Pengikut antu :P

Klik hantu nuffnang ok!:P

Thursday, May 5, 2016

276: PERJALANAN DIHALANG

SBDJ SIRI 276 PERJALANAN DIHALANG

Buat seketika, suasana diruang tamu dicengkam kesepian yang panjang. Shafie menggaru dahinya berkali-kali. Dia memang mengharapkan agar tetamu yang ada disitu mengajukan pertanyaan.
“Kesudahan perlawanan itu siapa yang menang?” Jamaluddin ajukan pertanyaan. Semua biji mata yang berada disitu tertumpu ke wajah Shafie. Dia merasa tidak senang bila mukanya ditatap lama-lama.
“Siapa yang menang?” ulang Jamaluddin.
“Haaa…” Shafie menarik nafas dalam-dalam. Air mukanya membayangkan rasa malu.
“Jawablah,” Pak Habib mengusik nakal.
“Saya hampir-hampir kalah, mujur ada orang yang datang menyelamatkan saya,” Shafie terus tersengih. Dan orang yang berada diruang itu segera tertawa. Lucu, Shafie turut ketawa terkikih.
SUBUH
Tidak berapa lama berselang, azan Subuh bergema dari sebuah surau berdinding papan tidak jauh dari rumah keluarga Shafie.
“Kita jemaah disurau, kalau ada sesiapa mahu mandi masih sempat,” riang sekali nada suara ayah Shafie mengemukakan cadangan.
“Rasanya kita semua masih segar, basuh muka sudah memadai,” sanggah Jamaluddin lalu disambut dengan ketawa.
“Lepas solat Subuh kita makan ramai-ramai disini. Semua hidangan saya sediakan,” kata ibu Shafie setelah suara ketawa berakhir.
“Ini sudah cukup baik,” saya tumpang sekaki dalam dialog Subuh. Akibatnya saya menerima teguran dari datuk melalui jelingan mata yang tajam.
Saya adalah orang terakhir turun dari rumah ayah Shafie. Lebih kurang dalam jarak lima belas kaki sebelum sampai ke kawasan sempadan surau, rombongan yang diketuai oleh ayah Shafie berhenti sebentar. Kemudian mereka melencong ke kanan, tidak ikut jalan lurus menuju ke kaki tangga surau.
“Kenapa melencong ke kanan menjauhkan perjalanan, kalau lurus lagi dekat dan cepat sampai ke kaki tangga surau,” bisik hati saya yang berada dibelakang. Saya buat keputusan ikut jalan lurus. Tidak mahu melencong seperti yang dilakukan oleh ayah Shafie, datuk, Pak Habib dan Jamaluddin.
Ketika sampai ke hujung jalan, langkah saya terhenti. Dari cahaya lampu gasolin surau terlihat tulang temulang dan tengkorak manusia berserakkan dijalan lurus. Tulang-tulang dan tengkorak yang bertaburan disitu berukuran kecil, sebesar tengkorak monyet. Saya jadi kaku, sepasang kepala lutut terasa lembik tidak boleh melangkah.
Cara kebetulan (mungkin sudah menduga) dalam saat panik itu, datuk dan Pak Habib merenung ke arah saya tetapi, Jamaluddin lebih pantas bertindak. Dia segera datang kepada saya.
“Baca bismillah dan surah an-Anas, melencong ke kanan macam kamu buat tadi,” Jamaluddin memberi arahan. Saya segera mematuhinya dan Jamaluddin terus menemani hingga saya bergabung dengan datuk. Pak Habib, ayah Shafie dan Tajuddin senyum sinis ke arah saya.
“Benda-benda begini perkara biasa di Tanah Sumatera. Perbuatan itu bukan ditujukan pada kita. Tetapi ditujukan pada salah seorang jemaah surau oleh musuhnya. Mungkin juga kerana dengki. Mereka lebih mengutamakan kekuatan ilmu syaitan dari kebesaran Allah. Perbuatan orang tak beriman,” Tajudin mengeluh didepan datuk dan Pak Habib.
WUDUK
Jamaluddin yang ditemani ayah Shafie. Pak Habib dan Tajuddin segera menuju ke tampat mengambil wuduk. Tinggal saya bersama datuk berdiri dibucu surau papan.
“Kenapa kamu mengasingkan diri, berjalan kemudian,” datuk renung muka saya, tiada jawapan yang dapat saya berikan.
“Lagi satu perangai buruk kamu, bila berjalan suka menoleh kebelakang. Apa kamu tak boleh buang tabiat buruk ni.”
Saya terus membisu. Ada kemarahan menguasai wajah datuk. Beberapa orang kampung yang tidak dikenali menoleh kearah saya dan datuk, sebelum mereka mengambil air sembahyang.
“Kalau semasa kamu menoleh, kamu lihat benda-benda yang baik untunglah, kalau terlihat benda yang tak senonoh, buruk padahnya,” sambung datuk. Dan saya yakin, orang yang lalu disisi tidak dapat menangkap kata-kata yang datuk hamburkan.
“Pergi ambil wuduk.”
Datuk terus berlalu menuju ke tempat wuduk. Dengan rasa kesal saya melangkah mengekorinya menuju ke tempat yang sama.
Setelah menunaikan sembahyang Subuh, kami terus pulang ke rumah. Tetapi, tidak melalui jalan datang. Kami ikut jalan lain, terpaksa menyeberangi sebatang tali air yang airnya mengallir keruh.
Kata ayah Shafie, jalan baru itu dipilih bagi menghindarkan diri dari bertemu hal-hal tak diingini. Jalan baru ini agak jauh dibandingkan dengan jalan sebelumnya.
Kiri kanan jalan penuh dengan pepokok kecil dan tanaman tebu dan pisang. Kerana jarang digunakan rumput tumbuh hinga ke tengah jalan.
“Ahh, tebu hitam melintang jalan, berhenti dulu,” ayah Shafie bersura, langkahnya terhenti. Begitu juga dengan langkah Jamaluddin, Pak Habib dan datuk.
“Ada apa Tamar?”
Saya renung muka Tajudin. Dia senyum.
“Ada apa Tamar,” ulangnya lagi.
“Tebu hitam melintang jalan,” bisik saya.
Wajahnya cemas.
Empat kerat tebu hitam yang panjangnya kira-kira dua kaki bertindih melintang, betul-betul ditengah jalan. Sebahagian dari kulitnya tersiat nipis hingga ke pangkal ruas.
“Ketepi biar aku lihat kedudukannya.”
Datuk maju setapak kedepan, membongkok badannya melihat atur letak tebu hitam. Agak lama juga datuk melihatnya sambil hujung jarinya menculik permukaan jalan tanah merah. Sepasang bibirnya terus bergerak-gerak.
ANGKAT
Perlahan-lahan datuk angkat muka lalu merenung muka Pka Habib dan Jamaluddin. Mereka berbalas senyum.
“Ada jemaah yang keluar awal dari surau sengaja meletakkan batang tebu hitam disini. Barangkali, dia mahu menguji kebolehan salah seorang dari kita bertiga,” selamba saja datuk bersuara.
“Nakal,” komentar Pak Habib.
“Pelik, macam mana dia orang tahu kita mengubat Shafie,” Jamaluddin kerutkan kening. Saya juga sependapat dengannya.
“Macam mana mereka tak tahu, semua orang kampung tahu anak saya ada masalah. Orang luar pula dapat merawatnya. Jadi dukun-dukun yang ilmunya setengah baldi iri hati. Kenapa tak panggil mereka. Masyarakat kita memang tak lepas dari hasad dengki,” agak panjang ayah Shafie memberikan penjelasan.
Bila dia mahu menyambung penjelasannya lagi (sebenarnya mahu meluahkan rasa geram) Pak Habib segera menghalang.
“Sudah, aku faham. Bila kita banyak bercakap tentang orang lain, kita mudah tersasul mencaci peribadi orang. Secara tidak sengaja kita sudah membuat dosa,” Pak Habib menepuk bahu ayah Shafie. Dan dia menerima pandangan jujur Pak Habib.
Tebu hitam yang terletak melintang di tengah jalan dibiarkan begitu saja.
Perjalanan yang terganggu diteruskan. Atas permintaan Jamaluddin, kami diminta berjalan berdua-duaan seiring. Pak Habib dipadankan dengan datuk, Jamaluddin dengan ayah Shafie, manakala saya dengan Tajudin.
Berjalan didalam kampung yang kiri kanannya diapit dua buah bukit, terasa dingin sekali. Kabus nipis berarak lembut dipuncak bukit. Sekali pandang kabus itu bagaikan menyapu awan putih yang mula disuluh sinar matahari yang mula berusaha menampakkan diri.
Semasa melintas beberapa buah rumah dibibir jalan tanah merah, terdengar suara kanak-kanak perempuan membaca mukaddam yang diselang seli dengan suara ustazah membetulkan pembacaan. Suasana begini mengingatkan saya pada kampung laman dan nenek ddi Semenanjung.
Sampai dikaki tangga kami disambut oleh Shafie dan ibunya dengan wajah eria. Perubahan pada diri Shafie mengejutkan kami yang berada dikaki tangga. Rasa tak percaya Shafie sesihat itu.
“Semoga dia sihat terus, macam dulu,” bisik ayah Shafie pada Pak Habib.
“Mudah-mudahan, jangan lupa berdoa kepada Allah,” antara jelas dengan tidak Pak Habib menjawab.
“Naik dengan satu syarat,” sambil ketawa kecil Shafie merenung wajah ibunya. Mereka berdua ketawa terkikih. Kami yang berada dikaki tangga bertambah hairan. Apakah si ibu dengan si anak bergurau atau serius.
“Syarat apa pula?”
Ayah Shafie beliakkan sepasang biji mata, menatap wajah isterinya yang masih ketawa. Pak Habib dan datuk saling berpandangan. Dada mereka terus digayuti persoalan tanpa jawapan pasti. Tetapi, perasaan Jamaluddin tidak terusik dengan keadaan itu, dia senyum sinis sambil menggaru pangkal lehernya berkali-kali.
“Ada-ada saja perkara yang tak diduga,” saya dapat menangkap suara runggutan Jamaluddin.
Memang dia bosan menghadapi masalah yang pada hematnya sengaja diada-adakan. Semuanya ini boleh melambatkan segaola rancangan yang diaturnya.

0 comments:

Post a Comment