Pengikut antu :P

Klik hantu nuffnang ok!:P

Thursday, May 5, 2016

255: BOMOH KENA TENDANG

SBDJ SIRI 255 BOMOH KENA TENDANG

Malam itu penghuni kampung jadi gempar. Semuanya menyerbu rumah orang tua Shafie. Seluruh kawasan rumah terang bederang dengan cahaya andang daun kelapa. Apa yang berlaku segera diterangkan dengan terperinci oleh orang tua Shafie pada orang kampung.
Orang kampung yang berkumpul di halaman rumah mengambil keputusan untuk menjejaki dua insan yang lari. Kedua orang tua Shafie tiada daya untuk menghalangnya. Cuma mereka berpesan, jika dukun berhasil ditangkap jangan diapa-apakan. Suruh dia pulang. Pujuklah Shafie supaya balik ke rumah. Jangan dipukul dan dijentik batang tubuh mereka.
Ternyata, orang kampung bersedia mematuhi pesanan ayah dan ibu Shafie. Seluruh belukar dan hutan dijenguk. Semua rumah kosong dimasuki. Gua dan parit disusupi. Orang yang dicari tidak juga ditemui. Tetapi, orang kampung tidak putus asa dan terus mencari.
Malam yang hening menuju ke subuh terus dikocak dengan tempik sorak. Mereka bertembung dengan seorang lelaki terperosok dalam perigi buta. Ramai-ramai mereka menaikkan orang tersebut dari dalam perut telaga buta. Dan orang yang ditolong itu ialah orang tua berjanggut putih separas dada. Tetapi, sudah berubah menjadi hitam kotor.
Maka orang tua berjanggut putih separas dada itu, segera diusung oleh orang kampung ke rumah orang tua Shafie. Segala apa yang melekat ditubuhnya segera dibersihkan. Luka dan bengkak segera diubati. Bila didesak dan ditanya oleh orang-orang kampung. Secara jujur orang tua berjanggut putih separas dada menerangkan, hasratnya sekadar mahu menolong.
Dia juga mahu menguji formula barunya bagi menolong orang yang bermasalah. Formula barunya ialah mencantumkan cara perubatan tradisional dengan perubatan moden menggunakan pil vitamin yang dibeli di kedai farmasi.
Beberapa pesakit yang diubati mengikut formula barunya berhasil. Cara kebetulan dua orang pembantunya pernah bekerja di klinik swasta.
Seorang sebagai pembancuh ubat, manakala seorang lagi pembantu kanan pada doktor klinik berkenaan.
Sesungguhnya, dia tidak menduga akan mengalami perkara yang memalukan dirinya sebagai dukun. Lelaki tua berjanggut putih separas dada mengakui tendangan yang dilepaskan Shafie membuat dirinya terasa berpusing-pusing. Dua batang gigi tercabut dari gusi.
Ketika Shafie mengejarnya, dia berusaha berlari dengan sekuat hati. Apa yang ada dalam kepalanya ketika itu ialah kematian yang belum diketahui di mana tanah kuburnya. Malah, dia sendiri tidak pasti bagaimana dia boleh berada dalam perut perigi buta.
MELAYANG
Semasa dia berlari tiba-tiba dia merasai tubuhnya melayang di atas awang-awangan, kemudian terjatuh dalam tempat yang gelap. Seluruh badannya basah. Dalam masa yang sama didepannya berdiri orang hitam berbadan besar dan terus memukul kepalanya sekuat hati.
Setelah itu, dia tidak sedar apa yang berlaku. Bila bergerak ke kanan terasa seluruh tubuhnya sakit. Saat dia membuka mata didapati dirinya sudah berada di rumah orang tua Shafie dan melihat dua orang pembantunya berada dalam kandang buluh, di mana Shafie ditempatkan.
Lelaki tua berjanggut paras dada, tanpa diminta memberitahu orang kampung, kejadian yang memalukan di rumah orang tua Shafie, mungkin menjadi malam penamat kerjaya sebagai bomoh. Hasratnya untuk memperkenalkan formulanya di Kedah (Malaysia) sebagai sumber rezekinya terpaksa dibatalkan.
Kejadian malang di rumah orang tua Shafie seolah-olah menyedarkan dirinya supaya berhenti menjadi bomoh yang diakuinya banyak melakukan perbuatan tidak benar daripada yang benar. Banyak bercakap berbelit-belit tidak lurus, gunakan ayat Quran untuk kepentingan perut, pura-pura jadi orang warak pada hal pengetahuan tentang agama tidak sebanyak mana.
Pengakuan yang jujur dan ikhlas itu membuat orang kampung simpati dan kasihan. Semua yang ada di situ bermuafakat memberikan sedekah setakat mana yang mampu dalam bentuk rupiah.
Kedua-dua orang pembantu yang berada dalam kandang di ruang rumah segera dikeluarkan. Mereka juga diberikan sedikit habuan.
Sebelum dilepaskan, orang tua berjanggut separas dada bersama dua orang pembantunya diingatkan supaya jangan datang ke kawasan mereka untuk menjaja dan mempamerkan ilmu kebomohan yang bersalut dengan penipuan.
Andainya, mereka datang juga, belum tentu mereka boleh pulang dengan selamat. Apa yang dilakukan oleh Shafie adalah merupakan amaran pertama. Amaran selanjutnya, mungkin isi perut terburai atas tanah atau kepala terpisah dari tubuh.
Memang mengejutkan, bila orang tua berjanggut putih paras dada berjanji, tidak akan datang lagi ke kampung tersebut, walaupun diundang. Kata-kata itu mendapat tepukan dan sorakan dari orang kampung. Mereka segera mengiringi lelaki berjanggut putih paras dada bersama dua orang pembantu keluar dari kawasan kampung mereka.
SAMPAI
Setelah mendengar cerita sebenar yang disampaikan oleh pasangan suami isteri malang itu, saya lihat datuk dan Pak Habib menarik nafas panjang. Saya termenung dan Tajuddin tidak menunjukkan sebarang reaksi, sama ada sedih atau sebaliknya. Susah mahu diteka apa yang ada di dalam tempurung kepala Tajuddin.
Tajuddin menudingkan telunjuk ke arah kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap. Semua perhatian tertumpu ke arah yang ditunjukkan oleh Tajuddin. Kumpulan tersebut sedang mengurung lelaki yang mereka panggil sebagai Tuk guru yang kadang-kadang mereka sebut juga sebagai Pak Guru.
“Halang mereka, Pak Habib,” saya bertanya.
“Jangan, biarkan,” jawab Pak Habib.
“Nanti mencemarkan surau kita,” tingkah Tajuddin.
“Jangan, bila berada dalam surau, lebih mudah kita bertindak, kalau mereka robohkan surau, baru kita halang,” ujar Pak Habib. Saya dan Tajuddin berpandangan.
Barangkali Pak Habib sudah memikirkan buruk baiknya jika bertindak terburu-buru, kumpulan itu akan menang, Shafie tidak dapat diselamatkan dan terus jadi milik mereka, fikir saya.
Datuk minta suami malang menyambung ceritanya kembali. Permintaan datuk segera ditunaikan.
Kejadian malam itu merupakan malam perpisahan antara pasangan suami isteri dengan anak mereka, Shafie. Hilang entah ke mana. Perasaan sedih tiak dapat dibendung oleh si isteri.
Tiga bulan terpisah membuat si isteri merana dan jatuh sakit. Bermacam-macam usaha dilakukan, sakit yang ditanggung oleh wanita malang itu tidak juga sembuh.
Si isteri yang rindukan Shafie dibawa oleh suaminya ke hospital. Setelah diperiksa dah duduk dalam wad lebih dari dua minggu, doktor mendapati wanita itu tidak mengalami sebarang sakit. Dia mengalami tekanan perasaan yang agak hebat, rasa putus asa, kecewa dan marah sentiasa bermain dalam batinnya.
Menurut doktor yang merawatnya, penyakit itu boleh dikurangkan secara bertahap-tahap. Dan akhirnya boleh baik terus.
Satu saranan yang cukup mudah, tetapi agak berat untuk dilaksanakan. Sebagai ikhtiar, si suami malang tetap mencuba dan berusaha. Dia segera memulakan langkah untuk mengubatinya dan mencari anaknya dengan cara berpesan-pesan pada orang yang dikenalinya.
Usaha lain yang dilakukannya ialah menulis risalah sebanyak-banyaknya dalam tulisan jawi. Risalah itu ditampalkan di semua surau dan masjid seluruh daerah.
Bila ada masa terluang, dia akan melakukan sembahyang fardhu dari surau ke surau atau masjid dengan harapan ada jemaah yang tahu tentang Shafie.
TETAMU
Pada suatu malam Jumaat, di bulan rabiulakhir, seorang kenalan dari kampung berdekatan datang ke rumah. Kenalan itu menceritakan, kira-kira jarak tiga buah kampung dari kediamannya tersebar berita seorang muda yang baru keluar dari tempat pertapaan. Hebat dengan ilmu dunia dan akhirat.
Anak muda itupun segera dimuliakan oleh penduduk kampung berkenaan dianggap sebagai ‘manusia keramat hidup’. Mulutnya masin, sebut apa saja terus menjadi. Boleh menyembuhkan apa saja jenis penyakit dengan cara menyentuh ibu jari pesakit. Banyak benar kehebatan orang muda tersebut.
Suami malang segera tertarik dengan cerita tersebut. Dia ingin melihat bagaimana rupa anak muda ahli pertapaan itu. Di samping itu, dia mahu juga menyuruh isterinya berubat dengan orang alim dan warak. Satu persetujuan diikat oleh suami malang dengan kenalan dari kampung berdekatan. Pada hari jumaat akan datang, mereka berdua akan menunaikan fardhu jumaat di kampung tersebut.
Hari yang dijanjikan pun sampai kira-kira setengah jam lagi mahu masuk waktu, suami malang dan kenalannya duduk dalam masjid. Setiap jemaah yang masuk jadi perhatian suami malang.
Entah macamana dia terpandangkan satu kumpulan memakai pakain serba putih masuk ke dalam masjid. Kumpulan itu berada di saf atau barisan tengah masjid. Orang yang mereka panggil ‘Tuk guru’ menutup sebahagian mukanya, macam kebiasaan yang dilakukan orang-orang Arab dipadang pasir ketika menjaga kambing.
Kerana jaraknya agak jauh, pandangan sering diganggu oleh gerak kepala para jemaah dan muka orang mahu dikenali separuh tertutup, maka suami malang tidak dapat melihat dengan jelas wajah individu yang mahu dikenalinya itu.
Selesai sembahyang dan berdoa para jemaah menerkam pintu masjid mahu keluar. Suami malang dan rakannya segera menuju ke arah kumpulan berpakaian serba putih. Belum pun sempat sampai, kumpulan itu sudah mengiringi ketua mereka ke bawah pokok kekabu. Sebahagian daripada para jemaah terus menuju ke arah pokok tersebut.

0 comments:

Post a Comment