Pengikut antu :P

Klik hantu nuffnang ok!:P

Thursday, May 5, 2016

209: DENDAM DARI BILIK RAHSIA


SDBJ (JILID 16) SIRI 209

DENDAM DARI BILIK RAHSIA

Nasihat yang diluahkan oleh ibunya, disambut dengan perasaan separuh hati. Nonong tahu, jawapan dari ibu sekadar melepaskan batuk di tangga. Lebih-lebih lagi bila ibu menekankan tentang 'berdoa', terasa lucu sekali. Ibunya sendiri menyaksikan dia berdoa siang malam. Jadi kenapa perkara itu ditekankan, bila dia bercakap tentang jodoh. Sebuah pertanyaan yang sukar dicari jawapan pasti. Tetapi, menimbulkan tanda tanya dan misteri yang tidak berjawap.
Kalau dikutkan hati memang Nonong tidak mahu berdoa lagi. Dia sudah bosan dan perbuatan itu kerja sia sia. Tuhan bagaikan menolak permohonannya melalui doa.
Nonong juga sudah jemu berusaha, benci melihat muka dukun, pawang dan bomoh yang bukan sedikit mengaut wangnya. Jodoh yang diharapkan tidak juga menjelma. Dalam suasana kehidupan yang serba tertekan zahir batin, Nonong berazam mahu meluluskan dirinya dari kepompongan keluarga, dan masyarakat sekitar yang selalu beranggapan gadis berusia lanjut, tidak menikah merupakan tanda tidak baik untuk keluarga, hidup tidak beruntng.
Kerana Nonong bertugas dengan kerajaan di bawah Kementerian Luar dia berpeluang untuk bertugas di seberang laut. Kesempatan itu di manfaatnya dengan sebaik mungkin untuk keluar dari suasana yang tidak menyenangkan itu. Nonong mengemukakan permohonan untuk bertugas di luar tanah air. Harapannya terlaksana. Nonong gembira bukan kepalang.
Dia dihantar berkhidmat di Konsul Republik Indonesia, di Pulau Pinang sebagai kerani. Di Pulau Mutiara, Nonong bagaikan mengalami kejutan budaya yang amat berbeza dengan di Medan. Dia turut melibatkan dirinya dengan dunia yang serba baru dan asing itu. Nonong yang selama ini merasakan pergerakannya agak terbatas, kini mula mengubah cara hidupnya sesuai dengan situasi yang dihadapinya.
Di Medan pulang sahaja dari pejabat, dia tidak kemana-mana. Banyak menghabiskan masa bersama ibu. Menemani ibunya mengajar tarian dan anak-anak gadis yang berminat dalam bidang tarian tradisional dikelas menari. Bila ibu dan kumpulannya diundang menghiburkan orang ternama dalam sebuah upacara penting seperti pembukaan gedung perniagaan, ulangtahun kemerdekaan dan sebagainya. Nonong akan turut serta.
Kerana kecantikan semulajadi yang dimiliki oleh Nonong, dia menjadi perhatian para tetamu undangan. Dan orang tertentu segera menyiasat latar belakang diri dan keluarga. Tetapi, ibunya bagaikan enggan memberi kerjasama. Dan perkara itu tidak berlanjutan, mati begitu saja.
Keadaan di Pulau Mutiara yang serba membangun dan sibuk menyebabkan Nonong menyususun agenda hidup tersendiri yang berbeza dengan di Medan.
Bagaikan bumi dengan langit. Dari seorang gadis yang agak pemalu dan sering merasa rendah diri bertukar menjadi gadis yang periang. Dia melibatkan diri dengan badan-badan sukarela. Menjalinkan persahabatan dengan siapa saja.
Mula berusaha untuk menguasai bahasa Inggeris dengan baik.


"DORONGAN"

Kerana desakan dan dorongan kawan-kawan, Nonong mula mengunjungi kelab-kelab malam. Secara beransur ansur dia mula menghisap rokok dan berjinak-jinak dengan alkohol. Dia makin jarang menghalakan wajahnya ke arah kiblat. Begitulah Nonong, amat cepat berubah. Apa yang sedang dilaluinya membuat dia lupa dengan masalah yang menggayuti kehidupan dan dirinya.
Tidak timbul masaalah belum bertemu jodoh, tidak kisah dengan usianya yang kian bertambah. Semuanya sudah dilemparkan jauh-jauh dari dalam kotak hati dan fikirannya. Seiring dengan itu , Nonong tidak suka melihat wajahnya di cermin, tidak suka menghias diri untuk menarik perhatian lawan jenis. Tidak ambil peduli dengan jiran kiri kanan rumah sewanya.
Sesuatu yang sungguh drastik bila Nonong tidak menulis surat atau menghubungi keluarganya di Medan. Dia bagaikan mahu menjauhkan diri dari mereka. Ternyata usaha itu tidak sepenuhnya berhasil. Kedua-dua orang tuanya sering mengunjunginya, terutama ibunya yang boleh dikatakan setiap bulan datang ke rumah sewanya. Dan secara sembunyi-sembunyi (ketika Nonong tidur) mengusap tubuh anaknya dengan asap kemenyan. Kisah yang diungkap Nonong memang mengharukan. Saya bersimpati dengan nasib yang di alaminya. Mengapa gadis yang lambat kahwin menjadi buah mulut masyarakat. Dan apakah perkara seperti ini, hanya berlaku dikalangan masyarakat melayu sahaja. Fikir saya dalam hati.


"Ada lagi yang mahu ceritakan, Nonong?" Itu yang terluah dari kelopak bibir datuk, sebaik sahaja Nonong berhenti bercakap dan tidak mau menyambung lagi.
Saya resah sendirian melihat Nonong menundukkan muka. Kedua-dua belah sayap bahunya bergerak lemah. Mengertilah saya, bahawa gadis cantik tidak bahagia itu sedang tersedu hiba. Kalau sudah begini kesudahannya, tidak mungkin Nonong mahu melanjutkan cerita. Saya membuat andaian sendiri.

"Tak apalah memanda, cukup setakat ini saja". Hiba benar rasanya hati. Saya arahkan sepasang mata ke arah Nonong. Andaian saya hampir menjadi kenyataan.

"Maafkan saya," lemah benar nada suara datuk. Tiada jawapan dari Nonong. Cuma yang kedengaran sedu dan sedannya sahaja. Mungkin kerana hiba atau tidak mahu terpengaruh dengan kesedihan yang melanda hati Nonong, datuk segera bangun menuju ke jendela. Berdiri di situ, merenung keluar. Nonong masih juga tersedu. Dan saya tidak bergerak ke mana-mana. Sedu-sedan Nonong beransur lemah dan akhirnya mati begitu sahaja. Suasana di ruang makan terasa amat sepi sekali.
Perlahan-lahan datuk melangkah kembali ke tempat asalnya. Sejak datuk berdiri di tepi jendela, saya tidak menumpukan perhatian ke arah Nonong, saya lebih banyak merenung dinding rumah tamu sambil mengelamun sendirian. Tiba-tiba datuk menyebut perkataan Allah hu Akbar yang diikuti dengan batuk kecil. Pada hemat saya batuk itu sengaja dibuat-buat. Barangkali untuk menarik perhatian saya atau Nonong.
Entah macam mana ketika saya menoleh ke arah datuk secara tidak sengaja terpandang wajah Nonong. Pandangan kami bertembung. Tidak percaya rasanya, Nonong menghadiahkan senyum. Nampak cukup menarik dan manis sekali. Tidak berkedip kelopak mata saya memandang ke aranya. Alam khayalan yang tidak bertepi itu, datuk batuk lagi. Saya tahu itu batuk nakal. Memang, ekor mata datuk tetap menyorot setiap inci pergerakan diri saya.

"Kenapa Tamar?" Soal datuk, sepasang biji matanya merenung tepat ke arah saya,

"Kamu nampak resah semacam saja," tambahnya bersama senyum sinis. "Ahhh.." terkeluar dari kelopak bibir saya.

"Kenapa Tamar?" Memang tidak saya duga pertanyaan itu datang dari Nonong. Nadanya tidak lagi membayangkan keresahan. Saya jawap pertanyaan itu dengan mengelengkan kepala. Senyuman pun berlari di kelopak bibir Nonong.* *Aduh! Manis sekali senyuman gadis anak Deli ini , bisik batin saya.


"KESAN"


Sebagai orang tua yang banyak pengalaman, datuk dapat mengesan yang sesuana di ruang makan agak aman. Perasaan Nonong tidak bercelaru lagi. Ketika yang baik untuk mencungkil kisah lampau gadis Deli yang tertonggok di sisinya.

"Perasaan kamu dah tenang Nonong?"Nonong anggukan kepala.

"Bolehlah kamu bercerita lagi."

"Ahhhh memanda," Nonong seperti tersentak.
Anak mata hitamnya dihalakan ke arah saya untuk beberapa saat. Perlahan-lahan saya anggukkan kepala sebagai tanda supaya Nonong memberikan kerjasama pada datuk.

"Boleh Nonong, ulang datuk lemah.

"Boleh," sahut Nonong." Datuk membetulkan duduknya supaya selesa.
Bila merasai cara duduknya serasi dengan kemahuan hatinya, datuk mengeliat lemah. Saya menanti penuh debar. Apakah kisah silam yang bakal diungkapkan oleh Nonong itu akan membuka jalan bagi menjejaki, kenapa dia tidak mahu didampingi lelaki?. Sepuluh minit masa berlalu, Nonong masih belum membuka mulut, asyik merenung keluar saja. Resah mula terpamer di wajah datuk. Dua tiga kali orang tua itu menarik dan melepaskan nafas. Nonong kelihatan masih bersahaja, buat tidak kisah semacam.

"Keadaan kamu bertambah kelam kabut bila mendapat tahu yang emak kamu meninggal dunia?" Datuk 'cuba'memancing agar Nonong memulakan kisah.

"Memang benar memanda," sahut Nonong pantas. Dari gerak geri dan gambaran di wajahnya membayangkan kesungguhan Nonong untuk bercerita.
Saya gembira dengan keputusan yang dibuat oleh Nonong. Datuk juga barangkali sependapat dengan saya. "Kematian emak membuat saya seperti orang gila, berhari hari saya menangis. Emak tidak sakit apa-apa, mati cara mengejut. Lemah seluruh sendi badan bila menerima berita kematiannya, saya balik ke Medan dengan kapalterbang."

"Kamu ikut menghantar jenazah emak kamu ke tanah kubur?"

"Iya, memanda atas permintaan ayah, emak di tanam betul-betul atas sempadan antara kawasan tanah kubur dengan tanah milik orang perseorangan."

"Orang perseorangan itu tak marah?" datuk ajukan pertanyaan.
Nonong termenung sebentar, macam ada sesuatu yang bermain dalam tempurung kepalanya.

"Ayah minta izin dari orang tu,"jawap Nonong.

"Kenapa ayah kamu buat macam tu, kenapa tidak dikuburkan dalam kawasan tanah kubur."

"Itu permintaan emak saya, memanda."

"Pelik," keluh datuk lemah.
Perkataan yang diucapkan oleh datuk dapat didengar oleh Nonong. Tetapi, dia tidak menunjukkan sebarang reaksi. Wajahnya nampak selamba sahaja. Seterusnya, Nonong pula meluahkan apa yang ada di dalam kalbunya pada saya dan datuk . Kata Nonong kematian ibunya cara mendadak tanpa sebab sungguh mengejutkan.

"Kematian emak cara mendadak tanpa sebab sungguh mengejutkan kaum keluarga. Masing-masing tertanya-tanya puncanya dan setiap keluarga membuat andaian yang tersendiri, tidak terlepas dari anggapan yang emak jadi korban perbuatan orang yang sakit hati terhadapnya melalui ilmu hitam," kata Nonong.

"Kamu pula berpendapat macam mana dalam hal ini, Nonong," celah datuk sebaik sahaja Nonong berhenti bercerita. Nonong renung kearah dinding sambil mengosok-gosok hujung hidungnya dengan jari telunjuk.

"Saya memanda?" Nonong bertanya minta kepastian.

"Iya," angguk datuk tenang.

"Saya tak ada apa-apa. Ajal emak sudah tiba," jawap Nonong penuh yakin.

"Apa kata adik beradik kamu yang lain." Tidak pulak saya bertanya pada mereka tentang hal itu. Harun nampak macam biasa.
Tapi Khatijah Nonong tidak meneruskan, air mukanya berubah. "TERBUKU" Perubahan wajah Nonong bagaikan memberi gambaran ada sesuatu yang terbuku dalam batinnya. Dan datuk mahu memanfaatkan peluang itu dengan sebaik mungkin. Datuk tahu, kalau dia terlalai atau terlambat, Nanong akan mengalihan persoalan yang dibincangkan kepada persoalan lain.

"Maksud kamu Khatijah, adik kamu yang di Tanjung Pura."

"Iyalah memanda, Khatijah mana lagi," Nonong ketawa kecil.
Datuk senyum penuh yakin Nonong berada dalam keriangan. Agar suasana menjadi lebih rancak, datuk turut berjenaka. Saya dan Nonong ketawa kecil, tidak terasa berada dalam keadaan tertekan untuk menyelesaikan sesuatu masaalah yang dikira agak serius juga.

"Apa yang Khatijah katakan kepada kamu Nonong?"

"Haâ" Nonong seperti tersentak.
Mungkin dia tidak menduga datuk mahu menimbulkan tentang apa yang dikatakan oleh Khatijah kepadanya. Nonong seperti tidak tentu arah. Sekejap garu pangkal leher, sekejap garu cuping telinga.

"Apa katanya Nonong?" Dalam keadaan yang agak tertekan, datuk terus bertanya dan mendesak. Terbukti, Nonong sudah terjerat dan dia tidak boleh berdalih lagi.

"Cakaplah Nonong," kata datuk terus memujuk.

"Kata Khatijah yang kebetulan berada dekat emak pada malam kematian itu, ada sesuatu yang ganjil terjadi sebelum emak meninggal dunia," cukup hati-hati Nonong mengatur kata-kata.

Teruskan. Desak datuk lagi, dia tidak mahu kisah itu terhenti begitu saja. Bila kerap berhenti, mungkin keghairahan Nonong untuk bercerita menjadi tawar.

"Malam itu, sebelum nyawa terpisah dari badan, matanya terbeliak merenung kemana saja. Emak mengoyak-ngoyakkan baju dan kain yang dipakai, dia bertelanjang bulat lari ke setiap sudut ruang rumah," Nonong behenti bercerita, tunduk merenung lantai.
Perlahan-lahan dia menarik dan melepaskan nafas. Barangkali dia terfikir, menceritakan keburukan ibu pada saya dan datuk sama seperti menceritakan keburukan dirinya. "Khatijah tidak beritahu kamu, ketika itu ayah kamu berada di mana Nonong?" Nonong angkat kepala merenung wajah datuk yang menghamburkan pertanyaan.
Saya resah sendirian, mengaru pangkal leher yang tidak gatal. Di luar cuaca masih macam tadi. Kicau burung di halaman bagaikan bercampur baur dengan deru kenderaan.

"Masa kejadian itu, ayah ke masjid. Suami Khatijah dan Harun segera mendapatkan ayah. Sebaik sampai di rumah ayah dengan dibantu oleh suami Khatijah, Harun segera bertindak. Ayah menyelimutkan emak dengan kain gebar tiga warna yang diambil dari bawah katil." Lagi sekali Nonong berhenti bercerita. Dia memicit-micit kepalanya.

"Kenapa Nonong?" Tanya saya.

"Aku pening Tamar, aku terasa macam ada orang memukul pangkal leher aku dengan dahan jambu batu kering bercabang tiga.

"Bertenang Nonong." Datuk mengambil secawan kopi yang tersedia di situ.
Sebelum diserahkan pada Nonong , saya melihat datuk menyapu punggung cawan tiga kali dengan telapak tangan kiri. Bermula dari pangkal telapak tangan membawa ke hujung jari. Mulutnya bergerak. "Ada" sesuatu yang datuk tawarkan pada air kopi tersebut.


"TEGUK"


Seteguk air kopi dihirup, Nonong nampak aman. Tidak lagi memicit-micit kepalanya.

"Ada lagi yang mengganggu kamu Nonong?"

"Tak ada memanda." Nonong menyerahkan cawan kopi itu kembali kepada datuk.
Sebaik sahaja tangkai cawan terkena ibu jari datuk, punggung cawan terus bocor. Tembikar berselerakkan di lantai, air kopi tumpah hilang meresap dalam papan lantai.

"Biarkan di situ, nanti aku sendiri yang bersihkan." Datuk memberi amaran.
Saya tidak jadi memegang badan cawan yang tidak pecah dan mengumpulkan tembikar punggung cawan yang berserakan di lantai.

"Bila emak dibalut dengan selimut khas tiga warna, dia tidak menjerit tetapi nampak lemah. Ayah membawa emak masuk ke bilik khas, tempat dia selalu beramal. Emak tidak membantah malah dia membayangkan memang itulah yang dihajatinya."

"Dikunci?" Datuk renung batang hidung Nonong."

"Iya," angguk Nonong.

"Lepas tu, tak ada kejadian lain?" Tekan datuk."Menurut kata adik (Khatijah) setelah dikurung, emak memanggil-manggil nama saya serta nama orang lain yang dikenali oleh adik saya," ungkap Nonong sambil merenung lesu ke arah datuk dan saya.
Dari sinar matanya, dia memang mengharapkan sesuatu dari datuk. Penceritaan selanjutnya makin lancar dan rancak. Tidak tersangkut-sangkut seperti tadi. Nonong semakin yakin dengan keikhlasan hati datuk. Dia semakin berani dan bersemangat.

"Kematian emak sungguh pelik dan tidak wajar. Setelah dikurung semalaman, pagi-pagi esoknya, adik (Khatijah) membuka pintu bilik untuk melihat keadaan emak. Sebaik sahaja pintu dibuka, adik saya terkejut besar, emak terlentang kaku di lantai, sudah menjadi mayat. Tangannya terkedang macam mahu menjamah sesuatu." Nonong berhenti bercakap, sambil mengerut dahi.
Dia cuba mengingati sesuatu. Bila diingat muncul dalam benaknya, Nonong tersenyum dan terus menyambung kisah yang tersangkut.

"Mata emak terbeliak macam takutkan sesuatu atau terpandangkan benda yang mengerikan. Uban yang hampir, memenuhi kepalanya bertaburan atas lantai. Adik saya yakin, uban itu dicabut sendiri oleh emak," Nonong menelan air liur. Renungan matanya redup kearah halaman rumah yang berumput hijau.<PIXTEL_MMI_EBOOK_2005>19����������������������������������������������������������</PIXTEL_MMI_EBOOK_2005>

0 comments:

Post a Comment