Pengikut antu :P

Klik hantu nuffnang ok!:P

Thursday, May 5, 2016

250: PEMUDA RAMBUT PANJANG

SBDJ SIRI 250 PEMUDA RAMBUT PANJANG

Dalam pertemuan di ruang tamu itu, datuk menyatakan hasratnya untuk pulang ke tanah semenanjung pada Pak Habib. Buat seketika, Pak Habib atau Syed Hamid Al-Hadad, tidak memberikan sebarang komentar. Dia tenang dan kelihatan bersahaja.
“Tak boleh tunggu, dua tiga hari lagi?”
Satu pertanyaan dari Pak Habib yang saya kira cukup berat untuk dijawab oleh datuk.
Angin yang masuk menerusi jendela memberikan kesegaran pada saya. Mungkin juga untuk datuk dan Pak Habib. Terdengar kokok ayam dan kicau murai dihujung ranting.
“Rasanya tak perlu,” jawab datuk.
“Maksud sahabat?”
Anak mata Pak Habib menyorot wajah datuk. Saya lihat datuk terpampan. Ekor mata kanannya mengecil, mencari alasan untuk membalas pertanyaan Pak Habib. Hampir sepuluh saat suasana di ruang tamu terasa sepi.
“Saya rasa semuanya sudah selesai. Hajat sahabat sudah saya tunaikan. Orang bertiga sudah balik, sudah bekerja dengan sahabat, malahan tekun belajar agama. Jadi apa perlunya saya di sini,” tutur datuk tenang.
“Kalau, saya katakan, saya memerlukan khidmat sahabat bagaimana?” Pak Habib senyum.
“Ini yang sulitnya,” datuk mengeluh.
“Tak sulit, asalkan sahabat mahu ikut cakap saya,”
“Itu paksaan secara terhormat namanya,” sanggah datuk.
Dua sahabat itu ketawa terkikih. Masing-masing bertindak bijak untuk ‘memerangkap’ antara satu sama lain secara diplomasi. Saya tersenyum. Angin terus masuk ke ruang tamu. Sayup-sayup terdengar bunyi lesung orang menumbuk padi.
“Begini saja, saya mahu berterus terang dengan sahabat. Ikut saya ke Jawa,”
“Haaa.......,” mulut datuk melopong.
“Tak susahkan diri sahabat, mungkin menguntungkan,’ nada suara Pak Habib lembut. Mulut datuk yang terlopong kembali bertaut. Tetapi, sepasang keningnya yang berbulu lebat, kelihatan seakan-akan terangkat seketika. Macam ada sesuatu yang bermain dalam kepalanya.
DOA
Hati kecil saya terus berbunga dengan doa. Semuga datuk akan memenuhi permintaan Pak Habib. Kembara di bumi rumpun Melayu atau lebih tepatnya seluruh Nusantara memang menjadi minat saya. Bukankah rumpun Melayu itu besar dan luas, budaya adatnya tidak jauh berbeza. Saya membina angan-angan dalam kepala.
“Jawa tu luas sahabat, tempat sebenarnya di mana?” datuk angkat kepala. Tentang biji mata Pak Habib.
“Tanah Abang,” suara Pak Habib yakin.
“Tanah Abang,” ulang datuk sedikit sangsi.
“Iya, Tanah Abang, Jakarta.”
“Hummmm?” keluh datuk.
“Bagaimana? Jadi.” Pak Habib minta kepastian.
Tiada jawapan pasti dari datuk, saya mula resah sendirian. Harapan untuk melihat tempat pendekar si Pitung menjadi samar.
“Bagaimana kalau lain kali saja sahabat?”
“Lain kali tu, boleh jadi tak pergi langsung. Bila sahabat balik ke tanah semenanjung. Entah bila pula kemari. Barangkali boleh jadi tak datang langsung,” Pak Habib menggaru hujung kening.
“Susah, saya benar-benar susah,” datuk mengeluh.
“Apa yang sahabat susahkan.”
“Saya dah berjanji dengan kapten kapal dagang yang mahu ke Pulau Pinang tengahari esok. Orang yang menguruskan hal ini, Tajuddin anak saudara sahabat. Berat rasa hati nak membatalkannya,” wajah datuk nampak sugul.
“Jangan bersusah hati, biar saya uruskan hal ini.”
“Tapi........,”
“Saya faham, sahabat segan dengan Tajuddin. Kapal yang mahu sahabat tumpang tu, kapal saya. Kenapa sahabat berahsia dari saya,” amat bersahaja Pak Habib mengungkap kata-kata.
“Bukan berahsia, tetapi tidak mahu menyusahkan Habib,” Pak Habib pun menghadiahkan senyum sinis untuk datuk yang tersipu malu.
“Tunggu sebentar,” tiba-tiba saja Pak Habib berkata demikian pada saya dan datuk. Pasti saya merasa ganjil dengan perbuatannya. Kemudian Pak Habib tergesa-gesa masuk ke bahagian ruang tengah rumah. Terdengar Pak Habib bercakap dengan seseorang. Kurang jelas apa yang diperkatakannya dengan orang tersebut.
GABUNG
Pak Habib kembali ke ruang tamu bergabung dengan kami. Topik perbincangan tidak lagi berkisar pada persoalan pergi ke tanah Jawa. Walaupun datuk belum memberikan kata putus sama ada pergi atau sebaliknya. Perkara itu terus tergantung begitu saja.
Mendengar datuk dan Pak Habib membahasakan hal-hal yang ada sangkut paut dengan agama, memang tidak menarik minat saya.
Kerancakan perbahasan datuk dengan Pak Habib terganggu oleh suara orang memberi salam di luar. Setelah menjawab dengan lantang. Pak Habib mempersilakan si pemberi salam naik ke rumah. Orangnya memang saya kenali, Tajuddin anak saudara Pak Habib.
“Panggil saya?” itulah yang diajukan oleh Tajuddin sebaik saja merenung muka Pak Habib. Saya jeling datuk yang sedang merenung ke arah Tajuddin. Langsir tingkap bergerak lemah disentuh bayu. Kerana jawapan dari pertanyaan yang diajukan oleh Tajuddin lambat dijawab oleh Pak Habib menyebabkan Tajuddin resah, merasakan dirinya berdiri dalam keadaan yang serba tidak kena.
“Memang aku panggil kamu.”
Tajuddin menarik nafas panjang. Lega hatinya mendengar jawapan itu. Wajahnya nampak riang.
“Beritahu kapten Nasir orang ini tak jadi balik ke Pulau Pinang, pastikan barang dagang yang dibawanya ikut peraturan, jangan bawa benda salah,” tambah Pak Habib.
“Saya faham. Maafkan saya kerana membenarkan Nasir membawa orang ini ke Pulau Pinang,” Tajuddin renung muka saya dan datuk. Pak Habib mendengar dengan teliti sekali.
“Kesilapan saya kerana tak memberitahu Pak ayah,” samung Tajuddin wajahnya nampak sedikit cemas.
“Sudahlah, tu. Lain kali jangan main pandai sendiri.”
“Maaf, saya pergi.”
“Silakan.”
Tajuddin bersalaman dengan Pak Habib. Kemudian bersalam dengan datuk dan saya. Ketika bersalaman itulah Tajuddin sempat menepuk bahu saya seraya berkata: “Kamu kena duduk lama di sini”.
Saya balas dengan senyuman yang panjang. Penuh tanda tanya dan seribu makna. Ruang tamu yang luas kembali dikuasai oleh kami bertiga. Angin semakin rancak masuk ke ruang tamu lalu menyapa wajah tiga manusia.
“Bagaimana sekarang?” Tiba-tiba Pak Habib bersuara.
“Maksudnya,” soal datuk kembali.
“Maksudnya amat mudah, keputusan ditangan sahabat. Tugas saya sudah selesai. Kapten kapal dah tahu sahabat tak jadi menumpang ke Pulau Pinang,” dalam senyum dan tenang Pak Habib melafazkan kata.
SENYUM
Datuk renung ke arah saya bersama segaris senyum.
“Jawapannya,” datuk ketawa kecil, “sahabat sudah tahu. Bak kata orang sudah terang, bersuluh lagi. Menyeberang dengan perahu, bila perahu tak ada duduklah ditebing. Itulah ibarat diri ini.”
“Jadi sahabat setuju ke Tanah Abang,” riang sekali suara Pak Habib. Dia ketawa puas. Wajahnya ceria sekali.
“Apa lagi mahu dikata, sebagai tetamu ikut saja cakap sahabat,” datuk mengalah sambil memperkemaskan silanya.
“Niat saya baik, mahu memperkenalkan sahabat dengan keturunan pendekar Tanah Abang. Barangkali ada ilmu yang baik untuk diambil. Ilmu yang buruk ditinggalkan,” Pak Habib berhenti bercakap seketika.
“Ilmu yang baik itu boleh diambil dan dikembangkan di tempat sendiri,” sambung Pak Habib. Datuk terlalu lambat memberikan tindak balas. Entah mengapa saya pula yang berdebar cemas.
“Dengan keturunan siapa sahabat mahu memperkenalkan saya?” Satu pertanyaan yang cukup positif dari datuk.
“Dengan keturunan Si Pitung, Si Jampang Macan Kamayuran, mereka ini dinaggap jagoan Tanah Abang yang menentang Belanda. Mereka membela rakyat yang tertindas. Mesti ada petua langkah. Ilmu-ilmi lama yang ditinggalkan pada keturunannya. Apa salahnya kita memetik yang baik dari ilmu itu,” pendapat dan jawapan dari Pak Habib yang positif dan berkeyakinan.
TUA
Saya kira, sebagai orang tua yang tidak pernah putus-putus mencari dan menuntut ilmu dunia atau akhirat, datuk pasti tidak menolak tawaran yang dikemukakan oleh Pak Habib. Malah saya kira dautk tetap berminat dan tidak menolak peluang tersebut.
“Bila nak pergi, kalau lambat sangat, saya kurang seronok,” bersahaja datuk bertanya. Pak Habib sandarkan badan ke dinding. Sepasang matanya merenung awan gemawan yang bergerak lemah menerusi jendela yang terdedah. Kerut keningnya menandakan Pak Habib sedang memikirkan sesuatu.
Kemudian lelaki berdah Arab-Melayu menarik nafas panjang. Air mukanya kelihatan cerah sekali.
“Hari ni, hari Isnin, besok Selasa, kemudian Rabu. Saya cadangkan pagi Khamis kita berangkat ke sana. Jadi pada malam Jumaat kita berjemaah di Masjid Al-Makmur, tidak berapa jauh dari pasar Tanah Abang, salah satu masjid tertua di Jakarta. Berjemaah malam Jumaat di masjid lama, kata orang dapat berkat,” suara Pak Habib lemah membayangkan kebimbangan kalau-kalau datuk menolak cadangannya.
Tiada komentar dari datuk. Kepalanya diangkat sedikit merenung lelangit ruang tamu. Bagaikan mencongak sesuatu dan perlahan-lahan anggukkan kepala. Wajah bimbang Pak Habib kembali cerah.
“Boleh,” jawab datuk penuh yakin.
“Bagus,” Pak Habib tegakkan badannya kembali.
“Jadi sementara menanti hari Khamis, saya terpaksa bergaul dengan ketiga-tiga manusia itu, mengajar mereka petua-petua bagaimana nak kusyuk sembahyang, selain dari menanamkan semangat tauhid dalam dada mereka,” datuk mengeliat.
“Memang itulah yang diharapkan dari sahabat, ketiga-tiga manusia yang menawan kita dulu, amat serasi dan menghormati sahabat. Kesempatan itu mesti digunakan dengan sebaik mungkin, lagi pun orang-orang di sini terlalu menghormati orang luar yang berilmu (agama) dari orang tempatan,” satu pengakuan yang ikhlas dari Pak Habib.
“Barangkali perkara ini berlaku secara kebetulan,” datuk cuba membunuh rasa kecewa di hati Pak Habib.
“Saya tahu, ini satu fenomena biasa, berlaku di mana-mana dalam apa jenis masyarakat pun, lebih mementingkan dan memandang mulia orang luar dari orang dalam,” Pak Habib meluahkan pendapatnya. Ternyata datuk setuju dengan pendapat tersebut.
BERGERAK
Menjelang keberangkatan ke Tanah Abang (hari Khamis) datuk cukup sibuk sekali. Dia bagaikan tidak ada masa, (mungkin terlupa) terucap. Biasanya nama nenek disebut oleh datuk setelah melakukan solat Tahajud atau ketika selesai mengerjakan solat Asar.
Harapan Pak Habib memang dilaksanakan oleh datuk dengan sebaik mungkin. Setiap masa (selepas waktu kerja) datuk mendampingi ketiga-tiga manusia laknat yang sudah insaf. Mereka sentiasa diingatkan bila melakukan sesuatu harus ikhlas dan mencari sumber rezeki dari sumber yang halal.
Bila bekerja dengan orang (makan gaji) mesti ikhlas menjalankan tugas, ikut peraturan Islam. Jangan sekali-kali curi tulang tanpa sebab-sebab yang kukuh. Bila kerja tidak ikhlas, gaji yang diperolehi tidak berkat. Sentiasa tidak cukup, sentiasa terhimpit.
Datuk juga memberitahu mereka, setiap gerak dan nafas kita adalah milik Allah. Jadi Allah harus lekat dikalbu. Setiap kali bergerak atau melakukan sesuatu sama ada berjaya atau gagal, mesti diucapkan doa kesyukuran pada Allah. Setiap doa yang dihembus adalah doa kesyukuran pada Allah.
Datuk meyakinkan mereka menanamkan semangat cinta agama dengan dalil dan petunjuk yang mudah. Sesuai dengan latar belakang kehidupan dari mana mereka datang. Begitu juga dengan pendidikan yang mereka perolehi.
Mereka tidak disuruh menjadi Islam yang fanatik. Secara perlahan-lahan dan teratur, datuk menyuruh mereka menjadi seorang Islam yang progresif sesuai dengan perkembangan arus kemajuan ketika itu. Mereka disuruh melihat dunia luar secara terbuka dan luas.
Mereka disuruh banyak membaca buku-buku pengetahuan yang ada hubungkaitnya dengan ilmu bintang, sains dan kedoktoran, tak kira buku ditulis dalam bahasa apa, pokoknya mereka boleh membaca, asalkan tidak lari dari asas Islam. Bila perkara yang sama diasak setiap hari oleh datuk, maka cara berfikir mereka mula terbuka. Mereka benar-benar melupakan dunia hitam yang pernah mereka lalui.
GEMPAR
Pada hari Rabu, kira-kira jam sepuluh pagi, berlaku kegemparan tidak jauh dari kawasan surau. Seorang lelaki yang sejak dua hari lalu (Isnin dan Selasa) menumpang di surau atas keizinan keluarga Pak Habib melakukan sesuatu yang diluar dugaan.
Keizinan menginap di surau keluarga Pak Habib dibenarkan oleh Pak Habib, kerana lelaki yang berambut panjang, mendakwa dirinya dari Binjai menyatakan dia mahu melakukan amal ibadah di surau tersebut dalam waktu beberapa hari.
Dia juga memberitahu yang dirinya dalam perjalanan ke Padang Panjang untuk menuntut ilmu agama. Atas alasan itu, permintaannya diperkenankn oleh Pak Habib.
Memang ternyata lelaki berambut panjang itu mengkotakan apa yang dikatanya. Hasil intipan para tetangga membuktikan yang kebanyakkan masa lelaki berambut panjang itu dihabiskan dengan membaca kitab-kitab yang dibawanya. Tidak seorang ahli qariah yang tahu jenis kitab yang dibacanya kerana perkara itu amat dirahsiakannya.
“Lelaki itu gila, kita dah silap membenarkan dia tinggal di surau,” kata Tajuddin pada Pak Habib yang datang ke surah setelah diberitahu apa yang terjadi. Pak Habib datang bersama datuk.
“Apa yang dibuatnya?” Tanya Pak Habib.
“Dia mahu membakar surau dan mahu membunuh siapa saja yang menghalang. Dia bawa parang panjang,” jelas Tajuddin pada pamannya.
“Sekarang dia berada di mana?” Soal Pak Habib lagi.
“Ada dalam surau.”
“Habis macamana, kamu kata dia mengamuk,” datuk pula menyoal.
“Tadi, semasa Kamarul mahu sembahyang Dhoha di surau dilarangnya. Dia beritahu Kamarul tak ada sembahyang selepas sembahyang subuh. Kamarul cuba terangkan kedudukan sebenar. Dia tak mahu terima. Kamarul dihalau, dikejarnya dengan parang panjang,” terang Tajuddin.

0 comments:

Post a Comment