Pengikut antu :P

Klik hantu nuffnang ok!:P

Thursday, May 5, 2016

270: ORANG BETAWI

SBDJ SIRI 270 ORANG BETAWI

Tanpa sebarang pemberitahuan, Shafie terus bangun dan meluru ke dalam biliknya. Tidak lama berselang, dia keluar dengan selembar kertas dan sebatang pena ditangannya.
“Tolong, tuliskan:
Shafie hulurkan kertas dan pena pada datuk. Tanpa banyak tanya dan soal. Permintaan Shafie segera ditunaikan. Sehelai kertas sudah siap ditulis dalam tulisan jawi (Arab) segera datuk serahkan pada Shafie.
“Ingat, jangan baca dan amalkan ilmu ini, jika kamu semua tidak sembahyang lima waktu. Ada orang mengamalkan selawat dan zikir bila terdesak. Sembahyang semasa susah. Kikislah perbuatan yang salah ini. Janganlah, bila susah baru ingatkan Allah, bila senang Allah dilupakan. Itulah sebabnya amalan tidak menjadi, rezeki tak berkat,” tutur datuk dalam nada bersahaja.
Tiada siapa berani menyanggah hujah-hujah yang datuk hamburkan. Pak Habib seperti tadi juga, masih termenung. Macam ada sesuatu yang bermain dalam tempurung kepalanya. Shafie bersama orang tuanya terus membaca tulisan berkali-kali. Begitu juga dengan Tajudin.
“Baca dengan hati-hati, jangan terlalu cepat, “tegur datuk untuk sekian kalinya pada Shafie dan ayahnya. Tajudin juga tidak terkecuali menjadi mangsa teguran datuk. Teguran yang datuk tekankan ialah tentang penyebutan kalimah yang tidak betul. Dan tidak mereka menerima teguran itu dengan nada terbuka.
“Ingat, setiap sebutan dalam bahasa asal (Arab) mesti jelas dan tepat serta betul. Kalau silap sebutan akan membawa makna atau maksud yang lain, apa yang kita inginkan tidak akan menjadi,” sambung datuk, wajah ketiga-tiga lelaki yang berada didepannya ditatap satu persatu.
“Faham dengan cakap aku itu,” dalam senyum datuk bertanya.
“Faham,” sahut Tajudin.
Shafie dan ayahnya cuma mengangguk saja.
“Memang betul cakapnya,” secara spontan Pak Habib melibatkan diri dalam perbincangan kecil itu. Semua biji mata tertumpu ke arahnya. Pak Habib senyum sambil meraba hujung dagu.
“Sebaik-baiknya, kita faham maksud dan makna apa yang kita kata atau ucapkan, bila kita faham maknanya akan menguatkan lagi keyakinan kita dalam hati,” Pak Habib menyambung kembali percakapan yang terputus. Shafie dan orang tuanya segera anggukkan kepala. Tajudin yang kurang pandai dan tak berapa kenal huruf jawi tersengih semacam.
Suasana di anjung rumah terasa sepi. Shafie dan ayahnya membaca dalam hati. Ibunya, yang bosan dengan suasana tersebut terus bangun dan menuju ke dapur. Tajudin termenung tetapi, bibirnya kelihatan bergerak-gerak.
“Kalau boleh menghafal dengan lancar dan faham maknanya memang bagus,” Pak Habib memecahkan suasana.
“Itulah sebaik-baiknya,” tingkah datuk, tiada tindak balas dari Shafie dan ayahnya. Tajudin hanya tersenyum saja.
SEPI
Suasana di anjung kembali dicengkam sepi. Pak Habib tunduk merenung lantai, macam ada sesuatu yang direnung di celah-celah papan lantai. Datuk termenung panjang, bagaikan ada yang bermain difikirannya.
“Assalamualaikum...”
Semua yang berada di anjung terkejut, berpandangan sama sendiri. Tetapi, mereka tetap menjawab salam seseorang di kaki tangga secara serentak.
Datuk dan Pak Habib berpandangan. Dengan pantas ayah Shafie menerka ke pintu. Dia hadiahkan senyum pada tetamu yang tidak diundang.
“Hai orang jauh silakan naik!”.
Riang sekali suara ayah Shafie. Semua di ruang anjung tumpukan perhatian ke arah pintu.
Seorang lelaki berbadan tegap, berkulit sawo matang, bermata galak tercegat di ambang pintu. Agak lama juga datuk merenung tubuh lelaki berkulit saw matang itu.
Renung datuk itu tak diendahkan oleh lelaki itu. Dia lebih berminat menatap wajah saya dan Tajudin. Ketika lelaki berbadan tegap itu merenung muka Pak Habib, dahinya berkerut, macam mengingati sesuatu.
“Habib saudagar kapal,”
Pak Habib anggukkan kepala. Serentak dengan itu lelaki berbadan tegao menerkam ke arah Pak Habib lalu memeluknya dengan erat sekali. Agak lama juga mereka berpelukan.
Ayah dan ibu Shafie tercengang.
“Dia ni orang kuat, bunuh lima belas orang tentera Belanda dengan badek.”
Pak Habib menjatuhkan sepasang tangannya dari memeluk tubuh lelaki berkulit sawo matang. Ungkapan yang Pak Habib hamburkan ternyata tidak disenangi oleh lelaki berkulit sawo matang.
“Oh, jangan dikenang tentang perkara itu. Itu masa penjajah mahu tuntut kemerdekaan, lupakan tentang semuanya itu,” lelaki berbadan tegap, berkulit sawo matang merendahkan diri.
Dengan spontan lelaki itu mendekati datuk lalu minta ruang pada datuk agar dia dapat duduk bersebelahan dengan Pak Habib. Datuk segera memberikan laluan.
“Dia ni kawan lama saya, sama-sama berjuang menentang anjing kompeni,” Pak Habib terus menepuk bahu lelaki berkulit sawo matang dua tiga kali. Penuh kemesraan.
Ayah Shafie hanya melihat saja situasi yang tidak diduga. Sungguh melucukan hanya baru beberapa duduk, lelaki itu bangun terus bersalam dengan Tajudin dan saya serta datuk. Dia duduk kembali tanpa menghulurkan untuk bersalaman dengan Shafie walaupun Shafie bersedia untuk bersalam dengannya. Hati kecil saya terus bertanya, siapakah lelaki yang tidak diundang ini ?
“Dia saudara satu moyang dengan saya. Anak Betawi jati, namanya Jamaludin Darwis.”
Begitulah ayah Shafie memperkenalkan lelaki berbadan tegap pada tetamunya. Datuk tersenyum. Saya dan Tajudin anggukkan kepala. Sepasang mata saya terus menyorot ke arah lelaki berbadan tegap, wajahnya nampak bersih.
“Sudah cukuplah tu, “ kata lelaki berbadan tegap, memintas cakap ayah Shafie.
“Tak salah, bukannya apa-apa, mereka semua kawan saya,” ayah Shafie mempertahankan tindakannya. Lelaki itu diam, tidak memberikan sebarang komentar.
Gerak-geri lelaki dari Betawi itu terus saya awasi. Cara dia duduk dan bercakap, secara tidak langsung menampakkan karisma tersendiri. Dalam hati, terus membuat kesimpulan bahawa dia bersikap seperti kata pepatah, bagaikan harimau menyimpan kuku. Bila ayah Shafie mahu menceritakan susur-galur keturunannya, dia nampak gelisah semacam. Tetapi ayah Shafie.
“Maaf.”
Suara lelaki Betawi itu agak keras menyebabkan ayah Shafie berhenti bercakap seketika.
“Kenapa?” Tanya ayah Shafie dan terus merenung biji mata sepupunya.
“Begini, masa surat kamu sampai, aku tak ada di Keramat, aku ke Surabaya. Lepas itu pergi ke Geylang langsung ke Tengkera Melaka, seminggu lebih aku di sana, kemudian aku ke Gunung Semanggol, hampir dua bulan aku berada di luar. Itulah sebabnya aku lambat datang menjenguk anak kamu. Kalau aku ada di rumah, awal aku datang ke sini,” ujur Jamaludin dari Betawi.
“Jauh sungguh berjalan, buat apa ke sana?”
Pertanyaan yang membuat Jamaludin tersenyum. Dia berhasil mengubah topik percakapan ayah Shafie yang amat berminat untuk memperkatakan tentang keturunannya kepada topik lain.
“Semua tempat yang aku pergi tu, memamg kampung laman orang Betawi. Sayangnya, aku tak jumpa golongan tua Betawi yang datang ke situ. Aku berjumpa dengan generasi baru,” Percakapan terhenti sebentar. Jamaludin membetulkan duduknya, biar terasa selesa.
“Semua yang aku jumpa, generasi baru yang sudah tak kenal dengan adat budaya Betawi, apa lagi nak bercakap Betawi. Mereka sudah jadi macam orang tempatan, malah malu mengaku keturunan Betawi,” ada nada kecewa mengiringi penuturan kata, sepasang mata merenung sayu ke depan.
“Hiss...?” Jamaludin mendengus lalu tersenyum.
“Apa yang kau cakap tu, hanya sebuah nostalgia. Kita harus mengaku dan menerima kenyataan,” Pak Habib terus meletakkan telapak tangan kiri atas kepala lutut kanan Jamaludin. Digosoknya, berkali-kali dengan lembut.
“Iya, masa sudah banyak berubah, mempertahankan sebuah tradisi tua dalam dunia yang terus berkembang memang sulit. Kadang-kadang boleh membuat kita terasa sayu dan menangis. Orang tua menyalahkan yang muda dan yang muda menyalahkan yang tua sedangkan masa terus bergerak dan dunia ketawakan kita,” Jamaludin luahkan perasaan.
“Lupakan perkara tu,” ulang Pak Habib.
“Iya kita lupakan,” sambut Jamaludin.
BUNGKAM
Suasana di anjung kembali bungkam, tiada sesiapa pun yang bersuara. Barangkali, sedang berfikir, apakah kata-kata yang diucapkan oleh Jamaludin sebentar tadi, betul atau sebaliknya.
“Sebenarnya kita sudah jauh tersasar dari persoalan sebenar,” ayah Shafie bersuara memecahkan suasana bungkam.
“Barangkali terganggu kerana kedatangan aku?”
“Eh, saya tak bermaksud begitu,” lembut sekali nada suara ayah Shafie dan dia merasa kesal kalau kata-katanya sebentar tadi menyinggung hati Jamaludin.
“Begini Din, perbincangan kami terhenti kerana Peah dikejar ular, kemudian tuntut ilmu nak kunci mulut ular dan buaya, kemudian baru kamu datang, semuanya terjadi secara kebetulan,” sambung ayah Shafie dan mengharapkan penjelasan tersebut akan membunuh rasa serba salah dalam diri Jamaludin.

0 comments:

Post a Comment