Pengikut antu :P

Klik hantu nuffnang ok!:P

Thursday, May 5, 2016

216: RAJA SUSUK MATI DI MASJID

SBDJ (JILID 16) SIRI 216

RAJA SUSUK MATI DI MASJID



SUASANA dalam Masjid Raya terasa damai. Di luar bunyi hon kereta masih galak, begitu juga dengan bunyi loceng dan hon motosikal saling tingkah meningkah mengusik gegendang telinga. Cuaca beransur cerah. Datuk kelihatan cukup berminat untuk mengikuti ceramah yang disampaikan oleh ulama berbadan kecil itu.

Secara jujur si ulama berbadan kecil itu mengaku tidak tahu bagaimana budaya susuk menguasai Kepulauan Melayu. Dia juga tidak menolak kemungkinan pengamal susuk kurang pengetahuan agama. Tidak tahu yang perbuatan mereka salah dan dilarang.

Boleh jadi juga mereka tidak tetap iman, sering berubah-ubah dan ragu-ragu. Dan bukan mustahil mereka yang tahu perbuatan itu salah, sengaja buat tidak tahu kerana wang atau mahu hidup senang atau mengambil kesempatan dari orang yang sememangnya jahil. Ertinya, mempergunakan atau memperalatkan kelemahan, kebodohan orang lain untuk kepentingan diri sendiri.

"Perbuatan begini, bukanlah perbuatan terpuji. Agama tidak mengalakkannya dan orang-orang yang nipis sanggup melakukannya," tutur ulama berbadan kecil dengan wajah serius. Datuk dan para jemaah nampak mengangguk kepala, setuju dengan apa yang diluahkan oleh si ulama tersebut.

Ulama berbadan kecil terus menyebut, bahawa orang yang tidak tetap pegangan keimanannya dianggap sebagai ladang yang subur bagi syaitan untuk menabur benih kesesatan. Bila seseorang mengalami putus asa, tidak percaya pada diri, mungkin disebabkan putus tunang, susah mendapat jodoh, kerjaya terhalang atau merasai dirinya dikhianati kawan sekerja dan sebagainya. Masa itulah iblis menjalankan peranannya.

"Iblis melakukan peranannya sebagai penggoda anak Adam, sesuai dengan janjinya di depan Allah, bahawa syaitan akan menggoda umat manusia hingga hari kiamat. Jampi jampi sihir ajaran syaitan. Ilmu syaitan (sihir) sudah wujud sejak zaman para nabi lagi. Contohnya, zaman nabi Musa alaihi salam. Jadi dalam hal ini yang salah? Manusia itu sendiri atau iblis?."

Saya lihat wajah para jemaah nampak serius. Ada yang tunduk dan ada yang menarik dan melepaskan nafas resah. Ulama bertubuh kecil terus menatap wajah para jemaah satu demi satu, termasuk wajah saya dan Harun.

"Jawab pertanyaan saya?" Ulang si ulama dalam nada suara yang tinggi.
"Syaitan salah tuk guru," sahut seorang jemaah yang berada di bucu masjid.
Si ulama berbadan kecil gelengkan kepala.

"Manusia yang salah," sahut jemaah di belakang saya.
Si ulama segera anggukkan kepala.
"Betul, syaitan itu kerjanya. Manusia pula harus mempertahankan diri dengan iman. Kalau tak tahu hal-hal agama manusia di suruh belajar dan berfikir. Tahu membezakan yang buruk dengan yang baik. Itulah sebabnya manusia dikurniakan akal fikiran."
Macam tadi juga, para jemaah terpaku. Akur dengan penjelasan yang diluahkan oleh si ulama.

TARIK

DENGAN wajah yang bersahaja bersama nada suara lembut tetapi bertenaga, si ulama berbadan kecil terus menyebut yang sihir itu boleh mengubah perkara yang tidak menjadi wajar atau terlihat wajar dari penglihatan orang yang tidak tetap hati atau sentiasa berada dalam keraguan, goyang imannya.

Sesungguhnya daya tarik atau kecantikan lahiriah tidak begitu diutamakan, apa yang diutamakan ialah kecantikan batiniah. Bila batin cantik kerana iman, maka rupa buruk dan kulit yang hitam akan memancarkan cahaya wajah yang cantik dan menarik.

"Ingin saya mengingatkan kepada mereka yang mengamalkan susuk, segeralah bertaubat. Macam saya katakan tadi, kecantikan itu bukan terpancar dari lahiriah tetapi dari batiniah. Jika batiniahnya cantik, sudah pasti lahiriahnya cantik. Soalnya sekarang, bagaimana mahu cantik lahir batin," sepasang anak mata hitam si ulama tertumbuk ke arah wajah para jemaah.
Tiada seorang pun yang berani memberikan pendapat. Semuanya membatu.

"Mudah saja," kata si ulama.
"Bagaimana caranya Tuk Guru?" Dengan mendadak saja seorang jemaah memberanikan diri bertanya. Duduk paling hujung, dekat dinding tidak jauh dari pintu. Semua biji mata para jemaah merenung ke arahnya.

"Bagus awak berani bertanya, bila kita belajar kita mesti kerap bertanya dengan itu dapat mengasah daya berfikir, banyak perkara dapat kita ketahui. Awaklah "hero" kuliah subuh kali ini," si ulama berbadan kecil berjenaka sambil menegakkan ibu jarinya ke arah orang yang bertanya.

Dan ruang Masjid Raya pun dipenuhi dengan suara orang ketawa, menghalau rasa bosan dan membeliakkan biji mata para jemaah yang mengantuk.
"Cantikkan dulu batin dengan cara beriman, bertawakal, berdoa dan menjalankan segala syariat Islam yang telah digariskan. InsyaAllah Tuhan akan mengkabulkan segala hajat kita. Bagi Pak Dukun, Pak Kiai yang masih menjalankan kegiatan pasang susuk, segeralah bertaubat.

Amalkan ilmu ke jalan Allah, agar dapat pahala yang baik, sebabnya dunia ini adalah fana," si ulama berbadan kecil menarik nafas lalu berhenti bercakap.
Hampir lima minit masa berlalu begitu saja. Semuanya bagaikan terpukau mendengar nasihat dari si ulama berbadan kecil.

Dari wajah yang terpamer, saya dapat menduga bahawa para jemaah masih mengharapkan si ulama menyambung percakapan yang terhenti. Tetapi, dari gerak geri yang diperlihatkan seolah-olah si ulama itu memberitahu yang dia tidak berminat mahu menyambung percakapan yang terhenti. Dia seperti mengelamun macam ada sesuatu yang difikirkannya.

Para jemaah mula resah semacam. Si ulama berbadan kecil tetap seperti tadi, terus mengelamun dan berkhayal. Para jemaah yang tertonggok bagaikan tidak wujud di depan matanya. Akibatnya, menimbulkan bermacam-macam keraguan dalam hati para jemaah termasuk diri saya dan Harun.

"Oh ya......"
Si ulama berbadan kecil seperti terkejut dari sebuah lamunan yang panjang. Dia toleh kiri, toleh kanan. Beberapa orang jemaah yang sedar atas perbuatan si ulama tersenyum panjang.
"Cukup sampai di sini saja, kalau umur saya panjang dua minggu lagi kita berjumpa di sini, kita bincangkan pula tentang topik keimanan dan ketakwaan. Maafkan saya kalau semasa bercakap tadi, ada kata-kata yang boleh menyinggung perasaan kamu semua," ungkap si ulama berbadan kecil, senyum terus berlari di kelopak bibirnya.

PENUTUP

SEBAGAI penutup majlis, Pak Imam pun membacakan doa kesyukuran dan kesejahteraan untuk para jemaah yang hadir. Selesai doa dibaca, si ulama berbadan kecil segera berdiri. Para jemaah pun bersalaman sambil mengucapkan terima kasih. Ada jemaah yang cuba membongkokkan separuh badan sambil cuba mencium telapak tangan si ulama berbadan kecil. Si ulama terus menegah perbuatan itu.

"Jangan sampai begitu, mendewa-dewakan sesama manusia perbuatan yang dilarang dalam ajaran yang beriman dan bertakwa," ungkap si ulama berbadan kurus.
Bahu orang yang mahu membongkok dan menciumi telapak tangannya ditepuk manja berkali-kali.
"Tegakkan badan kamu," tambahnya.

Orang itu segera menegakkan tubuhnya.
"Assalam mualaikum alahi masjid," jerit seorang lelaki di muka pintu. Semua muka para jemaah tertumpu ke arahnya.
"Ada apa hal?," tanya Pak Imam seraya meluru ke arahnya.
"Mahu jumpa tuan guru," jawab lelaki itu.
"Apa halnya," menyusul pertanyaan dari Pak Imam.

"Awak siapa? Banyak soal dan tanya," tanya lelaki itu sinis.
"Saya Pak Imam."
Lelaki di muka pintu masjid terdiam seketika. Matanya liar menatap muka para jemaah yang merenung ke arahnya. Datuk yang tadi berdiri terus duduk di salah satu sudut. Beberapa orang jemaah segera meniru perbuatan datuk.

"Apa halnya kamu nak jumpa, tuan guru," cukup lembut nada suara Pak Imam.
"Itu urusan aku dengannya," nada suara lelaki mula meninggi.
Dia mula memperlihatkan wajah yang bengis.
"Ha.... " wajah Pak Imam cemas.

Lima enam orang jemaah yang tadi cuba mendekati lelaki itu segera berundur, mencari tempat yang baik untuk bertahan. Takdirnya, terjadi sesuatu yang tidak diingin, mereka sudah bersedia.
"Ganjil orang ni," terdengar komen dari seorang jemaah.
"Orang gila agaknya?" balas yang lain.
"Aku mahu jumpa Tuk Guru. Orang lain yang aku cari, orang lain pula yang sibuk," lelaki di muka pintu masjid menyuarakan rasa tidak senangnya.

"Jangan halang dia, biarkan dia jumpa tuk guru, dia mahu bertaubat
tu," terdengar suara dari luar masjid.
Beberapa detik kemudian, seorang anak muda dalam usia sekitar awal empat puluhan berdiri di kanan lelaki yang mahu berjumpa si ulama. Kehadiran anak muda itu membuat keadaan menjadi bertambah kacau.

Si ulama berbadan kecil berdiri tenang di tengah ruang masjid, di kelilingi oleh para jemaah yang bertubuh tegap. Anak muda awal empat puluhan itu memakai kemeja lengan pendek, berjalur biru putih, tidak bersongkok. Rambut lebatnya di sikat berat ke kanan. Seluar yang dipakai berwarna kelabu.

"Sabar"
Anak muda awal empat puluhan, menenangkan perasaan lelaki yang
mahu menemui tuan guru.
"Mana boleh sabar, orang lain yang mahu kita temui, orang lain pula yang sibuk, mahu tunjuk kuasa bagaikan rumah Allah ini dia yang punya." Lelaki di muka pintu menyindir Pak Imam.

Saya lihat Pak Imam menarik nafas sambil menelan air liur. Para jemaah mula memperlihatkan rasa geram dan meluat terhadap lelaki di muka pintu masjid.

MUNCUL

SECARA tidak diduga, saya dapati datuk sudah berada tidak jauh dari saya dan Harun. Dia memberi isyarat dengan tenaga agar kami berada jauh dari Pak Imam. Perintah itu kami patuhi, perlahanlahan saya dan Harun beredar dari sisi Pak Imam. Kami memilih tempat agak tersorok dari pandangan para jemaah yang lain.

"Jangan halang dia, biarkan dia jumpa tuan guru," tutur datuk dengan wajah tenang. Pak Imam jadi terkejut, perasaan para jemaah mula berbelah bagi. Ada yang menyokong, ada yang menentang.

"Macam mana kalau dia bertindak kasar pada tuan guru?" Wajah Pak Imam nampak cemas.
"Dengan izin Allah perkara tu tak akan berlaku," datuk mempertahankan cadangannya.
"Terpulang," Pak Imam mengangkat kedua-dua belah bahunya. "Niatnya baik, dia mahu bertaubat," anak muda awal empat puluhan bagaikan menyokong pendapat datuk.

Di luar, matahari sedikit demi sedikit menyibarkan cahayanya. Dan para jemaah dalam perut masjid begitu ingin mengetahui kisah selanjumya. Tidak seorang pun daripada mereka mahu keluar.

"Bertenang," ulama berbadan kecil bersuara.
Dan para jemaah yang mengelilinginya di suruh bersurai dan duduk. Dengan gaya langkah penuh keyakinan, si ulama menjemput lelaki di muka pintu masjid yang memakai baju melayu cekak musang, warna biji kundang, berkain pelikat kotak-kotak.

Di kepalanya terlekap, songkok (ketayap) manakala di bahu kanan tersangkut kain berwarna putih dan bahagian tepinya dijahit dengan benang putih. Kerana benangnya kasar dan dijahit rapat-rapat menyebabkan warna putih itu menyerlah.

"Silakan masuk ke tengah masjid, ceritakan apa masalah kamu, mari...... ," si ulama berbadan kurus menghulurkan tangan dengan tenang lelaki di muka pintu masjid menyambutya.
"Mari," si ulama menarik tangan lelaki tersebut.

"Eh....." lelaki di muka pintu masjid bersuara. Dia tidak mahu bergerak dari tempat dia berdiri.
"Kenapa?" Terpamer rasa kecewa di wajah si ulama.

"Tak payah masuk ke dalam, di sini saja sudah cukup, lagi pun saya tak mahu apa yang mahu saya sampaikan kepada tuan di ketahui ramai," itu alasan yang diluahkan oleh lelaki di muka pintu masjid. Para jemaah berpandangan sama sendiri dan berbisik. Anak muda awal empat puluhan diam membatu, tidak memberi sebarang komentar.

"Kalau niat awak baik dan ikhlas, saya rasa tidak salah orang yang berada dalam masjid ini mendengar apa yang mahu kamu katakan," balas si ulama berbadan kecil. Dan lelaki yang memakai baju cekak musang berkain pelikat menarik nafas. Wajahnya tidak segarang tadi.
"Tapi tuk guru "cuma setakat itu saja kata yang terluah.
"Kamu malu, jangan malu kalau niat kita baik kerana Allah," pintas si ulama berbadan kecil.

SETUJU

LELAKI berbaju cekak musang anggukkan kepala perlahan-lahan tanpa mahu menatap wajah si ulama dan para jemaah. Tanpa disangka-sangka datuk mendekati lelaki berbaju cekak musang. Bahu lelaki itu ditepuknya sambil membisikkan sesuatu ke telinga lelaki tersebut.

"Iya, saya setuju dengan cadangan tuk guru dan orang ini...." Lelaki menoleh ke arah datuk saya seraya menyambung kata-kata, " menasihati saya supaya ikut cakap tuk guru".

Sebaik saja menamatkan pertuturan, lelaki berbaju cekak musang segera melangkah dengan penuh keyakinan menuju ke tengah ruang masjid. Para jemaah segera memberikan tepukan bergemuruh.

Mereka (para jemaah) segera mengekori sambil membentuk bulatan mengelilingi si ulama berbadan kecil, lelaki berbaju cekak musang dan pemuda berusia awal empat puluhan.
"Duduk," kata si ulama.

Semua para jemaah duduk, begitu juga dengan si ulama itu sendiri. Si ulama duduk bersila sambil merenung wajah para jemaah. Lelaki berbaju cekak musang dan anak muda awal empat puluhan bersedia mahu duduk.

"Jangan, kamu berdiri di situ"

Si ulama berbadan kecil menuding jari telunjuk ke arah lelaki berbaju cekak musang.
"Saya," anak muda awal empat puluhan bertanya. "Kamu duduk."
Dengan penuh sopan anak muda empat puluhan terus duduk.

"Sekarang kamu katakan apa yang mahu kamu katakan pada aku," Sepasang anak mata si ulama berbadan kecil tertampar ke wajah lelaki berbaju cekak musang yang nampak resah dan serba tidak kena.
"Tapi.. ," lelaki yang memakai baju cekak musang tidak meneruskan kata-kata.
"Apa lagi....," bersama segaris senyum si ulama berbadan kecil menyoal kembali.

"Tentu tak manis, Tuk guru yang berilmu duduk, saya yang jahil berdiri. Ertinya, saya tidak menghormati orang berilmu," itu alasan yang dikemukakan oleh lelaki yang memakai baju cekak musang. Matanya merenung permaidani masjid.

Para jemaah yang duduk bersila, tidak berkata apa-apa. Mereka hanya memerhatikan saja gerak-geri lelaki berbaju cekak musang dan si ulama berbadan kecil.
Saya menarik nafas dan mula bosan dengan suasana yang dihadapi. Dari pintu masjid yang terdedah saya merenung keluar. Sinar matahari pagi kian marak. Saya kira kegelisahan itu, turut juga dirasai oleh orang lain.

"Bosan."
Keluhan saya didengar oleh Harun.
"Sabar Tamar, kita akan melihat peristiwa besar pagi ini. Aku kenal lelaki yang datang tu, salah seorang pelanggan kedai kain aku berasal dari daerah Bilah, suka menikah dengan "pucuk muda" yang cantik. Peliknya, ramai pula yang bersedia menjadi isterinya."
"Orang kaya?."
"Itu aku tak tahu Tamar, boleh jadi orang ternama di daerah Bilah," tambah Harun.

BILAH

BILA Harun menyebut perkataan "BILAH" secara sepontan saya teringatkan Istana Raja BILAH di Papan, tidak jauh dari pekan Pusing Perak. Malah, beberapa orang yang saya kenali ada kaitannya dengan Raja Bilah terbayang di kepala, terutama dengan beberapa keluarga yang tinggal di sekitar mukim Selama-Perak.

"Kamu tahu kerjayanya Harun?." Saya menyoal.
"Tak tahu Tamar. Tetapi, beberapa orang kenalan memanggilnya Raja Susuk."
"Raja Susuk?" Ulang saya.

Harun anggukkan kepala. Kami tidak dapat meneruskan bisikan bila terdengar suara datuk berdehem panjang sebagai signal atau isyarat menyuruh kami menumpukan perhatian ke arah lelaki berbaju cekak musang dan si ulama berbadan kecil.

"Kalau itu permintaan kamu, saya perkenankan. Sebelum duduk terangkan nama kamu dan tujuan kamu berjumpa dengan aku." Ungkapan dari si ulama berbadan kecil membuat wajah lelaki berbaju cekak musang ceria dan senyum. Cemas dan bimbang tidak lagi terpamer di muka. Semua penghuni masjid memusatkan perhatian kepadanya.

"Nama saya Shamsuddin Muhammad Nor, beranak di Pondok Tanjong dekat Taiping. Ayah saya anak Pengkalan Beranda, emak saya orang Bagan Serai," Lelaki berbaju cekak musang berhenti bercakap. Tangan kirinya menekan pangkal belikat kiri. Dia kelihatan seperti menahan rasa
sakit.

"Kamu sakit?."
Pertanyaan dari si ulama berbadan kecil dijawab oleh lelaki berbaju cekak musang dengan geleng kepala.
"Masa kecil saya selalu berpindah randah-maklumlah ayah saya peniaga buah-buahan, masa itulah saya berkenalan dengan bermacam orang.
"Orang tua kamu tak ajar asam agama," tingkah si ulama berbadan kecil.

"Ada tapi, tidak diberatkan. Sayangnya, saya merasa terlalu pandai dalam bidang itu. Pada ilmu agama yang ada tidak sejauh mana, mengaku pandai, akhirnya, saya tersalah langkah."
Semua orang yang berada dalam masjid terdiam, setiapp patah perkataan yang dituturkan oleh lelaki berbaju cekak musang diikuti dengan penuh teliti.

"Masa berumur tujuh belas tahun ayah membawa saya dan emak ke Sumatera ke kampung halamannya di Pengkalan Beranda. Masa di sinilah saya menuntut atau memilih jalan yang silap kemudian saya kembangkan ke tanah semenanjung. Ilmu dunia dan akhirat saya satukan.
Aduh...."Lelaki berbaju cekak musang tidak dapat meneruskan percakapan.<PIXTEL_MMI_EBOOK_2005>17����������������������������������������������������������</PIXTEL_MMI_EBOOK_2005>

0 comments:

Post a Comment