Pengikut antu :P

Klik hantu nuffnang ok!:P

Thursday, May 5, 2016

266: GURU JADI HARIMAU

SBDJ SIRI 266 GURU JADI HARIMAU

Perhatian ditumpukan kembali ke arah datuk. Dia maju ke depan sambil membuka bunga silat, kemudian berhenti seketika. Buka langkah silat sekali lagi dan terus berhenti, menarik nafas sedalam-dalamnya dan melepaskan nafas secara perlahan-lahan sambil duduk dalam tiga peringkat.
Peringkat pertama, merendahkan badan dengan sepasang tangan di atas sepasang tempurung lutut, seperti orang melakukan rukuk (macam orang sembahyang). Peringkat kedua, bertukar macam orang bertinggung dan peringkat ketiga terus duduk bersila lalu melakukan tafakur dengan sepasang mata yang pejam.
Selesai melakukan tafakur datuk terus melompat macam ada sesuatu yang mencucuk punggungnya. Dia terus berdiri sambil sepasang tangan memeluk dada, sepasang bibir terus bergerak. Bila bibir berhenti bergerak kelopak mata terbuka luas, datuk menerkam ke arah serumpun rumput liar. Dengan senafas, rumpun rumput liar berakar seribu direntap dari bumi.
Akar rumput yang masih dilekati tanah itu diangkat tinggi-tinggi melepasi kepalanya dan dipusingnya berkali-kali. Kerana pergerakan tangannya cukup pantas, rumput yang dipusing atas kepalanya, kelihatan seperti putaran kipas helikopter. Tanah yang melekat di hujung akar rumput bercerai, berterbangan dan berserakan.
Sebahagian tanah yang berterbangan itu hampir saja mahu singgah di muka ayah dan ibu Shafie. Kalau mereka tidak mengelak, pasti ada tanah yang masuk ke mata. Saya dan Shafie segera menutup mata dengan telapak tangan agar serpihan tanah tidak kena mata dan muka.
“Allah hu akbar.”
Lantang sekali suara datuk, telapak tangan yang menutup mata segera dijatuhkan. Saya dan Tajuddin berpandangan penuh dengan tandatanya yang diiringi dengan rasa hairan. Pak Habib tenang saja, begitu juga dengan Shafie. Cuma yang nampak cemas sedikit, ayah dan ibunya.
“Hilang,” cetus saya dalam hati.
Rumpun rumput berakar seribu yang dikenali dengan nama rumput kuku kucing biang, sudah tiada ditangan datuk.
“Ahhh pelik sekali,” bisik batin saya. Helai-helai rumput kuku kucing biang melayang-layang bebas di udara. Semuanya menjunam menuju ke arah dua lelaki pengikut setia Shafie yang masih bergolek-golek atas rumput sawah terbiar.
Helai-helai rumput kuku kucing biang itu bergerak pantas bagaikan anak panah terlepas dari busarnya. Semuanya menuju ke arah dua lelaki yang sedang bergolek, berhempas pulas melawan sakit. Bila hujung rumput yang berterbangan menikam tubuh mereka, terdengar jeritan yang kuat dan panjang, bukan lahir dari mulut dua lelaki tetapi, dari sebatang pokok yang tegak gagah di tempat sepadan.
DUDUK
Bila suara sorakan dan jeritan hilang, dua lelaki pengikut setia Shafie terus duduk. Toleh kiri, toleh kanan, renung ke langit dan renung ke bumi. Perkara itu dilakukan berkali-kali, kemudian termenung dan termanggu-manggu macam ayam mabuk tahi.
“Eh ganjil,” terpancut dari mulut saya.
“Tengok dan lihat saja, jaga mulut kamu,” datuk memberi amaran.
Saya gigit bibir.
Hanya sepasang mata menyorot ke arah dua lelaki yang sedang merangkak menuju ke arah perdu pokok besar yang terpacak gagah menjadi sempadan antara kawasan sawah dengan kawasan tanah kampung.
Saya pasti benar, dari arah pokok besar itulah sebentar tadi datangnya suara orang menjerit panjang. Sebaik saja sampai di perdu pokok besar, mereka terus duduk mencangkung. Tangan kanan masing-masing memeluk kepala lutut kanan, sementara tangan kiri dijatuhkan lurus ke tanah. Jari jemari kiri mereka mencakar tanah.
Sepasang mata mereka, merenung layu ke arah datuk dan Pak Habib, membayangkan ada sesuatu yang mereka harapkan. Dan Pak Habib yang banyak mengerti tentang bahasa gerak tubuh dan mata, segera menepuk bahu datuk.
“Mereka mengharapkan bantuan untuk kebebasan diri dari sesuatu belenggu yang menyeksakan,” bisik Pak Habib.
Datuk mengangguk lemah.
“Uruskan,” tambah Pak Habib.
Macam tadi juga, datuk terus mengangguk.
“Memerlukan bantuan saya?”
Datuk gelengkan kepala.
Pak habib senyum senang hati.
Datuk segera memberitahu ayah dan ibu Shafie, minta bersabar sebentar. Biar dia uruskan dua lelaki pengikut Shafie dengan sempurna.
Bila semuanya selesai, perjalanan akan diteruskan. Tiada bantahan dari pasangan suami isteri tersebut. Shafie menggerakkan sepasang kelopak matanya, merestui permintaan datuk. Setelah membaca beberapa potong ayat dari Al-Quran datuk segera menuju ke arah pokok besar dengan diiringi oleh Pak Habib.
Saya dan Tajuddin disuruh berada di tempat masing-masing untuk mengawasi gerak-geri Shafie. Manalah tahu, kalau terjadi sesuatu yang tidak diingini.
Dalam jarak beberapa kaki mendekati perdu pokok besar, terdengar suara ngauman harimau. Langkah Pak Habib dan datuk terhenti seketika. Saya terasa seram, bulu roma terus tegak berdiri, muka Tajuddin nampak pucat. Shafie bersama kedua-dua orang tuanya nampak resah.
Sebaik saja suara ngauman berhenti, datuk dan Pak Habib terus memulakan langkah, ngauman harimau datang lagi. Tetapi, kali ini Pak Habib dan datuk mempersetankannya. Semakin rancak bunyi ngauman harimau, semakin bersemangat mereka melangkah.
Dalam keadaan samar-samar, saya melihat ada bebayang harimau belang sebesar kerbau, tercegat di depan kedua-dua lelaki pengikut setia Shafie, bagaikan menghalang datuk dan Pak Habib, mendekati dua lelaki tersebut. Datuk nekad untuk meneruskannya.
“Jangan sahabat, ini merbahaya,” tahan Pak Habib.
“Kalau tidak ditentang, kerja kita jadi sia-sia.”
“Merbahaya sahabat.”
“Sesungguhnya, tiada makhluk yang boleh melawan kekuasaan dan kekuatan Allah.”
“Kalau tu kata sahabat, silakan.”
“Tolong saya, bila keadaan terdesak.”
“InsyaAllah,” itu janji Pak Habib.
JATUH
Datuk pun melangkah, tiba-tiba dia terjatuh dan terlambung ke belakang macam ada sesuatu yang menolaknya. Bebayang harimau kelihatan mengangkat kedua-dua belah kakinya sambil membuka mulut selebar mungkin, bersedia untuk menerkam dan membaham datuk yang terlentang di tanah.
Sebelum harimau besar melompat ke arahnya, datuk menggolekkan tubuhnya ke arah kanan dan terus bangun. Datuk tahu, harimau yang ditentangnya, bukan harimau sebenar tetapi, harimau jelmaan. Datuk mengambil inisiatif menentang cara kebatinan.
Setelah memilih tempat bertahan yang sempurna dan kukuh. Datuk berdiri tegak dengan sepasang kaki terbuka lebar. Sepasang lengan diletakkan ke dada. Wajahnya nampak garang dengan sepasang mata bersama renungan tajam diarahkan ke arah bebayang harimau besar. Rambut yang menutup sebahagian cuping telinga nampak bergerak.
Baju dan seluar datuk juga turut bergerak seperti dirempah angin, keadaan datuk ketika itu seperti ditepi pantai, menahan angin yang datang dari laut. Datuk tumbang, tetapi berhasil bangun kembali. Tiga kali tumbang, tiga kali bangun, setelah itu datuk kelihatan stabil. Berdiri penuh yakin.
Episod selanjutnya, menyaksikan harimau sebesar kerbau tercampak ke kiri dan ke kanan. Sukar untuk berdiri. Sepasang kaki belakangnya bagaikan patah. Dua lelaki pengikut setia Shafie, terkaku diperdu pokok besar, bagaikan patung.
“Allah hu akbar.”
Suara datuk lantang sekali. Dia melompat tinggi sambil menumbuk dan menendang angin ke arah harimau besar. Terdengar suara ngauman harimau yang lemah dan mengerang. Bebayang harimau besar tercampak dan terperosok di pangkal pokok besar. Dua lelaki yang berada di situ terpelanting agak jauh ke sebelah kanan datuk. Terkapai-kapai di situ.
Manakala harimau besar yang terperosok, nampak mengecil dan akhirnya hilang, Cuma ada kesan debu-debu halus di mana harimau itu terperosok
BERTAFAKUR
Setelah bertafakur seketika, datuk segera mengembalikan tubuhnya, hati dan perasaan ke alam nyata. Dia melangkah ke arah Pak Habib lalu bersalaman dan berpelukan.
“Saya nak selesaikan masalah dua manusia sesat,” beritahu datuk pada Pak Habib.
“Silakan.”
“Macam tadi juga, saya minta bantuan, kalau saya tersepit.”
“pergilah, saya bersama awak.”
“Terima kasih.”
Datuk pun melangkah ke arah dua lelaki. Berdiri sambil bercekak pinggang di depan mereka. Kedua-dua lelaki itu takut menikus. Mereka menggeletar semacam.
“Apa lagi yang kamu mahu,” tanya Datuk.
“Kami tak mahu apa-apa,” jawab mereka serentak.
“Pulanglah ke tempat kamu, bertaubat. Kembalilah kepada ajaran Allah, jangan menuntut ilmu syaitan, jangan minta perlindungan dari syaitan. Mintalah, sesuatu kepada Allah,” nasihat datuk.
Kedua-dua lelaki itu anggukkan kepala.
Sebelum beredar, salah seorang daripada lelaki itu memberitahu datuk, kerana masalah dan kesempitan hidup dia jadi pengikut agama baru yang pada hematnya, tidak lari dari agama Islam.
Katanya, dengan bantuan tangan ghaib, dia hidup senang, berbanding dengan dulu. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sekarang dia termasuk dalam golongan orang mewah di kampungnya.
“Saya yang membawa dan memperdaya Shafie menjadi pengikut mahaguru,” tutur lelaki itu pada datuk dalam nada suara yang bersahaja, kerana saya berjaya menarik orang luar menjadi pengikut kumpulan kami, mahaguru secara diam-diam melantik saya menjadi orang kanan kumpulan,” sambung lelaki itu lagi. Manakala kawan yang berada di sisinya membatu seribu bahasa.
“Di mana mahaguru kamu, aku nak jumpa dengan dia,” kata datuk.
“Sudah mati untuk kali kedua, dia tidak mungkin hidup lagi,” balas lelaki tersebut. Datuk jadi bingung dan merasakan dirinya dipermain-mainkan.
“Jangan bergurau dengan aku.” Amaran dari Datuk.
“Dia tidak bergurau tuan,” kawannya mencelah.
Dan lelaki yang berdialog dengan datuk sebentar tadi anggukkan kepala. Mengangkat tangan kanannya, bagaikan minta izin pada datuk agar mengizinkan dia meneruskan penjelasan yang terputus.

0 comments:

Post a Comment