Pengikut antu :P

Klik hantu nuffnang ok!:P

Thursday, May 5, 2016

217: MAYAT BERBAU WANGI

SBDJ SIRI 217 

MAYAT BERBAU WANGI

PARA jemaah bagaikan terpukau. Semuanya menjegilkan biji mata. Datuk pun menerpa ke arah lelaki berbaju cekak musang yang sedang membongkok. Kedua-dua belah tangannya menekan perut. Songkok dipakai, jatuh ke lantai.

Perlahan-lahan datuk mengurut bahagian belakangnya. Lelaki itu sedawa panjang, dan secara beransur-ansur menegakkan tubuhnya. Dia dapat berdiri dengan betul. Tidak terdengar sebarang komen dari para jemaah. Semuanya membisu.

"Saya datang ke sini dengan satu niat."


Lelaki berbaju cekak musang, tidak dapat meneruskan kata-kata. Kelihatan dia sulit menarik dan melepaskan nafas. Daun telinganya yang segar nampak seakan-akan layu. Wajahnya pucat.


"Ceritakan niat kamu," desak si ulama berbadan kecil.

"Saya kemari mahu bertaubat, mahu minta bimbingan dari Tuk guru. Saya mahu bertaubat, "aaaaddddduuuuhhhh..."

Lagi sekali lelaki berbaju cekak musang membongkok sambil menekan-nekan bahagian perut. Terhoyong-hayang ke kiri, ke kanan, macam orang mabuk laut. Tidak dapat mengimbangi badannya.


"Allahh....."


Cukup kuat suara lelaki berbaju cekak musang. Dia menjadi bertambah lemah, sebelum sekujur tubuhnya rebah di lantai, dengan bantuan si ulama berbadan kecil datuk berjaya memangku tubuh lelaki berbaju cekak musang.

Tubuh lelaki itu segera dibaringkan di ruang tengah masjid. Setiap sendi dijamah dan diurut oleh datuk. Mulut si ulama berbadan kecil kelihatan bergerak-gerak. Mungkin membaca ayat-ayat suci, fikir saya. Apa yang pasti, keresahan dan kebimbangan tetap terpamir di setiap wajah para jemaah. Semuanya cemas semacam.

"Keadaannya berat."


Bisik Harun ke telinga saya.


"Iya, macam menanggung sakit yang teruk," balas saya lemah. Orang di kanan yang mendengar kata-kata saya anggukkan kepala, seolah-olah setuju dengan komen yang saya luah. Dan perhatian kembali tertumpu ke arah lelaki berbaju cekak musang yang terlentang di tengah ruang.

Dada di sebalik bajunya nampak berombak, turun naik mengikut tekanan nafas yang tersangkut-sangkut, muka yang pucat mula ditumbuhi bintit-bintit peluh halus, bagaikan menahan rasa sakit yang amat sangat. Datuk menggunakan segala kepandaiannya untuk mengurangkan derita lelaki berbaju cekak musang, begitu juga dengan si ulama berbadan kecil.

Apa yang menariknya, anak muda empat puluhan yang menemaninya seperti tenggelam punca. Tidak tahu berbuat sesuatu, barangkali dia sendiri tidak tahu perkara semacam itu akan terjadi.


"Tuk guru, saya mahu bertaubat, saya menyesal dengan apa yang saya buat, lepas bertaubat di masjid ini saya mahu ke Mekah," ujar lelaki yang terlentang tercunggap-cunggap dan terputus-putus.

"Kalau Tuk Guru tak percaya, tanya pada anak saudara saya, wang ke Mekah sudah saya sediakan," sambungnya sambil sepasang mata merenung sayu ke arah anak muda empat puluhan yang anggukkan kepala, mengiakan kata-kata yang dituturkan oleh lelaki itu.


"Bersabar dan bertenanglah," datuk memujuk.

"Sabar, sabar. Allah suka dan kasih pada orang yang mahu bertaubat dan mengaku atas kesalahan yang dilakukan," tutur si ulama berbadan kecil dalam nada suara yang lembut.

PAYAH


DALAM keadaan yang payah itu, lelaki berbaju cekak musang mengerak-gerakan tangan kanannya mencari tangan si ulama "Saya sudah menunaikan hajatnya," anak muda empat puluhan bersuara. Wajahnya nampak sedih sekali. Si ulama berbadan kecil meluruskan badan lelaki berbaju cekak musang yang sudah menjadi mayat. Membetulkan letak kedua belah tangannya ke dada seperti orang qiam.

"Marilah kita berdoa semoga taubatnya diterima oleh Allah. Sesungguhnya, dia insan berhati mulia, hamba Allah yang berjiwa lohor. Dia mati dalam usahanya bertaubat dan menyerahkan diri pada Allah," kata ulama berbadan kecil sambil menatap wajah lelaki tersebut.

PERCAYA


SEMUA para jemaah seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku di depan mata. Begitu pantas dan tidak masuk di akal, semuanya bagaikan mimpi. Datuk termenung merenung lantai. Anak muda empat puluhan yang menemani allahyarham, tidak bersuara, dia juga seperti terkejut.

"Allah memberikan rahmat atas si mati kerana meninggal dunia dalam masjid, di depan Tuk Guru pula," seorang jemaah memberikan komentar.


"Dia sudah selamat menemui Tuhan. Tapi, kita yang hidup ini, tidak tahu di mana akan menemui ajal," sahut seorang jemaah lain yang berada tidak jauh dari saya.

"Tanah kubur, ajal maut hak Tuhan. Apa yang mustahak ialah sisasisa umur yang ada kita isikan dengan amalan, sentiasa bertaubat dan pasrah pada Tuhan," sahut yang lain.


"Soalnya, pernahkah kita bertanya pada diri sendiri, apakah kedatangan kita ke masjid ini, benar-benar ikhlas untuk melakukan suruhan Allah," saya segera menoleh ke arah orang yang berkata. Kami berbalas senyum.

Jauh di sudut hati, saya mula terfikir, kematian lelaki berbaju cekak musang secara tidak langsung menyedarkan para jemaah tentang erti kehidupan dan kematian, tentang erti keinsafan dan penyerahan diri kepada Tuhan. Dan kata-kata yang diluahkan, mereka secara tidak sedar telah mengkritik diri sendiri.

Si ulama berbadan kecil, anak muda empat puluhan serta ahli jawatan kuasa masjid mengadakan rundingan tergempar. Mencari kata putus untuk menyelesaikan pengkebumian jenazah arwah. Agak mengejutkan juga, bila anak muda empat puluhan menarik datuk untuk melibatkan diri dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Di luar sinar matahari kian keras. Jarum pendek jam yang terlekap di dinding masjid menunjuk ke angka tujuh, manakala jarum panjang menghala ke angka empat. Rasa dingin pagi yang menguasai ruang masjid kian berkurangan.

Para jemaah yang mempunyai atur tugas mula beransur-ansur meninggalkan masjid. Lebih dari tiga puluh orang masih bertahan di masjid, bersedia memberikan khidmat, jika diperlukan dalam urusan pengkebumian jenazah.

Setelah berbincang lebih dari sepuluh minit dan atas nasihat si ulama berbadan kecil, ahli jawatan kuasa masjid bersetuju menguruskan pengkebumian jenazah lelaki berbaju cekak musang, termasuk mandi, mengkafan dan menyembahyangkan. Lelaki itu dikategorikan sebagai "musafir."

"Terima kasih atas perhatian yang diberikan terhadap allahyarham ayah saudara saya. Khidmat bakti yang diberikan untuk mengatasi masalah ini hanya Allah saja yang membalasnya. Tapi "Anak muda empat puluhan terdiam, dia kelihatan muram sambil menahan perasaan terharu yang boleh mengundang tangisan.

"Ada apa masalah lain?," susul Pak Imam.


"Ceritakan," si ulama berbadan kecil mendesak. Anak muda empat puluhan terus tersedu. Pak Imam, ulama berbadan kecil dan datuk membiarkan anak muda itu larut dengan dengan masalahnya.

Beberapa orang jemaah yang bersedia membawa mayat ke ruang masjid membatalkan rancangan untuk sementara waktu. Semasa saya menarik nafas terhidu bau wangi yang sukar ditentukan jenis bauan, sama ada dari bunga-bungaan atau air wangi-wangian. Arah datangnya sukar dikesan.

"Ada bau wangi Tamar," bisik Harun.


Saya anggukkan kepala.


"Dari mana datangnya, Tamar?"


Macam tadi juga, saya tetap gelengkan kepala.

DIRASAKAN


APA yang dialami oleh saya dan Harun turut dirasakan oleh orang lain. Andaian ini saya buat, berdasarkan gerak-geri mereka yang menghalakan lubang hidung ke arah masjid sambil menarik nafas dalam-dalam sedangkan mata liar memandang ke sana dan ke sini. Ternyata mereka sedang menghidu dan mencari sesuatu.

Si ulama berbadan kecil tahu dari mana bau wangi itu muncul. Dia segera memanggil Pak Imam dan datuk, mereka bercakap-cakap sebentar.


"Tuk guru pasti," Pak Imam bersuara.


"Pasti, kawan kita ini juga setuju," Si ulama berbadan kecil menepuk bahu datuk yang berada di sisinya. Saya lihat datuk anggukkan kepala ke arah Pak Imam. Pengakuan dari dua insan itu mempercepatkan tindakan selanjutnya dari Pak Imam.

"Bantu saya," Pak Imam renung wajah datuk.


"Saya faham, biar saya buat," jawab si ulama berbadan kecil. Datuk yang sepatutnya menjawab pertanyaan Pak Imam tidak dapat berbuat

apa-apa. Tindak balas dari si ulama berbadan kecil cukup pantas. Semasa Pak Imam bersedia mahu membuka kain penutup mayat,si ulama berbadan kecil sudah pun bergerak ke bahagian belakang meninggalkan datuk. Ketika kain penutup mayat baru separuh di buka,bau wangi semakin semerbak.


Dan para jemaah yang masih berada dalam masjid tercenggang-cenggang. Tanpa disedari oleh sesiapa, si ulama berbadan kecil sudah berdiri di sisi Pak Imam.

"Bagikan kain yang lama pada saya, ambil kain baru ni untuk menutup mayatnya," Si ulama berbadan kecil hulurkan kain baru ke tangan Pak Imam untuk menutup jenazah lelaki berbaju cekak musang. Dan kain lama yang dihulurkan oleh Pak Imam kini berada dalam genggaman ulama berbadan kecil.

"Serahkan pada Tuk Siak." Tutur si ulama berbadan kecil sambil menghulurkan kain lama ke tangan datuk.

"Baik Tuk Guru."

Datuk segera bergerak ke arah orang yang dimaksudkan. Bila dia kembali semula ke tempat Pak Imam dan si ulama berbadan kecil. Jenazah lelaki berbaju cekak musang sudah pun diselimutkan dengan kain baru. Bau wangi beransur kurang, tidak sekuat tadi.

Semua yang berada dalam masjid bagaikan dapat menduga bau wangi itu datangnya dari mayat lelaki berbaju cekak musang. Tetapi, tiada seorang pun yang berani bertanya pada ulama berbadan kecil, Pak Imam atau datuk.

"Tuk guru."


Anak muda empat puluhan yang hampir dilupakan itu mula bersuara. Perhatian orang yang masih berada dalam masjid kembali tertumpu kepadanya.


"Apa yang boleh saya tolong?."

"Setelah dimandikan, dikafan dan disembahyangkan, izinkan saya membawa jenazah ayah saudara saya ke Pengkalan Beranda untuk dikebumikan di sana. Ini hajat saya dan juga hajat arwah."


"Oh ," si ulama berbadan kecil agak terkejut. Cepat-cepat dia merenung ke arah Pak Imam dan datuk. Dan Pak Imam yang faham dengan maksud renungan si ulama berbadan kecil, melaga-lagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali.


"Kami tidak keberatan," jawab Pak Imam.

"Kalau begitu kita uruskan jenazah ini dulu, kamu uruskan kenderaan untuk membawa jenazah ke kampungnya. Tak baik jenazah disimpan lama-lama, Islam menyuruh menyegerakan pengkebumian mayat kerana itu perbuatan yang baik," tutur datuk sambil sepasang matanya tertumbuk ke wajah anak muda empat puluhan.

"Tak payah cari kenderaan, saya sediakan."


Seorang jemaah berkulit hitam, berjubah dan berserban hijau muncul di sisi anak muda empat puluhan. Mereka bersalaman dan berpeluk-pelukan. Penuh mesra, bagaikan sudah kenal bertahun-tahun. "Saya Ali Usman," jawab anak muda empat puluhan.

"Allah mempertemukan kita di rumahNya."


"Benar cakap awak. Hanya Allah saja yang membalas budi baik tuan," tutur anak muda empat puluhan. Lelaki berjubah hijau tersenyum. Sepasang mata hitamnya merayap ke wajah saya.

"Soal pengangkutan sudah selesai, apa ditunggu lagi. Ingat, kita dilarang melambat-lambatkan pengkebumian jenazah," lembut sekali nada suara si ulama bertubuh kecil.

Saya kira, ungkapan itu ditujukan kepada Pak Imam, buktinya sambil bercakap matanya tertumpu ke muka Pak Imam. Semua yang ada di situ anggukkan kepala. Akur dengan seranah si ulama. Jenazah segera di usung ke tempat yang dimaksudkan.

DIBENARKAN


TIDAK semua yang berada di situ diajak ke tempat mandi mayat. Hanya orang ditunjukkan oleh Pak Imam saja yang diizinkan. Entah secara kebetulan atau sememang dipilih, datuk dan saya dibenarkan. Tetapi, Harun tersisih.

"Pergi Tamar, ini peluang kau belajar dan melihat cara-cara memandikan mayat," Harun memberikan galakan.


"Ini kesempatan yang baik," balas saya sambil melangkah menuju ke tempat mandi mayat.

Semasa memandikan mayat, bau wangi segera menusuk lubang hidung. Wajah mayat nampak bersih dan tenang. Pada hal, sebelum maut datang, wajah orang yang berkenaan nampak seperti menghadapi masalah yang cukup besar. Semua yang saya lihat dan rasai menimbulkan persoalan dalam hati. Kerja-kerja (mandi mayat) yang dilakukan dibawah pengawasan si ulama berbadan kecil.

Bau wangi itu berlanjutan hingga saat mengkafan dilakukan. Semasa disembahyangkan bau wangi tidak pula muncul. Ganjilnya, tiada seorang pun yang berani bertanya tentang bau wangi itu sama ada pada Pak Imam, pada ulama berbadan kecil atau kepada datuk. Bau wangi itu tetap menjadi sesuatu yang misteri di kalangan para jemaah yang masih berada dalam masjid.


Sembahyang jenazah sudah disempurnakan.

Hati kecil saya masih bertanya dan mengharapkan misteri bau wangi itu akan terungkap juga dalam masa yang terdekat. Jenazah di usung untuk dimasukkan ke kereta.


Dalam jangkaan saya (mungkin juga pada orang lain) hanya beberapa orang tertentu saja yang akan menghantar jenazah ke tanah perkuburan di Pengkalan Beranda.

Antaranya yang saya duga ialah, Pak Imam, si ulama bertubuh kecil dan beberapa orang tertentu. Penghalang utamanya ialah kenderaan. Anak muda empat puluhan yang menghilangkan diri, sebaik saja sembahyang jenazah selesai segera muncul.

"Ke mana kamu pergi tadi, jangan ke mana-mana selepas ini. Kamu kena jadi kepala jalan," secara spontan datuk bertanya.


"Saya mencari kawan yang membawa kereta dari sini ke tempat saya untuk menyampaikan pesan pada orang-orang kampung untuk menyediakan liang lahad," jawab anak muda empat puluhan dalam nada suara separuh tinggi dengan harapan dapat didengar oleh Pak Imam dan si ulama bertubuh keciL Hasrat, anak muda itu berhasil, buktinya kedua-dua insan yang dihormati itu menganggukkan kepala.

"Sesiapa yang mahu ke tanah kubur, bolehlah ikut," beritahu Syed Hamid Al-Hadad yang berdiri di muka pintu masjid sambil memberi laluan kepada orang yang mengusung jenazah ke kereta di halaman masjid.

"Dengan apa kita nak pergi?" seorang jemaah bertanya.


"Saya sediakan bas dan beberapa buah kereta," jawab Syed Hamid Al-Hadad lalu mengekori orang yang mengusung jenazah bergerak ke luar.

Syed Hamid Al-Hadad tidak berbohong selain dari lori kecil yang bumbungnya bertuliskan kalimah Allah untuk membawa jenazah, terdapat sebuah bas yang boleh memuatkan penumpang seramai 40 orang di samping beberapa buah kereta jenis Ford dan Austin buatan Eropah. Kerana sudah ada kemudahan, semua para jemaah bersedia untuk pergi.

SINAR


DALAM sinar matahari pagi yang mula garang, (lebih kurang pukul sembilan lebih) anak muda empat puluhan merasa terkejut. Tidak diduga kenalan barunya bersedia melakukan semuanya ini untuk bapa saudaranya yang sudah menjadi arwah. Dia segera mendekati Syed Hamid Al-Hadad.


"Dengan apa mahu saya balas jasa saudara."

"Ali."


Syed Hamid Al-Hadad memegang lengan anak muda empat puluhan dengan erat sekali sambil menyambung ungkapan-ungkapan yang terhenti.

"Tidak perlu dibalas, apa yang saya lakukan ini adalah tanggungjawab saya sebagai orang Islam. Allah telah memberikan sedikit kesenangan pada saya dan kesenangan yang sedikit ini harus saya berikan pada orang Islam yang dalam kesusahan."


Anak muda empat puluhan terdiam. Penuh terharu.

0 comments:

Post a Comment