Pengikut antu :P

Klik hantu nuffnang ok!:P

Thursday, May 5, 2016

233: DUGAAN PERJALANAN

SIRI 233 (VS OKT 2000)

DUGAAN PERJALANAN

Si dreber tumpukan perhatian kepada tugas. Kereta terus meluncur laju membelah jalanraya. Macam tadi juga, datuk dan Syed Hamid Al-Hadad masih rancak berbual.
Bila diamat-amati topik perbualan mereka lebih banyak menekankan pada akidah, tarikat. Disamping itu, mereka juga mencuit persoalan penyelewengan dalam akidah yang secara tidak disedari atau disengajakan oleh orang-orang yang dalam dan tinggi pengetahuan agamanya.

“Zeeeekkkkk..........”

Empat tayar kereta terhenti berputar secara mengejut. Semua yang ada kereta terangkat punggung dan tersengguk ke depan. Kaki dreber melekat ke pedal berek. Kedudukan badan kereta berubah 45 darjah ke bahu jalan.

“Maafkan saya Pak.”

Dreber menoleh ke belakang. Renung muka Syed Hamid Al-Hadad dan datuk. Kedua-duanya kelihatan terpinga-pinga sambil membetulkan duduk yang sudah berubah.

“Gajah melintas Pak, saya terpaksa berek.”

“Tak apa. Syukur pada Allah kita semua selamat,” ucap Syed Al-Hadad.

Empat ekor gajah berdiri di depan kereta.

Salah seekor dari gajah itu, paling besar dengan sepasang gading yang tajam. Panjangnya dianggarkan lebih dari tiga kaki. Sambil bertempik gajah tersebut menjatuhkan belalainya atas bonet kereta. Semua yang ada dalam kereta kecut perut.

“Tenang, jangan bising dan jangan bunyikan hon kereta,” ujar datuk perlahan.

Arahannya segera dipatuhi. Kami saling berpandangan penuh dengan kebimbangan. Dari atas bonet depan belalai gajah yang lembut bergerak ke atas bumbung kereta. Bila kaki depannya digeselkan kebadan kereta, seluruh kereta bergegar. Kami bergerak ke kiri dan ke kanan mengikuti gerak kereta yang digesel kaki gajah.

Lebih dari lima belas minit kami mematikan diri. Entah kenapa tidak ada sebuah kereta yang melintas ketka itu.

Mungkin para pemandu yang selalu menggunakan jalan raya tersebut sudah tahu, ketika kami melalui jalan tersebut, adalah ketika dan saat binatang liar melintasi jalan. Beralih tempat mencari rezeki di seberang jalan. Mungkin apa yang berlaku itu adalah secara kebetulan.

Dalam saat yang serba mencemaskan itu, gajah besar terus bertempik, dengan sekuat-kuatnya. Gajah-gajah yang lain segera mendekatinya lalu mengelilingi kenderaan kami. Tidak ada apa yang dapat dilihat kecuali kaki gajah yang hitam menutup pandangan. Kami pasrah kepada Allah.

Perlahan-lahan saya gerakkan kepala. Menoleh ke arah datuk dan pandangan kami bersambung. Sepasang bibir terasa bergerak-gerak lemah. Tetapi tidak ada sepatah kata terlontar dari mulut.

Dan datuk yang mengerti gelodak batin segera meletakkan telapak tangan kiri ke atas bahu.

“TenangTamar.”

“Tapi saya takut.”

“Mohon pertolongan dari Allah dengan ayat-ayat Quran yang aku bekalkan kepada kamu,” lembut nada suara datuk. Penuh diplomasi membangunkan sebuah keyakinan diri dalam kalbu.

Saya menggangguk dan renungan kembali pada posisi asal. Merenung cermin kereta dan kumpulan gajah liar yang masih belum berganjak. Dari celah-celah kaki gajah, gumpalan awan putih yang bergerak di dada langit, masih boleh dilihat.

KABUL

Doa kami berempat yang sengsara dalam perut kereta diperkenankan oleh Allah. Gajah besar terus bertempik, seolah-olah mengeluarkan sebuah arahan.

Beberapa detik berikutnya kumpulan gajah itu, seekor demi seekor bergerak ke arah yang ditunjukkan oleh belalai gajah besar.

Saya dan pemandu menarik nafas kelegaan. Pandangan tidak lagi dihalang oleh kaki dan badan kumpulan gajah liar. Gajah besar membawa anak buahnya memasuki hutan di kaki sebuah bukit. Barangkali di situ kaya dengan pokok bayas yang lembut umbutnya di sampingnya pisang hutan yang tumbuh merata-rata.

“Allah hu Akbar,” balas datuk.

Saya dan pemandu berbalas senyum. Wajah yang sebentar tadi cemas semacam, segera bertukar menjadi ceria. Penuh semangat dan keyakinan yang cukup tinggi. Si pemandu besedia meneruskan tugas yang terganggu.

“Bagaimana perasaan kamu? Sudah aman?” Syed Hamid Al-Hadad menatap wajah pemandunya yang berdahi luas.

“Sudah aman Pak.”

“Kalau begitu, teruskan perjalanan. Kalau lambat nanti kita senja di perjalanan. Lagi pun kawasan ini bukan kawasan aman. Banyak orang jahat.”

“Maksud tuan Syed?” secara spontan datuk bertanya.

“Kenderaan yang lalu di sini selalu dirompak. Kadang-kadang dibunuh dan mayat dibuang dalam hutan untuk makanan binatang buas.”

“Oh, begitu,” ada keresahan dihati datuk.

Sambil menarik nafas, kiri kanan jalan direnungnya. Apa yang dilihatnya ialah pokok besar yang berdiri kukuh. Entah mengapa secara tiba-tiba saya terasa seram.

“Kenapa masih belum bergerak?”

Syed Hamid Al-Hadad mencuit bahu pemandunya.

“Saya kira bapak ada urusan lagi.”

“Urusan apa? Tak ada urusan. Ayuh, sekarang jalan.”

“Baik pak”

Kereta kembalii bergerak. Mula-mula perlahan-lahan kemudian beransur laju dan terus laju. Meninggalkan pepokok, bukit bukau di belakang. Suasana di jalanan terasa agak lengang, kenderaan tidak serancak tadi. Samada yang ke Medan atau sebaliknya. Langit masih cerah. Awan juga bergerak lemah. Tetapi matahari kian condong ke barat.

Pemandu di sebelah tetap hati-hati dan teliti mengemudi kenderaan yang dikendalikan. Matanya tajam merenung dada jalan, sesekali dia menoleh ke arah kiri dan kanan jalan.

Macam ada sesuatu yang diawasinya. Dua tiga buah kenderaan berat memotong, tidak memberikan peluang kepada kenderaan kami untuk menyelit di tengah.

Secara berbisisk, pemandu memberitahu kenderaan berat yang membawa barangan dari kota raya Medan, akan bergerak secara konvoi, tidak bersendirian. Tujuan untuk keselamatan pemandu dan barang yang dibawa. Penjahat jalanan tidak akan merompak kenderaan barang yang bergerak secara berkumpulan.

Atas alasan keselamatan, pemandu kenderaan berat tidak mahu terpisah antara satu sama lain dalam jarak yang jauh. Mereka juga tidak mahu di antara jarak tersebut ada kenderaan lain menyelit.

Kerana kenderaan ang menyelit di tengah-tengah itu belum pasti penumpang atau pemandunya orang baik-baik. Siapa tahu, kalau penjahat jalanan menyamar jadi orang baik-baik untuk merompak.

“Di jalanraya ini, macam-macam boleh jadi. Orang yang nampak baik, raut muka macam orang berpelajaran , belum tentu baik. Orang yang nampak kasar dan muka macam mahu makan orang, belum tentu jahat. Pendek kata para pemandu di sini diselubungi misteri. Jadi, saya harus berhati-hati dan beringat. Salah perhitungan celaka badan,” bisik si pemandu, antara jelas dengan tidak.

OTAK

Sikap si pemandu memberitahu secara berbisik menimbulkan berbagai-bagai persoalan dalam otak. Kenapa dia tidak mahu menerangkan secara terbuka. Kenapa mesti bisik-bisik? Mungkin dia berbuat demikian kerana tidak mahu perkara tersebut sampai ke pengetahuan Syed Hamid Al-Hadad dan datuk.

Bila perkara yang tidak menyenangkan itu diketahui oleh kedua-dua orang tua yang duduk di belakang, macam-macam masalah boleh timbul. Setidak tidaknya perasaan mereka tidak akan aman. Sentiasa diburu keresahan dan rasa takut.

Dan hati kecil saya membuat kesimpulan, bahawa pemandu di sebelah saya ini termasuk istilah pemandu misteri yang disebut pada saya sebentar tadi.

“Uhhh........”

Sebuah keluhan tanpa sebab terhambur dari mulut. Ada jelingan tajam dari pemandu untuk saya. Serentak dengan jelingan itu, ada sekilas senyum pendek beralun di kelopak bibirnya. Barangkali senyum sindiran.

Dan boleh juga jadi senyum simpati. Macam-macam andaian timbul akibat senyum. Tidak salah, kalau saya mengkategorikan pemandu di kanan saya termasuk dalam golongan pemandu seribu kemungkinan.

Sesungguhnya, bermula dari bisikan, telatah dan senyum tang dipamirkan oleh si pemandu, menghimpunkan sejuta keresahan, ketakutan dan kecemasan yang memanjang dalam rongga dada. Tetapi, mujurlah apa yang memuak di rongga dada dapat dikawal dan ditenteramkan. Terutama bila melihat si pemandu memaut stering kereta seerat mungkin. Kereta terus meluncur laju.

Sinar matahari petang kian redup. Bila kenderaan melalui jalan yang di kiri kanannya ditumbuhi pepohon besar dan berdaun lebat, terasa agak gelap. Suasana begini tidak menganggu datuk dan Syed Hamid Al-Hadad yang duduk tersandar di kusyen belakang dan berborak.

Sesekali terdengar suara mereka bercakap, Biasanya, percakapan itu tidak berlangsung lama, hanya untuk beberapa minit saja. Kemudian masing-masing membisu. Bercakap lagi untuk beberapa minit. Membisu lagi, begitulah silih berganti.

Dan tekanan nada suara bila bercakap cukup rendah sekali. Sukar untuk dikesan tentang perkara yang mereka perkatakan.

Sebuah lori datang meluru dari arah belakang sambil membunyikan hon dengan kuat, minta laluan. Sungguh tidak sopan pemandu lori itu. Sambil memotong dia terus menhimpit lorinya ke arah kereta yang kami naik. Pemandu sebelah saya jadi kelam kabut dan terus menekan berek serta memandu kereta ke tepi jalan.

“Sial.....’

Itu yang terkeluar dari mulut pemandu. Mukanya merah menahan kemarahan. Lori yang memotong lesap dari pandangan. Syed Hamid Al-Hadad dan datuk tidak memberi sebarang komen.

“Sial, dia memang manusia syaitan laknat,” terhambur lagi ungkapan dari rahang mulut pemandu. Api kemarahannya masih belum menurun.

“Jangan maki hamun orang macam itu. Itu bukan amalan orang yang berhati mulia,” Datuk cuba memberikan ketenangan.

“Habis macam mana saya tak marah. Dia menghimpit kereta kita. Dia mahu membunuh kita semua. Dia ingat dia seorang saja mahu hidup,” ledakan kemarahan terus diluahkan oleh si pemandu.

"Kita mengalah saja, beri laluan kepadanya.” Syed Hamid Al-Hadad memberikan sebuah pandangan.

Si pemandu yang dadanya masih bersarang dengan api kemarahan terdiam. Dua tiga kali dia menelan air liur sambil menggosok pangkal hidungnya berkali-kali.

“Maafkan saya, memang saya tak boleh tahan dengan perangai biadabnya,” si pemandu renung muka Syed Hamid Al-Hadad dan batuk berkali-kali.

“Lupakan .”

Serentak datuk dan Syed Hamid Al-Hadad bersuara. Si pemandu yang api kemarahannya beransur reda mengangguk. Dan enjin kereta yang mati dihidupkan kembali.

TENANG

Dengan tenang setering kereta dipulas ke kanan. Empat tayar kereta yang terbabas ke dalam rumput di gigi jalan berjaya dinaikkan ke atas dada jalanraya.

Seterusnya kereta kembali bergerak lancar. Tetapi, rasa kemarahan masih belum padam seratuds peratus dari dalam hati pemandu di sebelah saya.

Buktinya, dapat dikesan dari mulutnya yang kumat-kamit. Saya kira dia masih memaki hamun, menyumpah seranah pemandu lori kecil yang tidak senonoh. Cuaca petang, kian redup. Matahari makin condong kebarat. Pada hemat saya, tidak sampai dua jam lagi, matahari akan terbenam di kaki langit. Perjalanan seterusnya di rasa cukup selesa.

“Pengalaman kereta dihimpit dan dilanggar orang dari belakang, atau terbalik dalam gaung, memang sudah saya rasakan. Tetapi, pengalaman....” Syed Hamid Al-Hadad yang memulakan percakapan dengan datuk, tidak meneruskannya.

“Kenapa berheni,” datuk mendesak.

”Saya rasa kurang sopan, kalau saya meneruskan.”

“Demi persahabatan ini, anda harus meneruskan.”

Sepasang anak mata hitam datuk tertampar kewajah Syed Hamid Al-Hadad mengangguk tanda setuju.

“Ini pengalaman pertama saya berdepan dengan gangguan gajah liar di jalanraya. Semangat saya terasa melayang. Sebelum ini, awak pernah mengalaminya?, “ jujur sekali Syed Hamid Al-Hadad memnyampaikan apa yang ada di dalam hatinya.

Datuk tidak memberikan tindak balas yang positif terhadap pertanyaan yang diajukan.

Memang ada rasa sedikit kehampaan di hati Syed Hamid Al-Hadad. Dia tidak berputus asa dan terus mengajukan pertanyaan yang sama.

“Pernah,:” balas datuk pendek.

“Mencemaskan?”

“Kali pertama memang mencemaskan. Bila masuk kali kedua dan ketiga, kurang sikit rasa takutnya.”

“Bagaimana kalau perkara macam ini berlaku masa depan.”

“Saya berharap dan berdoa kepada Allah, janganlah perkara itu berlaku lagi,” tegas datuk.

“Saya pun harap begitu,” kata Syed Hamid Al- Hadad. Kedua-duanya ketawa kecil penuh dengan kemesraan dan kekeluargaan.

Saya dan pemandu yang mendengar dialog antara Syed Hamid Al-Hadad dengan datuk turut tersenyum.

Memang melucukan . Sepatutnya mereka bercakap atau berbual hal-hal yang lebih besar dari itu. Agaknya perkara itu sengaja dilakukan sebagai sebuah pelarian untuk menhilangkan rasa bosan atau takut tentang sesuatu yang bakal berlaku. Dan cara kebetulan pula, kotaraya Medan masih jauh lagi.

“Ada motor mengekori kita dari belakang,” kata pemandu sambil merenung cermin kecil di depannya. Saya anggukkan kepala dan menganggap kehadiran sebuah motosikal yang dinaiki dua insan memakai jaket hitam adalah perkara biasa.

Makin lama, motosikal itu makin dekat dengan kereta yang kami naiki. Malah jaraknya tidak sampai 50 meter. Tidak dapat dipastikan darimana motosikal yang ditunggang oleh dua insan itu mengekori kereta kami. Saya yakin, motosikal itu muncul setelah kenderaan kami melepasi selekoh tajam.

Kehadiran motosikal dengan dua insan berjaket hitam itu turut disedari oleh Syed Hamid Al-Hadad dan datuk. Kedua-dua orang tua tersebut bagaikan tidak kisah. Meskipun sekali sekala Syed Hamid Al-Hadad menoleh ke belakang.

KEJUT

“Tamar,” mengejut saja pemandu bersuara.

“Kenapa?.”

“Motosikal misteri dan orangnya dah hilang.”

“Kau jangan bergurau.”

“Aku tak bergurau, kau tengok ikut cermin tepi.”

Syor pemandu segera saya patuhi. Memang, dia tidak bergurau.

Motosikal yang ditunggangi oleh dua insan berjaket hitam hilang entah kemana. Dan ini mengukuhkan lagi andaian saya bahawa mereka tidak mengekori kenderaan yang kami naiki.

“Kemana mereka menghilang,” pemandu bertanya.

“Pulang ke rumah, hari dah nak malam,” jawap saya bergurau, pemandu tersenyum. Minyak kereta terus ditekan, walaupun ketika itu, kereta sedangmenuruni kawasan berbukit.

“Kurangkan laju, kamu memandu menuruni bukit dan di depan ada dua selekoh merbahaya,’ tegur Syed Hamid Al-Hadad.

Dengan serta merta jarum meter menurun dari 120km sejam kepada 70km sejam. Saya menegakkan ibu jari kanan. Pemandu yang mengerti dengan maksud saya tersenyum.

“Kau nakal,” katanya sambil menolak tangan saya, Dalam kesuraman sinar matahari petang, sayup-sayup terlihat orang berdiri di tepi jalan sambil mengangkat tangan menahan kenderaan yang lalu. Makin lama, makin jelas bentuk tubuh orang yang berdiri itu. Seorang lelaki separuh baya memakai kemeja lengan panjang berjalur hitam putih. Seluarnya berwarna kelabu taik anjing.

“Berhenti dan bantu dia.” Arahan dari Syed Hamo\id Al-Hadad kepada pemandunya.

Entah kenapa hati saya berdebar. Datuk tidak memberi sebarang komen. Air mukanya membayangkan rasa bimbang.

“Kita tak kenal dia,” kata pemandu.

“Itu bukan soal, dia manusia memerlukan bantuan. Bantu dia.” Syed Hamid Al-Hadad terus berkeras. Pemandu anggukkan kepala. Patuh pada perintah majikan. Kira-kira dalam jarak tiga tiang telepon, mahu sampai ke tempat orang yang berdiri di tepi jalan, si pemandu memperlahankan kereta yang dipandunya.

“Hati-hati,” terdesak suara datuk dalam nada resah

“Terima kasih atas ingatan saudara, saya yakin dia orang yang memerlukan bantuan. Boleh jadi orang susah,” balas Syed Hamid Al-Hadad. Saya mengigit bibir sementara pemandu menarik nafas dalam-dalam. Tidak tahu apa yang difikirkannya.

Menyedari kereta yang kami naiki, semakin lama semakin perlahan dan menghampirinya. Orang yang di tepi jalan kian kerap menurun naikkan tangannya. Malah, dia bergerak ke tangah jalan sambil menghalakan wajah dan dadanya ke arah kereta. Tidak takut dengan kemalangan yang menanti seandainya si pemandu bertukar fikiran dari menekan berek kepada pedal minyak.

Orang ini ada muslihat tertentu, fikir saya dalam hati, Barangkali pemandu juga berfikiran demikian. Itulah sebabnya, dia agak keberatan mematuhi arahan Syed Hamid Al- Hadad tadi. Datuk juga tidak berkecuali, buktinya dia turut mengingatkan pemilik kereta supaya berhati-hati.

Sebaik saja kereta berhenti dan enjin dimatikan. Tergesa-gesa Syed Hamid Al-Hadad memuka pintu kereta dan terus keluar.

Lelaki yang berdiri di tengah jalan segera menerpa ke arahnya menghulurkan tangan untuk bersalaman. Di saat kedua-dua telapak tangan untuk bersalaman, lelaki itu berpusing lalu menyambar pergelangan Syed Hamid Al-Hadad.

Dengan sekelip mata, tangan Syed Hamid Al-Hadad dikilasnya ke belakang. Serentak dengan itu satu tendangan padu dilepaskan kerusuk Syed Hamid Al-Hadad. Lelaki berdarah Arab Melayu itu jatuh tersungkur di bumi dan mengerang kesakitan.

Saya dan pemandu tergamam. Tidak tahu apa yang harus diakukan. Datuk juga demikian. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku di depan matanya.

0 comments:

Post a Comment