke sepasang mata Pak Habib. Saya lihat sepasang tangan dan kaki Pak Habib mengeletar menahan sakit. Kemudian rebah di kaki datuk. Hampir lima minit Pak Habib tidak sedarkan diri. Bila sedar dan membuka mata, penglihatannya kembali normal.
“Syukur Alhamdulillah, “ cetus Pak Habib, datuk sambut dengan senyum yang panjang.
Pak Habib dan datuk bertentang mata.
“Saya mulakan tugas saya.” Tutur datuk.
“Silakan.”
“Kalau ada apa-apa bantu saya.”
“Insyaallah saya bersedia.” Ikrar Pak Habib.
Mereka berhenti dari bertentang mata. Tidak lagi berpandangan wajah. Dua tapak datuk undur ke belakang. Dua tapak juga Pak Habib bergerak ke kanan.
“Sahabat.”
“Ada apa,” datuk toleh ke arah Pak Habib.
“Semoga Allah memberkati kerja kita, kerana kita mahu mengembalikan orang yang berada dalam telunjuk syaitan ke jalan yang benar,” kata Pak Habib memberi sokongan yang sungguh bererti buat datuk.
CAKAP
Selesai bercakap dari hati ke hati, penuh keikhlasan pada Pak Habib, datuk segera mendatangi kami berdua. Saya berjanji tidak akan memberikan sebarang komen berhubung dengan sebarang arahan yang dikeluarkan oleh datuk meskipun arahan itu tidak sealiran dengan kemahuan saya.
"Kamu berdua," datuk tidak menyambung percakapannya. Dia lihat ke langit, melihat awan dan burung yang berterbangan. Kemudian merenung kami kembali.
"Masa aku berusaha memulihkan Shafie, jika dia melawan atau menentang aku, kau orang berdua lawan dia sampai kalah, bagi dia pengsan. Biar dia luka berdarah."
"Kejam," cetus saya secara tidak sengaja.
"Tamar, kamu jangan banyak cakap. Emak bapa Shafie, aku tugaskan menjaga dua lelaki pengikut setia Shafie. Tugas kamu berdua tidak seberat mana, bila dibandingkan dengan tugas mereka berdua."
"Usah bantah cakap datuk kamu," bisik Tajuddin ke telinga saya. Dengan tenang saya gigit bibir.
"Maafkan saya.”
“Ikut saja cakap aku, jangan banyak karenah,” lanjut datuk. Suaranya bernada geram.
Datuk kembali pada tugasnya yang terganggu sebentar tadi. Duduk bersila berdepan Shafie yang terkapar di bumi. Terdengar datuk membaca surrah Al-Fatihah tujuh kali. Pak Habib pula membaca beberapa ayat yang diambil dari surrah Yassin. Bila pembacaan mereka berdua selesai. Datuk letakkan tangan kirinya atas dada Shafie, buat seketika. Kemudian datuk beralih pada acara lain.
Datuk melepaskan tumbukkan ke bumi dengan sekuat hati sebanyak liga kali berturut-turut. Setiap kali tumbukkan dilepaskan, tubuh Shafie dari kepala hingga ke pinggang terangkat secara mengejut, bagaikan terkena kejutan arus elektrik,
Semasa Pak Habib berusaha untuk mendudukkan Shafie, satu kejutan diluar dugaan terjadi.
Shafie melompat bagaikan harimau terlepas dari kandang. Menendang dan menerkam apa saja yang ada disekitarnya. Saya dan Tajuddin menerpa dan cuba menangkap tangannya. Akibatnya kami kena penendang dan terus terperosok di pangkal pokok sukun. Saya cuba bangun, terasa sakit di bahagian pangkal belikat dan paha. Saya ambil keputusan untuk mendiamkan diri. Tajuddin yang saya kira tidak begitu parah, sudah pun bangun dan berlari ke arah surau menyelamatkan diri. Pada saat itu juga dua lelaki yang setia pada Shafie cuba membantu dengan melanggar arahan datuk. Tetapi, usaha mereka tidak berhasil.
Bila mereka cuba berdiri, sepasang kaki lerasa lembik bagaikan tidak bertulang. Tidak dapat bergerak ke mana dan terpaksa kembali pada kedudukan asal.
"Pelik," rungut saya.
'Tak pelik, mereka langgar arahan datuk kamu." Sahut Tajuddin.
Saya segera anggukkan kepala.
Pak Habib dan datuk berhempas pulas bertarung dengan Shafie yang melakukan serangan secara membabi buta. Setiap kali, datuk berhasil memeluk tubuhnya pasti terlepas, badannya bagaikan dilumuri minyak. Meskipun begitu datuk dan Pak Habib tidak berputus asa, terus berusaha menangkap Sliafie.
Pada suatu ketika, Pak Habib berhasil merebahkan Shafie ke bumi, datuk berhasil memegang kaki kirinya dan sekaligus berjaya menangkap ibu jari kiri Shafie. Dengan serta merta Shafie menjadi lemah. Dia bagaikan kehilangan tenaga.
Tetapi, ada yang lebih mengejutkan dari itu. Setelah berhempas pulas berjuang dan sudah berada dalam tangan. Tiba-tiba saja dengan mudah datuk melepaskan Shafie. Satu tindakan yang mengejutkan dan diluar dugaan.
"Kenapa?" Tanya Pak Habib cemas.
"Ada masalah sedikit."
"Apa masalahnya," desak Pak Habib yang masih mengilas tangan Shafie ke belakang. Ternyata, datuk seperti keberatan untuk menjawab pertanyaan tersebut.
"Apa masalahnya, ceritakan. Mungkin saya boleh membantu." Pak Habib terus mendesak. Datuk masih seperti tadi, keberatan untuk membuka mulut.
"Berterus-terang saja." Tajuddin turut cam pur.
"Ada syarat yang terlupa, ini kesilapan saya. Agaknya, usaha saya kali ini memang tidak mahu menjadi." Tekanan suara datuk penuh rasa putus asa. Wajahnya dibalut kekecewaan.
KUAT
PAK HABIB masih terus mengilas tangan Shafie dengan sekuat had. Sekuat itu juga Shafie meronta-ronta untuk melepaskan diri dari dikuasai oleh Pak Habib. Bagi mengangkang Shafie, Pak Habib menekan pangkal pinggang Shafie dengan kepala lututnya. Walau pun begitu Shafie terus juga meronta-ronta tanpa menghiraukan rasa sakit yang dialami.
“Ini kelemahan dan kesilapan saya, biasanya ke mana-mana saya pergi, saya bawa paling kurang dua tiga kerat rotan seni,” rungut datuk seperti menyesali diri sendiri.
“Buat apa dengan rotan,” Pak Habib terus bertanya. Pertanyaan itu tidak dijawab oleh datuk.
TERINGAT
Seketika itu juga saya teringat, biasanya dalam kes ini, datuk menggunakan dua batang rotan seni. Satu berbentuk lingkaran menakal yang satu lagi lurus. Rotan seni dalam bentuk (lingkaran) bulat dimasukkan ke dalam ibu jari kaki orang yang mahu ditundukkan atau mahu dilemahkan.
Bila rotan yang bulat sudah berada dalam ibu jari kaki kiri orang yang mahu ditewaskan (dilemahkan)
Rotan seni yang lurus (panjangnya kira-kira satu kaki setengah) hujunngnya dibalut dengan timah hitam dimanfaatkan untuk memukul belakang orang yang terbabit sebanyak tujuh kali berturut-turut.
Di saat belakang orang yang terbabit dipalu datuk akan bertanya pada orang yang berkenaan (roh halus yangmenjelma ke dalam darahnya) berasal dari mana. Mohon dia pulang ke tempat dari mana dia berasal. Datuk juga memberitahu, bahawa makhluk manusia lebih bijak dan handal dari makhluk jin dan syaitan.
Roh halus yang jahat akan menjawab (menerusi orang yang dipalu) semua pertanyaan yang diajukan . Kerana rotan seni yang penting itu tidak dibawa, maka perkara demikian tidak dapat dilakukan pada Shafie.
“Bagaimana? Saya sudah tak mampu lagi.” Pak Habib mengadu.
“Saya sudah mati akal, biarkan dia lari ke hutan.” Balas datuk.
Belum pun sempat Pak Habib memberikan pandangan, Shafie berhasil melepaskan lengannya dari genggaman Pak Habib. Satu tumbukan kencang dari Shafie singgah di muka Pak Habib menyebabkan Pak Habib terlentang. Shafie dapat berdiri dengan baik dan bersedia untuk melakukan serangan kedua pada Pak Habib.
Melihat pada keadaan yang semakin genting, saya dan Tajuddin bermuafakat untuk melakukan serangan kilat pada Shafie. Tetapi hal itu segera dapat dikesan oleh datuk. Kami dilarang melaksanakannya.

0 comments:

Post a Comment