Pengikut antu :P

Klik hantu nuffnang ok!:P

Thursday, May 5, 2016

272: TENDANGAN MAUT

SBDJ SIRI 272 TENDANGAN MAUT

Tetapi, sebagai manusia yang tak pernah mengenal putus asa. Saya cuba memberikan penentangan sedaya mungkin. Setiap kali saya cuba melawan, semakin kuat batang leher ditekan. Semua ikhtiar dan usaha telah dilakukan hasilnya tidak ada apa-apa. Hanya rasa sakit yang diperolehi.
Usaha terakhir yang dapat dilakukan ialah menyerahkan segala-galanya pada Allah. Kalau sudah janji mati dalam bilik misteri ini, maka saya relakan. Barangkali, perkara ini memang ditakdirkan untuk hamba Allah yang hina, bisik batin.
Walaupun begitu mulut tidak lekang membaca beberapa potong ayat Quran untuk mengusir makhluk halus. Suara ketawa Shafie bertukar menjadi suara budak kecil merengek minta susu. Nadanya, tidak sekeras tadi, macam ada sedikit kelembutannya.
Ada perubahan kecil yang diperolehi. Muka tidak lagi ditekan sekuat tadi. Malah boleh digerakkan ke kiri dan ke kanan secara perlahan-lahan. Hidung juga tidak terasa pedih. Boleh menarik dan melepaskan nafas dengan selesa.
Tetapi, kaki kiri tidak boleh digerakkan, kalau ddigerakkan amat sakit sekali. Tulang-temulang terasa bagaikan dipatah-patahkan orang.
Kaki besar yang berbulu, tidak berubah kedudukannya. Masih macam tadi, masih berada disebelah kiri kepala. Bulu roma kakinya yang keras macam bulu hidung tidak lagi mencucuk cuping telinga. Dalam usaha saya mahu melihat wajah pemilik kaki besar berbulu tebal, perlahan-lahan saya cuba donggakkan muka.
“Ahhh…”
Saya mengeluh kesakitan, batang leher terasa seperti dipulas dengan kuat. Cepat-cepat saya tundukkan kepala merenung lantai. Gegendang telinga mula menangkap bunyi hembusan nafas yang kuat dari makhluk aneh, macam bunyi lembu mendengus.
Dalam situasi yang serba tidak kena itu, teringat, kehadiran makhluk aneh itu saat saya berniat mahu menumbuk Shafie. Ertinya, Shafie dan makhluk aneh ada hubungan sulit antara satu sama lain.
Saya harus memilih jalan selamat dengan menafikan niat untuk menumbuk atau memukul Shafie. Saya terus mematikan diri dan membuka pintu batin membaca ayat-ayat Quran pengusir makhluk jahat. Perlahan-lahan kelopak mata saya buka, sasarannya ialah tubuh datuk.
Kehadiran si kaki besar dan Shafie dilupakan seketika. Mereka tidak sepenting datuk dalam hidup ini. Suara Shafie yang merengek, tidak kedengaran lagi, dengusan nafas makhluk aneh hanya muncul sekali-sekala.
SAMAR
Dalam keadaan yang samar-samar, saya lihat datuk sudah dapat berdiri. Dia dikelilingi kabus nipis yang muncul dari celah-celah papan lantai. Dengan sepasang tangan kabus yang mengelilinginya dikuak berkali-kali hingga kabus itu beredar ke arah lain. Tetapi, kabus yang lain pula terus muncul dari celah papan membuat datuk terbatuk-batuk. Dia nampak kelemasan.
Kerana merasakan dirinya semakin terancam, datuk segera angkat kaki kanan separas lutut kiri sambil berzikir dan berselawat, kaki kanannya dihentakkan ke papan lantai dengan sekuat hati. Semua kabus yang ada disisinya bersatu, bergulung macam tikar. Bergolek menuju ketempat datuk menghentak kaki dan terus hilang bagaikan meresap dicelah-celah papan lantai.
Secara tidak diduga, ketika datuk melihat ke kanan untuk memastikan apakah kabus masih muncul untuk mengelilingi dirinya, dia terpandangkan saya yang tertiarap dilantai dengan sepasang tangan terkapai-kapai.
“Tamar.”
Datuk menyeru nama saya.
“Huuummmm tuk.”
Cuma itu saja yang mampu saya luahkan. Saya tercungap-cungap keletihan dan sukar bernafas.
Bahagian belakang saya seperti ditekan sesuatu. Datuk bagaikan tahu apa yang bakal dilakukan kerana dia tahu saya tak boleh bersuara dengan lantang. Dia segera angkat tangan memberi syarat supaya bertenang. Arahan itu segera dibalas dengan kerdipan mata.
“Tamar.”
Ulang datuk.
Saya segera merenung kearahnya sambil mengerakkan kelopak mata.
“Bertahan dan sabar Tamar,” tuturnya lagi.
Saya gerakkan kelopak mata, tanda mendengar.
“Bacalah beberapa ayat pilihan dari surah al-Jin,” datuk menambah.
Dengan izin Allah juga dalam sekelip mata kaki besar yang berbulu hilang dari penglihatan. Anehnya, ruang bilik masih terasa bergegar. Gegaran itu membuat katil bergerak, bantal jatuh dilantai.
Datuk yang berdiri bagaikan tidak tersentuh dengan gegaran itu. Dia masih berdiri dalam keadaan selesa sambil melihat bantal bergolek di lantai dan dikatil bergerak ke sana ke sini.
Sebaik saja gegaran berhenti, terdengar bunyi deru angin yang kencang menyerbu ke dalam ruang bilik menerusi tingkap yang terdedah. Tidak tahu bagaimana tingkap yang tertutup boleh terbuka sendiri.
Angin yang berpusu-pusu dalam bilik menerbangkan apa saja, termasuk gebar dan jam dinding. Dalam situasi yang serba mencemaskan itu, Shafie tidak bersuara langsung.
Pak Habib dan Jamaludin yang tidur diluar pintu bilik terus lena. Tidak sedar langsung apa yang terjadi dalam bilik. Sungguh mendebarkan, bila melihat sekujur tubuh Shafie bergolek ke kiri ke kanan macam mayat.
Setiap detik yang berlaku depan mata, datuk ikuti penuh teliti. Peliknya dia tidak bertindak langsung. Sekadar jadi pemerhati.
BULU
Barangkali gerak-geri datuk sudah di pukau oleh si kaki besar yang berbulu, sebelum dia menghilangkan diri sebentar tadi. Terniat juga mahu menjerit memanggil Pak Habib dan Jamaludin supaya datang membantu datuk yang di pukau. Niat itu terpaksa dibatalkan. Kalau dipanggil pun mereka tidak akan mendengarnya. Deru angin kencang mengatasi segala macam bunyi.
“Tamar.”
Renungan segera saya arahkan pada datuk. Dia kelihatan tidak bermaya sekali, tetapi cuba mahu menuturkan sesuatu kepada saya. Suaranya tidak keluar. Datuk sandarkan tubuh kedinding, menahan dirinya dari jatuh ditolak angin kencang.
Mungkin keletihan atau kehabisan tenaga. Perlahan-lahan datuk jatuh terduduk. Matanya masih mengawasi apa yang berlaku dalam bilik misteri. Cuma dia tidak boleh bergerak dan bersuara.
Satu-satu cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi kegawatan yang dihadapi ialah penyerahan diri zahir batin pada Allah yang Maha Kuasa. Membaca ayat-ayat Quran pilihan penuh khusyuk dan memahami maknanya sekali.
TIADA
Kerana kaki besar yang berbulu tebal tiada disisi, saya boleh bergerak. Perkara pertama yang saya lakukan ialah duduk bersila dengan kedua-dua tangan memeluk tubuh.
Saya kosongkan dada dan fikiran lalu diisikan dengan penyerahan dari seluruhnya pada Allah. Saya hiasi dengan zikir dan selawat dalam keadaan bertafakur.
“Gruuuuuuummmmmmmmm…”
Ruang bilik bergerak, macam digoncang oleh tenaga yang luar biasa. Serentak dengan itu terasa ada objek lembut jatuh atas kepala dan bergerak lemah turun ke leher terus ke bahu. Seterusnya benda lembut itu dengan pantas meliliti batang leher.
Kalbu saya kuat mengatakan benda lembut yang melingkar dileher ialah ular.
Saya membuat keputusan berhenti dari bertafakur yang sedang dilaksanakan. Kelopak mata segera saya gerakkan untuk dibuka. Ada bisikan halus datang melarang saya membuka mata disuruhnya saya terus memejamkan mata. Disuruh bertahan semampu yang boleh, jangan bergerak, jangan berhenti berzikir dan berselawat.
Suara halus mengajar saya membaca beberapa potong ayat dari Quran yang menurutnya cukup ampuh untuk menentang kuasa jahat. Sungguh menakjubkan dengan sekali ajar terus melekat. Saya dapat mengingatinya dengan tepat dan betul, pembacanya lancar sekali.
“Baca sekarang, semampu yang boleh, jangan berhenti,” suara halus itu mengingatkan saya. Apa yang disuruhnya segera saya lakukan.
Sebelum jumlah bacaan mencapai seribu kali, benda lembut dileher terasa menjadi keras. Tetapi, lilitannya kian kemas menjerut menyukarkan saya bernafas. Tulang-temulang dan daging leher rasanya sudah hancur. Buah halkum terasa mahu pecah.
Sesungguhnya saya tidak terdaya lagi untuk melakukan penentangan. Nyawa bagaikan mahu berpisah dengan jasad, saya tidak dapat mengulangi ayat-ayat yang diberi oleh suara ghaib. Kerana yakin nyawa akan tercabut, saya terus mengucap dua kalimah syahadat.
Setelah itu segala-galanya terasa seperti kosong. Sunyi dan sepi, tiada apa yang dapat diingati dalam otak. Tubuh terasa mengecil.
Suara ghaib yang selalu membisikan ayat-ayat suci ke telinga, terdengar sayup-sayup dan akhirnya terus hilang.
Tubuh yang mengecil terangkat dari lantai, berada diawang-awangan sebentar sebelum dilemparkan ke kawasan gelap gelita.
SUARA
Suasana sepi segera bertukar menjadi hiruk pikuk. Ada bermacam-macam dan berbagai-bagai suara lelaki dan perempuan mengerang, merintih, merengek kenikmatan. Hilang suara tersebut diganti pula suara orang mengerang kesakitan yang amat sangat.
Saya hanya mendengar suara saja sedangkan bentuk dan rupa tidak kelihatan langsung. Saya memang berada disuatu dunia yang sungguh asing sekali. Jauh disudut kawasan yang luas terlihat cahaya lampu minyak tanah bergerak kearah saya.
Bila sudah menghampiri saya dalam jarak kira-kira tujuh kaki cahaya lampu minyak tanah itu terus ghaib.

0 comments:

Post a Comment