SBDJ SIRI 283 PENDEKAR DIUGUT PEMANDU LORI
Seluruh perhatian tertumpu ke arah wajah lelaki bertubuh besar, tegap dan tinggi. Sepasang telapak tangannya berpaut pada jenang pintu warung.
“Saya waris terdekatnya,” ujar lelaki itu lalu membuka bajunya, “memang dia pahlawan, ini warisnya kiri kanan, siapa mahu mencuba, silakan,” lelaki itu terus menepuk dada bidangnya berkali-kali.
Pak Jabbar angkat tangan ke arahnya seraya tersenyum. Lelaki berkulit sawo matang itu membalas angkat tangan Pak Jabbar. Senyum Pak Jabbar dibalasnya.
“Kamu memang keturunan pahlawan Betawi,” kata Pak Jabbar.
“Iya, memang betul cakap aku. Orang tua ini mengakuinya.”
“Sila masuk, Rahmat,” pelawa Pak Jabbar.
“Terima kasih Pak Jabbar. Beritahu mereka aku keturunan Si Pitung.”
“Iya, aku bagi tahu,” jawab Pak Jabbar.
Lelaki itu terus memusingkan badan ke arah muka lorong. Dia melangkah dengan tenang. Dia bersiul-siul kecil. Saya tak tahu lagu apa yang disiulkannya.
Pak Jabbar terus menyorot ke arah lelaki itu, hingga hilang dibalik liku jalan. Sebelum itu, dia (lelaki) menoleh ke arah kami yang berada dalam perut warung. Dua tiga kali Pak Jabbar gelengkan kepala.
“Siapa dia yang sebenarnya Pak Jabbar,” Jamaluddin ajukan pertanyaan. Pak Jabbar buat tidak kisah dengan pertanyaan itu. Dia seperti sedang memikirkan sesuatu.
“Kesian dia,” Zubir seperti mengeluh.
Keadaan itu membuatkan Jamaluddin semakin resah.
“Dia orang gila,” kata saya keras.
“Tamar, jaga mulut, ini tempat orang,” herdik datuk.
“Maafkan saya,” kata saya pada Pak Jabbar yang masih termenung.
“Kamu tak salah, sesiapa pun akan beranggapan seperti kamu,” lembutnya suara Pak Jabbar, macam suara seorang datuk kepada cucunya.
“Kamu terangkan pada mereka Zubir,” satu arahan untuk Zubir. Suara Pak Jabbar tidak selembut tadi. Keras dan tegas, penuh keyakinan. Zubir menarik nafas dalam-dalam, kemudian anggukkan kepala, tanda akur dengan arahan teman rapatnya.
“Apa yang dikatakan Rahmat tu memang benar. Memang dia waris terdekat Si Pitung. Tapi, fikirannya tak betul,” Zubir bersuara dengan nada suara yang lemah.
“Maksudnya gila,” kata Jamaluddin seperti berbisik. Zubir geleng kepala berkali-kali.
“Ada gangguan perasaan,” celah datuk.
“Itu bahasa yang baik,” sahut Pak Jabbar.
BERSILAT SENDIRI
“Ada ketikanya dia bercakap seorang diri dan bersilat sendiri ditengah-tengah jalan. Mencabar siapa saja untuk bertarung dengannya. Kerana orang-orang disini tahu masalahnya, semuanya buat tak kisah,” lanjut Zubir. Anak matanya menatap setiap wajah yang berada didepannya.
“Selain dari dia, ada lagi tak waris Si Pitung?” saya bertanya dengan harapan tidak mendapat teguran dari datuk.
“Ada, malah ada diantara mereka jadi saudagar dan orang penting kerajaan. Cuma si Rahmat yang tak menjadi. Dia jadi begitu akibat dilanggar kereta, kepalanya terhempas ke batu. Berbulan-bulan dia koma. Pulih dari koma, itu yang dia dapat,” Pak Jabbar cuba menerangkan kedudukan sebenar.
“Itu sebabnya, bukan kerana sumpah,” sampuk Jamaluddin.
“Eh, kamu,” kata datuk.
Semua yang ada disitu ketawa geli hati. Pertanyaan yang diajukan Jamaluddin lucu sekali.
“Hebat juga Si Pitung ini,” bisik hati saya.
“Iya, dia memang hebat.”
Saya terkejut, Pak Jabbar bagaikan tahu apa yang bermain dalam hati. Ini membuat saya cemas.
“Si Pitung memang rapat dengan orang-orang miskin. Perbuatannya itu menimbulkan kebimbangan dikalangan orang-orang Belanda. Mereka sentiasa mengawasi kegiatan Si Pitung. Mereka tahu, disamping rapat dengan orang miskin, Si Pitung juga menanamkan rasa benci dihati orang miskin terhadap orang Belanda,” Pak Jabbar terbatuk.
Setelah batuk, dia tidak meneruskan percakapan yang terhenti. Membuat suasana dalam warung bungkam sejenak.
MERENUNG
Pak Jabbar bangun, berlegar-legar dalam perut warung sebelum berhenti disatu sudut. Tangan kanannya memegang tiang warung, sementara tangan kirinya terletak dibibir meja. Dia merenung sayu ke dada lorong.
“Ahhh...”
Berkali-kali Pak Jabbar menumbuk tiang warung. Semua mata tertumpu ke arahnya. Wajah Zubir nampak cemas tetapi, datuk masih bertenang. Dia bagaikan tahu apa yang bergelora dalam batin Pak Jabbar.
“Dia dikhianati bangsa sendiri,” mengejut saja datuk bersuara lantang. Pak Jabbar segera memusingkan badan, menghadapi datuk.
“Semasa rakyat miskin gembira melihat orang Belanda jadi kelam kabut dan cemas, akibat tindakan Si Pitung. Dia dikhianati bangsa sendiri. Inilah kelemahan orang kita,” suara Pak Jabbar mula kendur, dia melangkah kerana mahu bergabung semula dengan kami.
“Jaguh rakyat dikhianati bangsa sendiri, dia dapat ditangkap Belanda, dibicarakan dimahkamah ikut acuan Belanda. Dia dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah penjajah pada 1896. Sungguh malang nasib Si Pitung,” suaranya bergetar.
Wajahnya nampak sedih sekali. Datuk segera mendekatinya dan membisikkan sesuatu padanya. Saya lihat Pak Jabbar mengukir senyum sambil merenung ke arah Zubir.
“Kata sahabat kita dari Tanah Melayu, perkara yang sama berlaku juga dinegaranya. Orang Inggeris menggunakan undang-undang sendiri untuk membunuh pejuang bangsa. Kita dengan hukum tembak sampai mati. Disana dihukum gantung sampai mati seperti yang dilakukan oleh Inggeris terhadap wira Melayu yang bernama Datuk Sagor,” sambil berdiri Pak Jabbar mengungkapkan kata-kata itu, penuh semangat, anak matanya tetap menatap wajah datuk.
“Bila kita ke sana, kamu tunjukkan makam pahlawan Perak yang berani. Kenalkan aku dan Zubir pada warisannya,” Pak Jabbar mengutarakan sebuah permintaan. Datuk anggukkan kepala.
“Selain dari dia siapa lagi pahlawan Perak yang berjaya menggerakkan semangat kemerdekaan dan bencikan Inggeris. Mereka patut dihargai, tanpa tiupan semangat dari mereka, kita tak akan merdeka atau bebas dari penjajah,” Zubir pula menyoal.
“Ada,” kata saya menyampuk.
“Siapa?” Jamaluddin juga turut buat kacau daun.
“Datuk Maharaja Lela,” penuh bangga saya menyebut nama orang saya kenal, pada nama saja.
“Memanglah kita bangsa dua serumpun.”
PARANG DITANGAN
Ada suara asing diluar warung. Semua yang ada dalam warung halakan biji mata pada lelaki yang bernama Rahmat. Dia tersengih dengan parang ditangan. Kepalanya dililit dengan kain merah. Sepasang kaki seluar panjang digulung sehingga paras bawah lutut. Peluh mengalir ditubuh tanpa baju.
“Aku sudah dengar apa yang kamu semua cakap, cuma aku nak tanya satu perkara.”
Saya dan Jamaluddin berpandangan.
“Apa yang mahu kamu tanyakan, Rahmat,” Pak Jabbar renung mukanya sejenak. Rahmat tersengih. Dua tiga kali dia garu hujung dagunya.
“Ada yang kurang bila menyebut nama saya.”
“Apa yang kurangnya, Rahmat.”
“Tak sebut nama Si Pitung selepas nama saya.”
“Aku minta maaf Rahmat,” ujar Pak Jabbar.
“Tadi masa mula-mula aku datang ke sini tadi, kau tak sebut pun nama Pitung selepas sebut nama aku. Itulah sebab aku datang ke sini semula.”
“Lagi sekali maaf, Rahmat,” ujar Pak Jabbar. Semua yang ada dalam warung senyum sinis.
“Apa lagi yang mahu kamu tanya, Rahmat,” susul Pak Jabbar, “tanyalah sekarang supaya perkara yang kamu fikir dapat diselesaikan, macam Si Pitung selesaikan masalah. Kamu waris Si Pitung mesti pandai macam dia,” Pak Jabbar cuba berdiplomasi dengan harapan Rahmat akan cepat beredar dari situ.
Tetapi, si Rahmat bagaikan terkhayal bila namanya digandingkan Si Pitung. Senyumnya terus melebar dibibir.
“Antara Si Pitung dengan Datuk Maharaja Lela dan Datuk Sagor, siapa yang kuat dan gagah?”
“Sama kuat sama gagah Rahmat.”
“Mana boleh macam tu.”
“Mesti boleh, mereka semua benci orang kulit putih. Si Pitung bencikan Belanda. Maharaja Lela benci Inggeris. Semuanya lawan orang Eropah.”
“Kalau macam tu, kita tak boleh gaduh dengan bangsa dua serumpun.”
“Itu yang betulnya, Rahmat pewaris Si Pitung tak boleh bergaduh sama-sama sebangsa,” Pak Jabbar bagaikan separuh menjerit meluahkan kata-kata itu. Rahmat ketawa terkikih. Dia membuka silat sambil menyeru nama Si Pitung. Kemudian beredar dengan tenang.
MELAMBAI TANGAN
Bila Rahmat sudah beredar agak jauh dari kawasan warung menuju ke lorong yang sedang dilalui beberapa kenderaan ringan, pemandu kenderaan melambai-lambaikan tangan pada Rahmat. Kepalang gembira Rahmat, dia menerima lambaian.
“Dalam tak betulnya itu, ada kata-katanya yang boleh membuat kita berfikir,” Jamaluddin memberi komentar.
“Kerana kita dah cap dia gila. Cakap betul pun kita kata cakap orang gila,” pintas Zubir.
“Sekarang kamu mahu ke mana lagi,” tanya Pak Jabbar pada Jamaluddin.
“Mahu bawa mereka ni berjalan lagi. Saya nak bawa mereka ke kawasan rumah peninggalan Si Pitung dan beberapa kawasan sejarah,” jelas Jamaluddin.
“Bagus,” sahut Zubir.
Saya dan datuk minta diri pada Pak Jabbar. Begitu juga dengan Jamaluddin. Kami meniggalkan warung Pak Jabbar menuju lorong yang bersambung dengan jalan besar. Sambil berjalan tu, kami bertiga berharap tidak akan terserempak dengan Rahmat.
Dibawah matahari petang yang kian redup, kami rancak melangkah. Lorong warung Pak Jabbar sudah jauh ditinggalkan. Kami, kini berada dijalan besar yang sibuk dengan kenderaan besar dan kecil.
“Hati-hati, pemandu disini kurang ajar sedikit,” Jamaluddin mengingatkan datuk yang secara tidak sengaja berada agak jauh ke tengah jalan menyebabkan dirinya hampir dihimpit lori kecil.
Saat kami berada dilaluan yang betul. Kami bertiga terkejut dengan tindakan pemandu sebuah lori besar yang berhenti secara mengejut. Belum sempat berkata apa-apa, pemandu lori melompat turun terus menerkam ke arah Jamaluddin sambil mengacukan muncung pistol ke kepala Jamaluddin. Leher baju Jamaluddin dicekaknya.
Kejadian yang tidak diduga itu menarik perhatian ramai. Jamaluddin dan lawannya terus dihurungi orang ramai, beberapa buah kenderaan turut berhenti. Lalu lintas terganggu, kawasan yang dikiri kanannya terdapat bangunan batu lama mula sesak dan sibuk.
“Apa salah saya,” kata Jamaluddin cemas.
“Kamu jadi tali barut kerajaan, menyebabkan aku dilokap seminggu, lori aku disyaki bawa dadah.”
“Kamu salah orang.”
“Tidak, aku pasti kamu, sudah lama aku cari kamu,” kemarahan si pemandu tidak dapat dibendung lagi, orang kian ramai berpusu datang ke situ. Mereka hanya menanti saat pistol meletup dan melihat mayat terbujur kaku.
“Kamu silap orang, dia baru dari datang Medan bersama aku,” datuk cuba menenangkan si pemandu yang macam harimau lapar.
Pengikut antu :P
Thursday, May 5, 2016
283: PENDEKAR DIUGUT PEMANDU LORI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment