Pengikut antu :P

Klik hantu nuffnang ok!:P

Thursday, May 5, 2016

213 : TAK RELA MATI KATAK

SBDJ (JILID 16) SIRI 213 


TAK RELA MATI KATAK


SELURUH bilik dikuasai bau rambut dan seludang kelapa yang terbakar. Hangit dan melemaskan lubang hidung.
Mata kami (saya, Nonong dan Harun) berair dan terasa pedih, terbatuk-batuk. Datuk tidak mengalami sebarang gangguan. Tetap tenang, tidak memperlihatkan sebarang reaksi.
Api terus membakar rambut yang melilit batu gunung, begitu juga dengan seludang kelapa. Perasaan saya benar-benar terganggu. Walupun begitu, ekor mata saya sempat menjeling ke arah Nonong dan Harun. Mereka juga nampak resah semacam.
"Ah!!!...., kata saya terkejut.
Bagaimana saya tidak terkejut bila melihat batu gunung menjadi bara merah menyala. Seludang kelapa terus menjadi abu. Berterbangan dalam bilik, macam ada sesuatu yang menghembusnya.
"Pelik," suara saya meninggi.
Datuk segera memberi isyarat jari menyuruh diam. Saya patuh dengan arahan itu tetapi, kalbu tetap berperang dengan perasaan cemas dan takut. Betapa tidak, kepulan abu seludang yang berterbangan terus berpusu-pusu ke satu sudut berkumpul di situ dalam bentuk memanjang berukuran satu kaki. Dalam sekelip mata pula bertukar menjadi seperti puntung kayu yang rentung. Hitam legam.
Puntung kayu yang rentung berpusing ligat di situ, macam gasing serta mengeluarkan bunyi yang berdengung. Setelah berpusing lebih kurang lima, putung kayu itu bergerak ke arah pintu lalu melanggar jenang pintu. Pecah bertaburan menjadi seperti percikan bunga api yang halus lalu hilang.
Apa yang berlaku kami ikuti dengan penuh debar. Saya yakin, kalau berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap kami bertiga, datuk tidak akan lepas tangan.
"Semuanya pelik dan menakutkan," ujar Harun kepada kakaknya dalam nada suara yang agak perlahan, tetapi dapat di dengar oleh datuk. Seperti yang dilakukan kepada saya, datuk memberi isyarat kepada Harun dan Nonong supaya jangan bercakap. Harun menarik nafas panjang. Agaknya, kecewa dengan arahan datuk.

Dengan perlahan-lahan Harun mengisut ke arah Nonong. Mereka duduk berdekatan, berpegangan tangan. Barangkali kalau terjadi sesuatu yang buruk mereka tidak mahu berpisah, mahu mati bersama. Rela rentung, jadi abu bersama rumah peninggalan orang tua andainya dimamah api.
Tetapi, bagaimana dengan diri ini, apakah harus mati bersama? Saya cuma menemani datuk bagi mengatasi masalah yang ditanggung oleh Nonong. Tentulah tidak wajar saya menanggung akibatnya, mati katak kerana orang lain. Kerana itu, saya mesti bersedia untuk menyelamatkan diri bila keadaan terdesak.
Diri datuk tidak perlu digusarkan. Dia banyak pengalaman, kaya ilmu dunia akhirat. Tidak ada masalah baginya untuk menghadapi apa juga kesulitan dalam situasi sekalipun.
Semuanya itu berkocak dalam kotak batin. Saya mula menjeling ke arah pintu bilik. Kalau perlu saya harus merempuh apa saja untuk keluar dari suasana yang tidak menyenangkan itu.
"Harun," gegendang telinga saya didatangi suara Nonong. "Kenapa Kak?," Balas Harun
"Apakah kita akan jadi korban penunggu bilik,"
"Tidak kak."
"Paaaaaaaaapppppppppppp „
Telapak tangan kiri datuk menampar lantai dengan sekuat hati. Punggung saya terangkat kerana terkejut.
Wajah Nonong dan Harun pucat lesi, macam mayat. Semua biji mata tertumbuk ke arah datuk. Dia memberi isyarat supaya jangan berkata-kata. Dan kami pun menundukkan kepala, tanda bersedia mematuhi larangannya.

NEGATIF

DI TENGAH-TENGAH situasi yang tidak menentu itu, bermacam-macam yang timbul dalam kepala. Semuanya negatif. "Ah," saya bersuara dalam hati.
"Tik tik tik " datuk menjentik lantai.
Saya faham, apa yang terdetik dalam hati sampai ke akal fikiran datuk. Lagi sekali saya menundukkan kepala. Berjanji tidak akan memikirkan sesuatu yang buruk.
Saya yakin datuk menerima ikrar saya, buktinya dia tidak membukakan sepasang kelopak matanya.
Rasa tidak selesa kian menjadi-jadi. Badan mula berpeluh dan ruang bilik terasa panas membahang seperti mahu terbakar, panas dan pedih.
Setiap liang roma mengeluarkan peluh. Seluruh sendi terasa bergetah dan peluh pun mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan. Saya menoleh ke arah Nonong dan Harun. Mereka juga resah gelisah. Pakaian mereka basah kuyup, macam orang terjatuh dalam sungai. Datuk macam tadi, tak bergerak dan bertindak. Duduk bersila cara pahlawan dengan kedua-dua belah tangan memeluk tubuh.
"Sekarang dah jauh malam, apa lagi yang kamu nantikan. Keluarlah secara baik, sebelum kamu aku binasakan," suara datuk menggeletar, macam menahan marah. Tidak tahu kepada siapa kata-kata itu datuk tujukan.
Saya segera membuat andaian sendiri, kata-kata itu dihalakan kepada makhluk halus penghuni bilik. Tidak ada tindak balas atau reaksi dari makhluk halus sama adasecara nyata atau ghaib.
Malam kian larut. Sekali-sekala terdengar suara burung hantu dan jampuk. Begitu juga dengan salakan anjing di hujung kota mendayu-dayu bercampur aduk dengan bunyi deru kereta yang sesekali lalu di jalan besar.
Kalau sudah sampai dinihari, di mana-mana pasti terasa dingin tetapi, keadaan menjadi sebaliknya di bilik yang kami huni ini. Panasnya menjadi-jadi.
Bara batu gunung terus marak, bertambah besar sambil memercikkan bunga-bunga api yang halus menyala ke arah datuk.
Anehnya, bebunga api itu berpatah balik ke arah bara api sebaik sahaja mendekati datuk dalam jarak satu hasta. Saya lihat datuk tidak melakukan apa-apa supaya bebunga api itu berpatah balik ke tempat asalnya.
Datuk tetap seperti tadi, duduk bersila memeluk tubuh. Perbezaan yang ketara dapat dikesan pada bahagian mata. Tadi, kelopak matanya rapat kini terbuka sedikit. Memandang kuyu ke arah kami bertiga. Dan suara lolongan anjing makin galak dan diikuti dengan suara burung hantu bagaikan berpesta di atas bumbung sambil sayapnya memukul atap rumah. Semuanya ini menambahkan rasa takut dan cemas di hati.
Dalam ketakutan itu muncul persoalan dalam hati, dari mana burung-burung hantu itu datang? Ternyata soalan itu sukar dicari jawapannya.
"Ah.... ," datuk mengeluh.
Cepat-cepat saya arahkan sepasang mata kepadanya.
Kedudukannya sudah berubah. Dari duduk bersila kepada bertinggung. Kaki kirinya melepaskan beberapa tendangan kencang ke arah dinding. Setelah melepaskan lebih daripada enam tendangan kencang ke arah dinding, datuk kembali kepada posisi asal.
Sekali lagi kami mengalami kejutan. Bara batu gunung yang marak dan merah menyala terus padam. Seluruh bilik gelap gelita. Dari arah kanan (arah pintu masuk) muncul cahaya pelita minyak tanah. bergerak di awang-awangan, berlegar-legar di atas kepala kami bertiga. Badan yang panas serta merta terasa sejuk. Pelita bergerak pula mengelilingi tubuh datuk. Badan kami kembali panas.

SAMAR

DALAM cahaya yang samar-samar itu, saya melihat tangan kanan datuk bergerak dengan pantas untuk menangkap lampu minyak tanah yang terbuai-buai mengelilinginya. Usaha datuk gagal.
Lampu minyak tanah bergerak arah kiri dan naik ke arah siling bilik, tergantung di situ untuk beberapa saat sebelum berada dipermukaan lantai.
Semasa lampu minyak tanah berada di lantai, datuk segera melompat dan menerkam ke arah lampu tersebut. Pergelutan pun berlaku antara datuk dengan makhluk (tidak kelihatan) yang menguasai pelita minyak tanah. Datuk mahu merebutnya untuk dimusnahkan sedangkan makhluk yang tidak dapat dilihat, mahu mempertahankannya.
Pergelutan berlaku dalan cahaya pelita minyak tanah yang samar- samar itu, tidak dapat diikuti dengan jelas. Tetapi, setiap kali datuk melepaskan buah silat yang jitu dan tepat mengenai sasarannya terdengar suara orang mengeluh menahan rasa sakit.
Berdasarkan pada suara tersebut, saya kira usia makhluk yang mempertahankan lampu minyak tanah itu, tidak jauh berbeza dengan usia datuk. Dua kali datuk tercampak ke dinding akibat kena penendang dari makhluk yang tidak dapat dilihat. Perlawanan bertambah sengit dan gamat. Datuk sering sahaja jatuh dan bangun.
Melompat ke kiri, melompat ke kanan. Ada ketikanya lompatan tadi hampir mencecah siling rumah.
Tanpa tidak disangka-sangka dua kali saya kena libasan kain cindai makhluk ghaib di bahagian muka. Perit dan pedihnya rasa tak tertanggung. Pipi yang kena terasa terus membengkak.
"Melayang," itu yang keluar dari kelopak bibir.
Bagaimana tidak bersuara, saya terkejut melihat kejadian yang tidak disangka-sangka terjadi di hadapan mata.
"Dummmmmmmmmmmm.
Pelita minyak tanah meletup betul-betul di atas bara batu gunung yang padam. Bilik terasa bergegar. Dua keping papan dinding berlubang. Kami bertiga terangkat dari permukaan lantai lalu tercampak ke arah tiang. Bertindih-tindih di situ. Harun menghempap tubuh saya. Tubuhnya pula dihempap oleh Nonong.
Kami bertiga bagaikan berada di sebuah dunia asing yang sunyi sepi. Otak kami terasa kosong kami melihat api melihat api menjilat dinding dan lantai rumah. Mulut bagaikan terkunci untuk menjerit atau memekik.
Datuk yang tadi nampak gagah dan hebat melepaskan tendangan dan tumbukan ke arah musuh mula lemah. Secara perlahan-lahan dia rebah di lantai, terbujur di situ menggeletik macam ikan keli kena ketuk. Dan selanjutnya, secara bertahap-tahap badan datuk mengerekut seakan-akan angka lima.
Api dilantai segera menjalar ke arahnya lalu mengelilingi sekujur
tubuh datuk dalam jarak satu kaki. Saya tidak terdaya menolongnya. Sepasang kaki serta tangan tidak boleh digerakkan melekat pada tiang. Mujurlah, biji mata boleh digerakkan untuk melihat ke seluruh bilik. Nonong dan Harun juga macam saya.
"Syukur," kata hati.
Perlahan-lahan datuk meluruskan tubuhnya yang mengerikut, tidak ubah macam ular sawa membuka lingkaran. Sepasang kaki dan tangan mula diluruskan. Kepalanya juga boleh digerakkan untuk merenung keadaan sekitar.
Dan api yang mengelilingi datuk beransur kurang, tidak semarak tadi. Sebahagian darinya sudah pun padam, terutama dibahagian yang berdekatan dengan hujung kaki. Apa yang kelihatan di situ ialah kepulan nipis.
Dari lubang dinding yang terpelehong saya melihat keluar.
Semuanya nampak gelap gelita. Suara jampuk dan kelawar masih kedengaran. Salakan anjing boleh dikatakan hilang terus. Tetapi, suara katak dan cengkerik masih bergemam bagaikan nada dan irama.
Ada ketikanya, seperti suara orang menangis, kadangkala terdengar suara orang mengilai dan bunyi orang makan daging. Semuanya ini membuat saya bertambah cemas.

MAYA

NONONG dan Harun sudah tidak bermaya. Lembik semacam, mata mereka nampak kuyu dengan sepasang bibir terjuih ke bawah. Keadaan mereka macam orang kena pukau angin.
Berdasarkan apa yang mereka alami, saya yakin kedua-duanya tidak sedar atau dapat melihat apa yang berlaku dalam bilik. Kerana kepala masih boleh digerakkan ke kiri dan ke kanan lalu saya manfaatkan dengan sebaik mungkin.
Perkara yang saya utamakan ialah menumpukan perhatian ke arah datuk.
"Syukur pada Allah."
Itulah yang terdetik dalam kalbu saya, bila melihat datuk boleh bangun. Duduk bersila, bertindih paha seperti keadaan sebelum kejadian. Api yang marak terus padam. Seluruh bilik dikuasai asap nipis. Lubang hidung mula disumbat dengan bau kemenyan.
Peliknya, asap yang banyak itu tidak pula memedihkan mata saya. Mungkin juga mata Nonong dan Harun Fadillah. Dalam gerak asap nipis yang lembut itu ada kelibat lembaga yang tinggi junjung hampir memecah siling bilik.
Bau kemenyan yang kurang menyenangkan itu bertukar menjadi bau yang amat wangi. Imbasan yang tinggi melunjung, sedikit demi sedikit menjadi rendah dan berhenti dalam ukuran tinggi seperti manusia normal (ukuran tinggi orang Malaysia). Kalau tadi dapat dilihat dalam bentuk imbasan, kini beransur jelas bentuk dan rupanya.
Sepasang anak mata diarahkan kepada sesusuk tubuh yang berdiri
di hadapan, merenung tajam ke muka datuk yang masih berusaha mengumpulkan tenaga.
Secara automatik saya teringatkan sesuatu. Rasa-rasanya pernah bertemu dan melihat wajah dan tubuh manusia tersebut. Semasa berhempas pulas memutarkan jarum ingatan pada waktu yang berlalu.
Orang yang dijadikan fokus hilang dengan serta-merta, kemudian timbul semula dan hilang kembali.
Begitulah silih berganti, hilang timbul, hilang timbul. Membuat kepala terasa pening, pandangan jadi berpinar.
Tekak terasa loya, pertukaran gerakan lembaga tersebut terlalu cepat serta mengeluarkan cahaya dalam bermacam-macam warna. Secara tidak sengaja air liur meleleh dan berbuih di pinggir mulut. Ada sesuatu yang menekan halkum saya.
Apakah perkara yang saya alami ini, turut dirasai oleh Nonong dan Harun? Menjelma pertanyaan dalam hati. Datuk masih lagi meneruskan usahanya memulihkan tenaga yang banyak terbuang akibat pertarungan tidak diingini. Datuk menggeliat dan melakukan senaman harimau bangkit dari tidur.
"Uuuuhh huk."
Nonong terbatuk dan saya cuba menoleh ke arahnya. Tetapi, tidak berhasil, leher tidak boleh digegarkan. Dalam masa yang sama terdengar suara Harun merintih, menahan rasa sakit. Saya tidak dapat berbuat apa-apa melainkan berdoa pada Allah, semoga tidak akan berlaku perkara yang tidak diingini pada mereka berdua.
kerana tidak boleh menoleh ke kiri dan ke kanan, perhatian kembali kepada datuk dan lembaga aneh. Rasa silau dan pedih di mata terpaksa ditanggung, Kepala semakin pening, denyutnya mula terasa.
"Weeeeekkkkkkkkkkk....
Isi perut bagaikan mahu keluar. Tidak terdaya menahan rasa muntah dan terpaksa diluahkan. Malangnya, muntah yang diluahkan tidak keluar kecuali angin dan bau yang tidak menyenangkan. Lebih dari lima kali saya mengalami perkara yang sungguh membosankan, sungguh menyeksakan membuat seluruh tubuh tidak berdaya.

MUNTAH

BILA keadaan sudah aman, perut tidak bergelora, rasa mahu muntah sudah hilang begitu juga dengan rasa loya di tekak. Barulah waktu yang berlalu dapat di sorot. Masih tergambar dan penuh yakin saya memang pernah bertemu
dengan lembaga manusia yang berdiri memandang datuk itu. Cuma yang berbeza dari segi berpakaian.
Dulu memakai baju melayu teluk belanga yang koyak di bahagian bawah, bersongkok putih, berkain pelikat. Di bahu kanannya tersangkut kain hitam serta berwajah garang. Keadaannya, sudah banyak berubah.
Wajah yang garang bertukar lembut, tidak bermaya. Putih macam kapas. Misai tebal yang hitam bertukar kemerah-merahan. Sebahagian dari wajahnya di balut dengan kain hijau (macam serban). Rambutnya yang kemerah-merahan, panjang separas leher jelas kelihatan.
"Sudah sah, orang inilah yang saya temui bersama datuk, sewaktu pulang solat jemaah subuh dari Masjid Raya," jerit saya sekuat hati tanda kegembiraan. Malangnya, jeritan tidak di dengari oleh sesiapa pun. Tidak keluar dari tekak.
Saya amat kecewa sekali. Perlahan-lahan, lelaki tua berwajah seputih kapas alihkan perhatian kepada saya sambil
melemparkan senyum sinis. Seolah-olah tahu apa yang saya lakukan. Datuk yang sudah berjaya mengumpulkan tenaga terus bangun dan berdiri, bertentang wajah dengan orang tua berwajah seputih kapas.
Perlahan-lahan datuk menjarakkan kedudukan kaki kiri dengan kaki kanan supaya ada ruang yang lebarnya kira-kira satu kaki lebih di celah kangkangnya. Kemudian memperkemaskan kekuda kakinya dengan membengkok sedikit bahagian lutut.
Semuanya dilakukan dengan tujuan untuk berjaga-jaga. Mana tahu, kalau secara tiba-tiba orang di hadapannya melakukan serangan kilat.

0 comments:

Post a Comment