Pengikut antu :P

Klik hantu nuffnang ok!:P

Thursday, May 5, 2016

231: PAWANG 99 ISTERI

SBDJ SIRI 231 

PAWANG 99 ISTERI


Sayup-sayup terdengar suara menyebut nama saya dan Ali Usman. Bila saya mengerakkan kepala dan menoleh ke kiri dan ke kanan, ternyata kami berada di pangkal pokok angsana, berdahan besar dan berdaun lebat.
Ayah Ali Usman, Syed Hamid Al-Hadad dan orang-orang kampung mengelilingi kami. Malah beberapa orang daripada mereka cuba mengangkat tubuh kami ke tempat yang lebih selamat dan selesa.
“Hampir satu jam kami menunggu. Kamu bertiga tidak juga balik-balik. Aku ajak orang-orang kampung mencari ke rumah tua ni. Sebaik saja kami sampai di halaman rumah terdengar letupan, kami nampak kamu berdua tercampak keluar dari rumah,” Ayah Ali Usman memberi penjelasan dan diakui oleh orang kampung yang berada di situ.
“Datuk kamu di mana?” Tanya Syed Hamid Al-Hadad.
“Entah, tadi kami bertiga berada di dalam rumah,” jelas saya.
“Api”
Jerit lelaki yang berdiri di sebelah kanan pokok angsana. Semua bji mata tertumpu ke arah rumah lama milik raja rasuk. Api terus menjilat bahagian depan rumah dengan rakus sekali. Asap hitam tebal, kelihatan menuju ke dada langit.
Beberapa letupan kecil turut kedengaran. Pokok besar yang selama ini gagah melindungi rumah raja susuk turut dijamah api. Binatang-binatang liar yang selama ini berkeliaran di dahan pokok besar, di bumbung rumah dan kaki tangga hilang entah ke mana.
“Datuk kamu di mana?” Tanya Syed Hamid Al-Hadad lagi.
“Dalam rumah”
“Subhanallah,” sahut Syed Hamid Al-Hadad sambil menepuk dahi.
Semua wajah di situ nampak cemas. Malah ada yang cuba mahu masuk ke dalam rumah yang terbakar. Tetapi, segera dihalang oleh Syed Hamid Al-Hadad.
“Kita berdoa, semoga dia selamat,” cadangan dari Ali Usman diterima dengan sebulat suara. Semua yang berada di situ segera berdoa.
Saya tidak dapat menggambarkan perasaan saya ketika itu. Rasa sedih, hampa dan putus asa berbaur dalam hati. Mahu rasanya, saya rempuh api yang menyala. Mahu rasanya saya menjerit. Syukur, apa yang difikirkan tidak pula terjadi. Saya masih dapat mengawal perasaan. Surrah ALAM NASRAH tidak lekang dibibir, tidak terpisah dari hati saya.
Allah yang maha penyayang dan pengasih menerima doa orang kampung. Dalam api yang menyala ganas bersama kepulan asap tebal, kelihatan datuk melangkah tenang mendatangi ke arah Ayah Ali Usman dan Syed Hamid Al-Hadad. Mereka berdakapan. Pakaian datuk tidak dijamah api.
“Kamu hebat.”
Ayah Ali Usman menatap tubuh datuk dari kepala hingga ke kaki. Syed Hamid Al-Hadad tidak memberikan sebarang komentar. Berkali-kali dia mengucap syukur pada Allah kerana datuk selamat.
“Apa ilmu kamu,” Ayah Ali Usman seperti mendesak.
“Semuanya atas kemahuan Allah. Sebagai hambanya, aku berusaha dan berdoa. Alhamdulillah doa aku diperkenankan oleh Allah dan aku selamat. Sebagai orang Islam tempat paling baik meminta pertolongan ialah Allah yang Maha Besar. Dalam meminta pertolongan itu kita mesti berusaha dan berdoa, melakukan apa yang disuruh dan membuang apa yang ditegah,” secara tidak langsung datuk memberikan ceramah.
Semua yang berada di situ anggukkan kepala. Mereka sependapat dengan saranan datuk itu.
KERAS
Dalam tempoh tidak sampai satu jam. Rumah besar milik raja susuk punah ranah menjadi abu. Kecuali tiang, tegak tiga yang dibuat dari kayu keras. Tetapi, bahagian bucunya nampak hitam dan mengeluarkan asap nipis. Beberapa patung dari tembaga bergelimpangan. Tidak ada sesiapa pun yang berminat untuk mengambilnya.
Berdasarkan pada keterangan dari ayah Ali Usman. Memang tidak lama kami berada di dalam rumah raja susuk yang sudah menjadi debu itu. Namun dugaan demi dugaan yang dialami menyebabkan kami terasa seperti berada lebih dari lima jam dalam rumah tersebut.
Ketika kami dan orang-orang kampung meninggalkan kawasan rumah raja susuk yang terbakar. Api sudah padam sama sekali. Hanya bara saja yang masih menyala. Sekejap garang, sekejap malap, mengikut irama tiupan angin yang berlegar di situ.
TAUBAT
“Tamar, rasanya kehebatan dan kemasyhuran bapa saudara aku sudah habis. Aku bersyukur kerana dapat menyedarkannya, membimbingnya. Dia sempat bertaubat sebelum mati,” kata Ali Usman kepada saya, di saat mahu berangkat ke Kota Medan.
“Sebenarnya, masih belum selesai lagi Ali,” secara mendadak datuk campur.
“Maksudnya?.” Soal Ali Usman.
“Fikirkan sendiri,” datuk menjawab.
Ali Usman termenung sejenak. Anak matanya merenung ke wajah datuk. Dua tiga kali Ali Usman menggosok-gosok pangkal hidungnya. Ternyata dia masih belum dapat menyelami maksud ungkapan kata dari datuk.
“Saya tak faham.” Ali Usman mengaku kalah.
“Maksud aku begini Ali, anak-anak murid bapa saudara kamu masih ramai, berselerak di tanah semenanjung, di Sumatera dan tanah Jawa. Barangkali ada di antara anak-anak muridnya itu lebih handal, lebih hebat darinya. Boleh jadi mereka menambahkan lagi amalan ilmu susuk dari ilmu dari Siam, Tibet dan macam-macam lagi. Kemudian mereka campur adukkan dengan ayat-ayat Quraan.”
“Betul juga. Ini masalah besar, bukan mudah mengatasinya,” keluh Ali Usman. Syed Hamid Al-Hadad yang dapat menangkap perbualan antara datuk dengan Ali Usman hanya anggukkan kepala.
Ayah Ali Usman bersama sekumpulan orang kampung berborak kosong dekat tangga rumah. Mereka seolah-olah tidak mahu ambil tahu apa yang berlaku antara datuk, Syed Hamid Al-Hadad dan Ali Usman. Barangkali, mereka masih memperkatakan tentang diri datuk yang dapat menyelamatkan diri dalam kebakaran.
“Perkara begini bukan mudah diatasi. Banyak cubaan dan rintangannya,” Ali Usman mengulangi keluhannya. Datuk meraba pangkal hidungnya. Syed Hamid Al-Hadad segera mendekati Ali Usman.
“Berikhtiar dulu, jangan banyak mengeluh sebelum berjuang. Kita yang tahu harus menunjukkan jalan yang betul pada orang Islam yang sudah tersalah langkah. Kalau kita biarkan, kita berdosa,” Syed Hamid Al-Hadad menepuk lembut bahu kiri Ali Usman.
“Saya setuju dengan pendapat tuan Syed,” datuk mencelah. Mereka bertukar senyum. Ali Usman menarik nafas.
TUBUH
Angin yang bertiup mengerakkan hujung rambut Ali Usman. Beberapa orang kampung yang berkumpul di kaki tangga mula berpecah. Masing-masing dengan tujuan tersendiri. Hembusan angin membuat tubuh terasa sejuk.
“Membenteras perbuatan begini memang susah. Tapi kalau ada keyakinan boleh berhasil,” Syed Hamid Al-Hadad memulakan percakapan yang sudah terhenti.
“Pada hemat aku, semakin maju cara manusia berfikir, semakin kuat perkara tahyul, syirik berlaku. Sebabnya dalam kemajuan dunia moden, manusia selalunya lupa pada asas agama.” Dengan teratur Syed Hamid Al-Hadad menyusun kata.
“Mereka mengutamakan kebendaan dan kemajuan dunia. Mereka lupa pada hal-hal kerohanian. Kemajuan pembangunan dan fikiran yang tidak berlandaskan hukum agama akan membawa manusia kembali kepada perkara-perkara yang karut, tahyul hingga terkeluar dari akidah agama,” sambung Syed Hamid Al-Hadad lagi. Datuk setuju dengan pendapat itu. Tetapi, Ali Usman tidak memberikan sebarang komen.
Dua tiga kali Ali Usman berlegar-legar di depan datuk, Syed Hamid Al-Hadad dan saya, macam ada sesuatu yang difikirkannya. Tiba-tiba Ali Usman berhenti menjawab. Dia mendonggakkan kepala merenung ke langit, melihat awan yang berarak lembut seketika. Ali Usman cuba mencari ketenangan mengikut caranya sendiri.
“Ali, apa masalah kamu?”. Tanya datuk.
Dengan langkah yang pantas dia menuju ke sisi datuk. Telapak tangan datuk disambarnya dan digenggam dengan erat.
“Dengan ilmu yang sedikit ini, perkara itu tidak akan berulang lagi di sini. Kalau panjang umur dan ada rezeki, saya cari anak-anak murid bapa saudara saya di semenanjung atau mana saja,” satu ikrar dari Ali Usman, bekas pelajar salah sebuah pusat pengajian tinggi di Arab Saudi.
“Mudah-mudahan Allah memberkati cita-cita kamu,” serentak Syed Hamid Al-Hadad dan datuk berkata. Ali Usman melepaskan telapak tangan datuk yang digenggamnya. Dia beralih kearah Syed Hamid Al-Hadad lalu memeluknya.
Perbuatan mereka bertiga menarik perhatian ayah Ali Usman dan orang-orang kampung. Mereka segera mendekatinya.
“Berpeluk kerana mahu berpisah, kami nak berangkat ke Medan,” saya sekadar berjenaka. Dan tanpa diduga kata jenaka menjadi kenyataan. Bila Syed Hamid Al-Hadad menyuruh pemandunya menghidupkan enjin kereta.
Orang-orang kampung pun segera menghulurkan tangan untuk bersalaman sambil mendoakan perjalanan yang bakal kami lalui terhindar daripada kejadian yang tidak diingini.
Sebahagian daripada mereka memeluk datuk dan Syed Hamid Al-hadad. Air mata ayah Ali Usman mengalir dipipi. Suasana perpisahan pada petang itu terasa hiba dan pilu sekali. Ali Usman saya lihat dua tiga kali mengesat kelopak mata dengan telapak tangannya.
SEMENANJUNG
Beberapa tahun berikutnya, atas undangan pihak tertentu Ali Usman datang ke bahagian utara semenanjung. Dia diminta memberikan ceramah agama oleh pihak yang mengundangnya. Malah, dia sempat tinggal di tempat tersebut (negeri) selama enam bulan untuk berkhidmat secara sukarela mengajar tafsir Al-Quran dari surau ke surau.
Sebenarnya, di samping mengajar Ali Usman ada tujuan lain. Dia mahu mengesan dan mencari bekas anak murid bapa saudaranya. Bak kata pepatah sambil menyelam minum air. Dengan izin Allah semasa dia mengajar di salah sebuah surau di Daerah Kuala Muda, dia sempat bertemu dengan salah seorang bekas murid arwah pamannya.
“Ustaz orang Medan?.”
“Iya,” lembut suara Ali Usman.
“Saya pernah belajar di sana Ustaz.”
“Belajar apa?”
“Ilmu dunia ustaz. Guru saya tu memang handal dalam hal-hal dunia. Dia duduk di kawasan Pengkalan Berandan.”
“Haaaa……………,” kata Ali Usman. Dia tidak dapat menyembunyikan rasa terkejutnya.
“Kenapa Ustaz?.”
“Tak ada apa-apa, mari kita ke warung kopi.”
Dialog itu terjadi di halaman sebuah masjid, sebaik sahaja Ali Usman selesai menyampaikan kuliah subuh. Dan mereka pun segera menuju ke sebuah warung.
Terlalu banyak yang ditanyakan oleh Ali Usman sebelum dia memperkenalkan dirinya pada bekas anak murid bapa saudaranya itu. Setelah diyakininya orang itu tidak berbohong, barulah Ali Usman menerangkan kedudukan yang sebenar.
Dalam pertemuan yang tidak disengajakan itu. Bekas anak murid pamannya dengan bangga memberitahu yang dia sudah berhasil memperisterikan sembilah puluh sembilan (99) wanita.
Dua puluh orang terdiri dari anak dara yang berusia bawah dua puluhan. Lima puluh lima (55) anak dara tua. Berusia dari tiga puluh lima (35) hingga lima puluh (50) tahun. Selebihnya, dua puluh empat (24) terdiri daripada janda beranak satu hingga lima. Kahwin cerai, sudah menjadi perkara biasa dalam hidupnya.
Pernah terjadi, dalam tempoh waktu sebulan, si anak murid menikah empat kali. Dan dalam waktu yang lain, dia menceraikan empat isteri sekaligus untuk menikah lagi. Kebanyakan isteri yang dicerai tidak mahu kahwin lagi. Kalau kahwin pun tidak lama usianya, paling tinggi enam bulan.
KEBATINAN
Alasan yang diberikan oleh para janda bekas anak murid pamannya ialah tidak puas. Suami baru tidak sehebat dengan suami yang dulu, sama ada dari segi kebatinan, kerukunan rumahtangga dan kemesraan. Kalau yang baru tidak menyamai dengan yang lama, lebih baik menjanda sampai akhir hayat.
Terlalu banyak perkara yang diceritakan oleh si murid tentang kehebatan bekas gurunya. Hebat dalam dunia persilatan. Handal memikat kaum hawa, dengan sekali jeling kaum hawa boleh diajak jadi teman tidur. Boleh menghilangkan diri, tubuh tidak lut senjata tajam. Boleh mengekalkan kejelitaan wajah, kaum Adam tidak kelihatan tua.
Bila diberitahu, bekas gurunya sudah meninggal dunia. Si murid terkejut, termenung panjang dan menggelengkan kepala. Lebih-lebih lagi bila mengetahui bekas gurunya mati dalam masjid dan sempat bertaubat.
“Kenapa mati begitu, Ustaz?”
“Kenapa tanya macam tu, bukankah setiap yang bernyawa lawannya mati.”
“Bukan begitu, tuk guru beritahu saya, dia mati dalam air. Kerana itu sumpahnya, nyawanya tidak berpisah dengan badan selagi kakinya memijak bumi.”
“Siapalah yang boleh melawan kuasa Allah. Guru awak sudah silap dan takbur. Mahu melawan kudrat Allah.”
“Hummmmm……………” si anak murid mengeluh.
“Esok kita jumpa di sini lagi. Nanti saya ceritakan, apa yang kamu tidak tahu tentang guru kamu,” kata Ali Usman.
“Saya setuju.”
Serentak mereka bangun dan bersalam. Si anak murid menjelaskan bayaran minuman. Kemudian mereka melangkah menuju haluan masing-masing.
SURAT
Bekas anak murid paman saya cukup megah dan bangga. Hasil dari kahwin cerai, dia mempunyai 80 orang anak, tidak termasuk yang meninggal semasa lahir. Malah, ada di antara anak-anaknya itu tidak dikenalinya langsung. Tidak hairanlah bila anak tak kenal ayah, sebabnya ayah tidak kenal anak,” tulis Ali Usman dalam sepucuk suratnya kepada saya.
Surat itu diposkan di Medan, setelah dia kembali ke kampung halamannya. Apa yang menghampakan saya, kenapa semasa berada di negeri jelapang padi, dia tidak menghubungi saya? Tetapi, kehampaan itu berakhir begitu saja, bila memikirkan yang dia kesuntukan waktu.
Dalam suratnya itu, Ali Usman menyatakn bekas anak murid pamannya dikenali dengan nama DIN PAWANG MANIS. Terkenal di kalangan para penyanyi, pelakon filem dan bangsawan. Din Pawang Manis diburu oleh golongan tersebut untuk pasang susuk. Agar tidak kelihatan tua. Beberapa isteri orang besar, tokoh politik dan perniagaan juga memburunya minta minyak pelaris, pengasih, agar disayangi suami.
Ada juga para isteri tokoh perniagaan yang separuh umur datang menemuinya untuk mengunci nafsu suami. Alat kelamin tidak berfungsi, lembik macam batang keladi patah pangkal, bila berhadapan dengan wanita terutama yang cantik dan muda. Tetapi, bila berhadapan dengan isteri sendiri alat kelaminnya berfungsi kembali. Lebih garang dan hebat.
Din Pawang Manis juga boleh mengurut orang terseliuh, patah dan sengal-sengal tulang. Tetapi, urut yang selalu dilakukannya, ialah urut tenaga batin.
Pelanggan urut tenaga batinnya terdiri dari lelaki yang sudah berusia enam puluhan ke atas terutama yang beristeri dua. Muda dan cantik pula. Berapa bayaran yang dikenakan tidak kisah. Pokoknya pengayuh tua mampu mengawal perahu di laut bergelora.
“Apa yang lucu…….” tulis Ali Usman lagi, “pada suatu hari Din Pawang Manis dikunjungi oleh seorang anak muda. Pada hemat Din Pawang Manis, anak muda itu mahu memasang susuk. Dia pun menyediakan kelengkapan yang sepatutnya.
Sungguh mengejutkan, kedatangan anak muda itu bukan mahu memasang susuk pemanis, bukan mahu minta minyak pengasih atau ubat-ubat guna-guna. Tetapi, mempunyai maksud yang lain, terlalu peribadi. Semuanya ini membuat Din Pawang Manis agak cemas. Sepanjang kerjanya sebagai pawang, belum pernah dia berhadapan dengan kejadian seperti ini.
Si pemuda terus menceritakan rentetan peristiwa diri dan ibunya secara terperinci. Berdasarkan cerita dari pemuda itu. Tidak dapat disangkal lagi. Tidak daya dinafikan dan Din Pawang Manis mengaku, budak lelaki yang tertonggok didepannya adalah anaknya dari isterinya yang ketujuh.
Sebaik saja Din Pawang Manis memberikan pengakuan. Si pemuda didepannya terus bangun lalu melepaskan penampar sulung ke muka Din Pawang Manis. Dalam keadaan yang terpingga-pingga itu, si pemuda yang baran terus meluahkan geram dan dendam kesumatnya.
Din Pawang Manis dituduh ayah tidak bertanggungjawab. Bijak mengatur nikah ceri diri sendiri. Tetapi, tidak pandai memikul tanggungjawab sebagai suami dan ayah. Belum pun sempat Din Pawang Manis menjelaskan kedudukan yang sebenar, anak muda yang berdarah panas meninggalkan rumah.
Dalam beberapa pertemuan berikutnya, saya pernah menasihati Din Pawang Manis supaya jangan mengamalkan ilmu salah. Di samping itu saya beritahu, dia sudah tua. Hidup sendirian, di sebuah pondok di kaki bukit. Terasing daripada orang ramai. Malangnya, nasihat saya tidak diendahkannya.
“Usah mengajar aku,” kata Din Pawang Manis.
“Bukan mengajar tetapi, nasihat. Pintu taubat masih terbuka. Allah sayang kepada hambanya yang menyedari kesilapan lalu.”
“Kalau kamu ini bukan anak saudara guru aku, di sini aku cekik sampai mampus. Ehhh…Kamu tahu, aku datang dari masjid kerana mendapat tahu yang memberi kuliah subuh orang dari Medan. Aku datang bukan nak kuliah subuh, aku merisik bekas guru aku,” jawab Din Pawang Manis.

0 comments:

Post a Comment