Pengikut antu :P

Klik hantu nuffnang ok!:P

Thursday, May 5, 2016

253: ANAK KAMI DISIHIR ORANG

SBDJ SIRI 253 ANAK KAMI DISIHIR ORANG

Kerana merasakan suasana tidak sehangat tadi, dan keadaan boleh dikawal, Pak Habib segera menggamit datuk supaya datang ke sisinya. Tidak sampai lima saat, datuk sudah tegak di sisi Pak Habib. Kurang seronok rasanya, bila saya dan Tajuddin disuruh berada di tempat biasa.
“Betul, dia anak kamu berdua?”
Datuk mengambil alih tugas Pak Habib. Srpasang wajah suami isteri tersebut, datuk tenung dalam-dalam. Pasangan suami isteri tidak cemas, malah mereka senyum penuh keyakinan.
“Sebagai seorang Islam, kami tak mahu berbohong, kami boleh berbohong di depan tuan berdua atau sesiapa saja. Tetapi, kami tidak boleh menipu Allah. Kami tidak mahu didakwa di mahkamah Allah kelak,” satu penjelasan yang membunuh manik-manik keraguan di kalbu datuk dan juga Pak Habib.
“Sudah takdir,” tutur si isteri.
Wajahnya dibalut rasa putus asa, nada suaranya mengutus rasa kecewa yang tiada sempadan. Berhadapan dengan situasi begitu, datuk dan Pak Habib jadi serba salah.
Si isteri pun menggunakan senjata lumrah seorang wanita. Air mata seorang ibu berbenang-benang di pipi. Sedu pun datang mengiring untuk memperlengkapkan derita seorang yang tabah.
“Inilah ujian untuk kami suami isteri, tetapi tidak menduga sampai begitu jauh terpesong’, sambung si isteri sambil mengesat air mata. Manakala suaminya, tidak putus-putus menarik nafas dalam-dalam sambil matanya menatap permukaan bumi.
Lelaki berbadan besar dan tegap menjuihkan sepasang bibir tebal ke depan. Meluat dan menyampah melihat karenah pasangan suami isteri tersebut.
KERAS
Konco-konconya bercakap sesame sendiri. Pada mulanya secara perlahan-lahan, kemudian bertukar kuat dan keras. Matlamatnya untuk mengannggu perbualan sepasang suami isteri itu dengan datuk atau Pak Habib.
Tingkah laku para pengikut lelaki berbadan besar dan tegap itu dianggap oleh datuk dah keterlaluan. Secara lembut dan rendah diri datuk minta ketua puak terbabit supaya memberi kesempatan pada Pak Habin untuk bertanya. Lelaki berbadan besar dan tegap terus protes. Bila datuk memperlihatkan sikap keras dan melawan, lelaki berbadan besar dan tegap mula lembut dan memperlihatkan sikap bertolak ansur.
”Maaf saya nak bertanya?”
Datuk terus renung muka pasangan suami isteri itu. Pak Habib membiarkan datuk memainkan peranannya. Dia tidak mahu ganggu. Sekiranya datuk gagal, barulah dia campur tangan. Apa yang pasti orang berbadan besar dan pengikutnya tetap resah.
“Silakan.”
Serentak pasangan suami isteri menjawap. Datuk menarik nafas lega. Pak Habib senyum puas kerana mendapa kerjasama dari pasangan yang terlibat.
Tetapi, puak lelaki badan besar dan tegap ternyata kurang senang berdepan dengan suasana semacam itu. Saya dan Tajuddin tetap berwaspada. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, samada bai atau sebaliknya.
“Siapa namanya?” Datuk bertanya.
“Shafie, “ jawap si isteri.
“Satu nama yang baik, serupa dengan Imam Shafie,”
“Memang hajat di hati biar dia jadi ulama besar,” celah si ayah dengan wajah sedikit gusar.
Puak lelaki berbadann besar dan tegap bercakap sama sendiri. Berulang kali mereka menyebut perkataan “Imam Shafie” dan kata “Ulama” dengan kuat dan lantang. Tidak pula diketahui kenapa kata-kata itu disebut kuat-kuat. Datuk pura-pura batuk, perbuatan datuk segera diketawakan oleh puak lelaki berbadan besar dan tegap. Malah beberapa orang dari mereka bersorak ke arah datuk sambil mencarut.
TEKAN.
Datuk yang tertekan dengan keadaan tersebut, mula resah semacam. Wajah Pak Habib mula jadi sorotan mata datuk.
Terbukti lelaki berdarah Arab itu memang kurang senang dengan telatah puak lelaki berbadan besar dan tegap. Kerlingan mata dari Pak Habib untuk datuk menghantar isyarat supaya datuk bersabar dan bertenang. Berusaha mencari jalan bagi mengatasi masaalah yang dihadapi dengan penuh diplomasi.
Melihat datuk dan Pak Habib tidak memberikan sebarang tindak balas, puak yang diketua lelaki berbadan besar dan tegap, kian gamat bersorak. Mulut mereka makin lancing menghamburkan maki nesta sesuka hati. Saya mula merasakan bahawa keselamatan diri memang tidak terjamin.
Ketika itu, saya tidak langsung memikirkan tentang diri Tajuddin. Apa yang saya fikirkan ialah bagaimana mahu melepaskan diri bila nyawa terancam.
Semasa saya mencari ruang untuk mencelah keluar lari dari kawasan tersebut, tanpa disangka-sangka saya terpandang wajah datuk.
Darimimik wajahnya saya dapat menduga dan membuat kesimpulan dalam kalbunya terbuku rasa sebuah kemarahan yang amat sangat. Bila-bila saja boleh meledak dan andainya meledak, sukar untuk saya gambarkan apa yang akan terjadi. Perbuatan anak buah lelaki berbadan besar dan tegap, memang membakar perasaan datuk.
“Syukur.”
Itu yang terhambur dari mulut saya, bila melihat menegakkan jari hantunya kea rah Pak Habib. Dalam erti kata lain datuk akan melaksanakan pesan Pak Habib dengan sebaik mungkin.
“Biar saya bertanya dulu, kita mencari sesuatu yang baik. Perkara yang keruh kita jernihkan. Apa yang meragukan kita cari jalan penyelesaian,” suara datuk bergetar keras. Kata-kata itu datuk tujukan kepada lelaki berbadan besar dan tegap. Malangnya tidak mendapat tindak balas yang baik.
Tetapi lain pula reaksi yang diperlihatkan oleh pasangan suami isteri. Mereka setuju dengan apa yang datuk ungkapkan. Buktinya mereka anggukkan kepala.
“Setuju dengan saya?” Tanya Datuk.
“Setuju,’’ jawap si isteri penuh yakin.
“Ah,” suara lelaki berbadan besar dan tegap menguasai keadaan sekitar. Anak buahnya terus bertindak biadap. Beberapa orang dari mereka menerpa kearah datuk sambil melompat dengan menghulurkan kaki kea rah muka datuk.
“Jawap.”
Lantang sekali suara Pak Habib yang ditujukan untuk datuk.Tanpa membalas kata-kata Pak Habib dengan pantas sekali datuk merentap batang kayu yang dipegang oleh sala seorang daripada anak buah lelaki berbadan besar dan tegap. Suasana yang hiruk pikuk menjadi sepi. Semuanya terdiam kaku macam kena pukau.
Dalam suasan sunyi itu, datuk terus lambungkan batang kayu ke udara setinggi lima tingkat bangunan. Semasa kayu itu berada di awang-awangan terdengar letupan, macam bunyi mercun. Saat batang kayu itu jatuh menjunam, datuk hulukan tangan kirinya. Bila batang kayu menghempap lengan kirinya terdengar bunyi. Krrruummmpppp yang amat kuat.
HANCUR
Semua yang berada di situ memalingkan muka ke arah lain. Pada hemat mereka lengan kiri datuk hancur patah sembilan dihempap batang kayu. Mungkin juga datuk jatuh tersembam, menggelupur di bumi, macam ikan keli yang kepalanya kena hentak dengan batu besar. Bila bunyi krummmppp berakhir, mereka tidak mendengar jeritan atau keluhan dari datuk. Suasana terasa cukup sepi sekali.
Puak lelaki berbadan besar dan tegap menduga datuk sudah menemui ajalnya. Begitu juga dengan puak sepasang suami isteri. Perlahan-lahan mereka mengalihkan pandangan kea rah tempat datuk berdiri. Perlahan-lahan mereka membuka kelopak mata.
“Waaaaaahhhhhh.”
Semunya terkejut. Tidak percaya dengan apa yang mereka lihat. Datuk tidak mengalami sebarang kecederaan, Lengannya tidak patah, tidak luka. Batang kayu hancur dan serpihannya bertaburan. Sepasang suami isteri dan pengikutnya mengucap panjang.
Lelaki berbadan besar dan tegap terpegun seketika macam patung batu. Beberapa detik selanjutnya dia bertindak pantas macam kilat. Dia merejamkan kayu di tangan kea rah datuk. Barangkali dia mahu menguji kebolehan dan ketangkasan datuk bertindak.
Bagaikan harimau menerkam kambing dara, datuk menyambar kayu yang menjunam kea rah dadanya. Kayu dibaling ke arah rumpun pisang yang berdekatan. Kayu itu menembusi batang pisang dan terus melekat disitu.
“Kalau awak semua mahu main kasar, saya juga boleh main kasar,’ nada suara datuk penuh dengan rasa amarah yang tinggi. Muka yang tenang dan selamba segera bertukar garang serta geram. Bersedia untuk bertindak balas terhadap lelaki berbadan besar dan tegap.
“Ehhheeemmmmm, sahabatku. Allah suka pada orang yang sabar. Tidak bertindak mengikut perasaan,” lembut suara Pak Habib menyentuh gegendang telinga datuk.
Secara sepontan Pak Habib mengingatkan datuk, bahawa kata-kata yang baru diucapkannya itu, ada unsur-unsur riak dan takbur. Menyedari keterlanjurannya itu, datuk segera beristighfar beberapa kali. Seterusnya diam, tidak melakukan sesuatu. Datuk punberusaha menurunkan perasaan marahnya ketahap paling normal.
“Maafjkan saya,” pekik datuk ke arah lelaki berbadan besar dan tegap.
Tiada reaksi yang memberangsanagkan diterima oleh datuk.
“Maafkan, “ ulang datuk lagi.
Reaksinya tetap sama macam tadi juga. Tidak menerima maaf dari datuk. Datuk tidak merasa tergugat dengan keadaan tersebut. Begitu juga dengan Pak Habib. Tetapi, saya tetap berdebar.
Satu keputusan yang drastic datuk lakukan. Dia seolah-olah melupakan kehadiran puak lelaki berbadan besar dan tegap.
Datuk tumpukan perhatian ke arah pasangan suami isteri. Begitu juga dengan Pak Habib. Pasangan suami isteri itu lebih jujur dan ikhlas. Dari gerak geri, raut wajahnya dan gerak mata, ternyata pasangan suami isteri itu dihempap rasa takut dan cemas yang tidak bertepi, semangat mereka bagaikan lari jauh. Tidak tahu apa yang harus dilakukan.
Datuk segera melakukan sesuatu supaya semangat pasangan suami isteri kembali pilih. Boleh bertindak dan boleh berfikir. Saya lihat kelopak bibir datuk bergerak. Saya yakin datu sedang membaca beberapa potong ayat dari al-Quran untuk membasmi sihir dan kuasa syaitan. Muka pasangan suami isteri datuk hembus.
Memang ada perubahan rasa cemas dan takut di wajah pasangan suami isteri itu tidak ketara sangat. Wajah mereka yang pucat, mula kelihatan merah. Sinar mata yang tadi nampak layu kelihatan bercahaya.
SEMANGAT
Disaat pasangan suami isteri itu mendapat semangat baru, puak yang diketuai oleh lelaki berbadan besar dan tegap sedikit demi sedikit bergerak arah ke selatan.
Mereka berusaha menjauhkan diri dari datuk, Pak Habib dan pasangan suami isteri. Bila sampai dekat seketul batu besar mereka berhenti seketika di situ sambil berbincang sama sendiri.
Kemudian mereka bergerak lagi, kali ini kumpulan itu menuju ke arah lelaki berambut panjang yang terlentand di tanah. Mereka usung lelaki itu dekat pintu surau. Memang ada percubaan untuk membawa lelaki yang diusung kedalam surau. Tetapi, lelaki berbadan besar dan tegap menghalang.
“Pedulikan mereka.”
Datuk renung muka sepasang suami isteri.
“Betul kata awak, kalau mereka dah sesat, kenapa kita mesti ikut sesat.” Si suami mula berani bercakap.
“Pendapat yang tepat, ceritakan secara terperinci. Kalau boleh kami tolong, kami sedia membantu,” cukup teratur dan tenang datuk bersuara.
“Percayalah, kami bukan dari golongan mereka. Mami bersedia menolong kamu semua, asalkan kamu berterus terang,” secara mengejut sekali Pak Habib melibatkan diri. Menanam rasa yakin terhadap pasangan suami isteri dan kumpulannya.
“Berterus teranglah,’ desak datuk.
Berputik dari kata-kata Pak Habib dan datuk membuat si isteri lebih pantas menguasai suasana. Mulutnya lebih ligat melontarkan kata, Agak berbeza dengan suaminya yang agak pemalu menyingkap rahsia keluarga. Mungkin kisah keluarga dianggapnya sebagai rahsia peribadi yang tidak boleh dilontarkan pada sebarang orang.
“Berterus terang saja pada kami, terangkan siapakah puak yangmendewa-dewakan anak kamu?” Pak Habib mendesak yang secara tidak langsung mengambil alih tugas datuk. Barangkali Pak Habib berpendapat ini lebih berkesan dan cepat dari mengharapkan datuk seorang saja.
“Kami mahu dia jadi orang alim, kerana itu sebaik saja dia tamat sekolah rendah kami hantar dia masuk pesantren di Surabaya,” si isteri mula membuka rahsia.
“Sampai tamat menuntut?” Pak Habib bertanya. Tanpa diduga si suami memberikan aksi positif dengan menganggukan kepala.
“Kemudian apa tindakan kamu selanjutnya,” datang lagi pertanyaan dari Pak Habib. Tiada jawapan yang diterima.
KAmu tak berusaha menambahkan ilmunya lagi ?” dauk mencelah.
“Bila dah tamat pengajian dia balik ke kampoung,” kelancaran dan kepetahan si isteri bercakap bagaikan terganggu. Perkataan yang diucapkannya keluar satu-satu.
KEGAGALAN
Akhirnya dia berhenti di situ. Uaminya minta dia menyambung cerita yang terputus. Usaha si suami menemui kegagalan.
Kerana menyedari isterinya mengalami tekanan perasaan yang cukup hebat, si suami minta bantuan beberpa orang wanita (dari puak pasangan suami isteri tersebut)supaya membawa isterinya ke satu sudut untuk diberikan rawatan ringkas.
Wanita malang itu dibawa ke bawah pokok mempelam lalu didudukkan di situ. Badan, kepalanya dipicit dan diberikan minuman.
Si suami yang pemalu dan perahsia diminta oleh datuk dan Pak Habib menyambung kisah yang terputus. Pujukan pertama gagal, kedua juga gagal, begitu juga dengan pujukan ketiga dan keempat.
“Kalau kamu macam ini , masih merahsiakan, kami tidak boleh membantu kamu dan anak kamu. Jika keadaan ini tidak diselamatkan hidup anak kamu binasa dan makin banyak orang yang rosak dan sesat kerananya,” Pak Habib berterus terang.
“Fikirkanlah baik-baik, sebelum kami buat keputusan,” kata datuk.
“Fikirkanlah dengan tenang,” ulang Pak Habib.
Setelah termenung panjang lebih dari lima minit, akhirnya si suami yaqng pemalu dan perahsia menyahut kata-kata datuk dan Pak Habib.
“Semasa di kampong dia mengajar agama sukarela, saya dan isteri sudah mengumpulkan wang untuk menghantar dia belajar di Madinah. Dia dipelawa mengajar di sebuah pesantren. Jadi kami fikir, sementara menanti panggilan belajar di luar negeri apa salahnya dia jadi ustaz sementara, dapat juga duit,” dengan tulus si suami bercerita.
“Kesudahannya dapat anak kamu ke Madinah? “ ternyata datuk kurangf sabar.
“Dapat, dia diterima bellajar di Univesiti Madinah. Malangnya atau memang sudah takdir nasib kami berdua,” kata-katanya tidak dapat diteruskan. Nafasnya secara mendadak turun naik dengan cepat sekali. Tercungap-cungap.
“Kenapa?” datukk bertanya cemas.
“Beri saya rehat sekejap.” Pintanya.
Pak Habib dan Datuk mengizinkan.
Lama juga si suami itu berehat. Bila perasaannya kermbali tenang, tanpa didesak dia terus bercerita.
“Lebih kurang dua minggu lagi mahu ke Madinah, masa itu semua keperluannya sudah sedia, tiba-tiba saja anak kami jatuh sakit ketika mengajar. Kerana dalam masa sihat jatuh sakit, macam-macam cerita kurang manis dikaitkan dengan anak kami. Kononnya anak kami dibuat orang (sihir) kerana dengki. Anak kami dikatakan diberi perhatian yang lebih oleh pengetua pesantren, dijadikan anak emas berbanding dengan ustaz-uztaz dan ustazah yang lebih lama mengajar di situ,” si suami malang berhenti bercerita.

0 comments:

Post a Comment